Apa Function Auto Hold Brake Dan Hill Start Assist Dalam Kereta Baru Anda
Perasan tak dekat kereta anda ada perkataan Auto-Hold Brake (AHB) @ BREK Pegun Automatik? Semakin menjadi ciri biasa kenderaan masa kini apabila banyak pengeluar mula beralih dari fungsi brek tangan manual kepada brek tangan elektrik @ Electric Parking Brake (EPB) untuk kenderaan transmisi automatik. Tapi ramai pulak yang anggap ciri ini tak penting walhal sebenarnya, AHB banyak membantu tugas memandu dan membuatkan pemanduan jadi lebih selesa, terutama dalam keadaan trafik sesak yang kena berhenti dan bergerak beberapa kali.
AHB membolehkan pemandu merehatkan kaki dan dapat melepaskan brek tangan secara manual, tanpa merisaukan situasi kereta tetiba terundur ke belakang ketika mengalihkan kaki dari pedal brek ke pedal minyak.
SEBAHAGIAN KOMPONEN ABS DAN ESP
AHB juga ialah sebahagian komponen Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Program Stabiliti Elektronik (ESP). Sistem ni boleh diaktifkan dengan menekan butang AHB @ Brake Hold / Auto-Hold yang biasanya terletak di tengah seat pemandu dekat suis EPB (rujuk foto atas), lalu ia secara automatik berfungsi memegang tekanan brek, sama seperti fungsi menarik brek tangan secara manual.
Apa perlu pemandu buat ialah mengenakan sedikit tekanan ke atas brek (dengan memijak pedal brek) supaya tekanan mencukupi untuk mengaktifkan AHB. Lepas da buat semua (boleh tengok lampu indikator AHB pada panel meter), boleh la nak angkat kaki ke nak menari ke terpulang sebab dah dalam keadaan selamat. Brek akan dilepaskan automatik apabila pedal minyak ditekan.
Ada beberapa perkara yang perlu difikirkan. Antaranya, sila periksa sama ada ciri AHB ialah jenis aktif atau pasif. Jangan buat andaian dah aktifkan walaupun kereta ada fungsi memori untuk menyimpan tetapan terakhir. Jadi, tak kira la aktif ke tak kena selalu periksa fungsi AHB!
Perhatian, AHB hanya boleh diaktifkan kalau anda tutup pintu kereta dan sedia memakai seatbelt. Kalau la kereta tu ditunda atau ditarik, pengeluar biasanya akan menyarankan anda mematikan fungsi AHB. Perlu juga diketahui, AHB sebenarnya tidak menggantikan fungsi brek tangan. Jadi sila pastikan EPB berfungsi sebelum meninggalkan kenderaan.
APA BEZA HSA, HHA DAN AHB NI?
Ada sesetengah kereta menawarkan ciri Bantuan Mula Daki @ Hill-Start Assist (HSA) dan ada pula Bantuan Pegun Bukit @ Hill-Hold Assist (HHA). Sebenarnya, dua-dua ciri itu sama, cuma istilah berbeza. Tetapi apakah pula perbezaan antara HSA/HHA dan AHB?
HSA berfungsi sebagai menghalang kenderaan dari terundur ketika mengalihkan kaki dari pedal brek ke pedal minyak dalam tempoh masa tertentu. Fungsi HSA kerap dilengkapkan pada kereta manual, untuk statickan kedudukan kenderaan ketika pemandu mengangkat kaki kiri dari klac untuk menukar gear, dan mengalihkan kaki kanan dari pedal brek ke pedal minyak.
AHB sebaliknya berfungsi memegunkan kenderaan anda di tempat ia berhenti hingga pedal minyak ditekan semula. Tidak perlu lagi tarik-lepas-tarik-lepas brek tangan supaya kereta tidak bergerak (terutama di permukaan jalan tidak rata) seperti kereta konvensional.
Dalam bahasa mudah, HSA ada tempoh masa tertentu sebelum tekanan brek dilepaskan automatik. Sebaliknya AHB tiada had masa, asalkan kaki tak tekan pedal minyak bagi mengaktifkan tekanan brek untuk kereta bergerak.
Moga ilmu ini dapat membantu!
SUMBER: Motoring
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.buytyresellwheel.com.my/car/apa-function-auto-hold-brake-ahb-dan-hill-start-assist-hsa-dalam-kereta-baru-anda/