Angka Sebenar Korban Akibat Covid 19 Di Wuhan Naik 50
WUHAN: Bandar Wuhan di China, lokasi pertama penularan Covid-19, mengubah jumlah kematian dengan peningkatan sehingga 50% pada Jumaat, mendedahkan keadaan sebenar jauh lebih teruk daripada yang dilaporkan Beijing sebelum ini.
Semakan semula itu dibuat ketika pemimpin dunia mendakwa China tidak bersikap terbuka sepenuhnya mengenai impak menyeluruh pandemik itu yang meragut lebih 140,000 nyawa di seluruh dunia dengan separuh daripada masyarakat global terpaksa duduk di rumah.
Ia turut menyusul arahan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump supaya berhati-hati melonggarkan sekatan keluar masuk dalam usaha membuka semula ekonominya, manakala data keluaran dalam negara kasar (KDNK) mendedahkan ekonomi China merosot ke tahap paling teruk buat kali pertama dalam beberapa dekad.
Di Wuhan – di mana Covid-19 pertama kali dikesan pada akhir tahun lalu – angka korban di bandar itu meningkat 50%, menjadikan keseluruhan 3,869 kes kerana “silap lapor” atau terlepas pandang.
Tetapi, semakan semula itu akan membantu menyokong naratif China tidak boleh dipercayai yang diketuai pentadbiran Trump.
Ia kini mendapat sokongan Britain dan Perancis, didorong 2 media AS yang melaporkan virus itu disyaki terlepas daripada sebuah makmal di Wuhan yang mengkaji kelawar secara tidak sengaja.
Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab yang mewakili Perdana Menteri,Boris Johnson yang masih dalam proses pemulihan daripada jangkitan Covid-19, berkata Beijing akan berdepan “soalan sukar”.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberitahu Financial Times, adalah “naif” untuk memikirkan China menangani pandemik itu dengan baik kerana “jelas ada perkara berlaku yang kita tidak ketahui”.
Beijing dan Moscow menepis serangan itu, di mana Presiden Rusia, Vladimir Putin mengecam “cubaan sesetengah orang memburuk-burukkan China”.
Walaupun AS mencatatkan jumlah kematian 4,500 orang dalam tempoh 24 jam lalu – menjadikan angka korban keseluruhan meningkat hampir 33,000 kes – Trump mengumumkan: “Kita akan buka semua negara kita.”
Trump berkata, negeri yang kurang terjejas boleh membuka semula “esok”, manakala yang lain diberikan “kebebasan dan bimbingan” daripada White House.
Sementara itu, semakin banyak petanda ekonomi dunia akan lumpuh.
Hari ini, China melaporkan KDNK negara itu susut 6.8% pada suku pertama tahun ini.
Ini adalah penguncupan pertama sejak data pertumbuhan suku tahun boleh diperolehi pada awal 1990-an.
Di AS, tambahan 5.2 juta pekerja kehilangan kerja, menjadikan keseluruhan kadar pengangguran di negara itu meningkat kepada 22 juta sejak pertengahan bulan lalu.
Switzerland, Jerman, Denmark dan Finland antara negara Eropah yang membuka semula kedai dan sekolah secara berperingkat, manakala Britain memperluaskan sekatan sekurang-kurangnya 3 minggu lagi.
Di Poland, peraturan baru mewajibkan semua orang memakai topeng ketika berada di luar yang mendapat reaksi berbeza. #sumberhttp://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2020/04/angka-sebenar-korban-akibat-covid-19-di.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29