Anggota Amanah Perlu Kerja Keras Pastikan Kemenangan Streram Di Rantau
THE MALAYSIAN TIMES                                                   
 
 REMBAU: Presiden Parti Amanah Negara  (AMANAH), Mohamad Sabu, mahu semua ahli parti bekerja keras memastikan  kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram pada Pilihan Raya  Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
 Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, meskipun PH kalah di PRK  Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih, namun yakin mampu mencipta  kemenangan di DUN Rantau.
 “Ada yang berkata elok kalau di Rantau kita letak calon Melayu macam  di Cameron Highlands letak Melayu Orang Asli boleh menang, Semenyih  calon Melayu tetapi kita nak beritahu kita tidak akan terperangkap  dengan perkauman.
 “Kita setia kepada semangat kerjasama antara kaum dan kalah atau  menang, kita tak mahu terperangkap dengan sentimen perkauman,” katanya  pada Majlis Pelancaran Jentera AMANAH bagi PRK DUN Rantau di sini, malam  tadi.
 Turut hadir beberapa pemimpin AMANAH iaitu Naib Presiden, Dr Hasan  Bahrom; Pengarah Pilihan Raya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli; Pengerusi  AMANAH Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Dr Streram.
 Dalam pada itu, Mohamad berkata anggota AMANAH bertanggungjawab sekiranya Dr Streram kalah.
 “Calon kita seorang tokoh yang berjasa besar kepada semua kaum dan  tugas kita adalah memenangkan calon…menang Dr Streram, menanglah PH,”  katanya.
 PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari  lalu menolak petisyen difailkan Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga  Timbalan Presiden UMNO, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan  Raya Seremban, pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan  kemenangan beliau bagi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.
 Susulan itu SPR mengumumkan PRK DUN Rantau diadakan pada 13 April  depan, hari penamaan calon 30 Mac ini manakala tarikh mengundi awal 9  April.–Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/anggota-amanah-perlu-kerja-keras.html