Amiruddin Kekal Mb Ph Bn Dijangka Menang Selesa Di Selangor
Di sebalik keghairahan PN yang bercita-cita besar mahu menawan Selangor pada PRN 12 Ogos ini, Menteri Besar, Amirudin Shari kelihatan kekal tenang dan langsung tidak gelabah menghadapinya.
Di wajahnya sedikit pun tidak terlihat garis-garis risau atau bimbang negeri yang berjaya ditawan PKR sejak 2008 itu akan jatuh ke tangan pihak lawan.
Dalam pertemuan selama lebih dua jam dengan beliau bersama beberapa penulis yang turut disertai Dahlan Maamor (Penasihat Media Selangor), Mohd Sayuti Omar, Shahbudin Embun dan Hayazi Hashim atau Tok Usin Ceroi, Amiruddin sentiasa tampak ceria, selalu tersenyum dan sesekali ketawa apabilabercerita mengenai keadaan negeri Selangor.
Mendengar beliau bercakap seolah-olah semua data, maklumat, perkembangan dan nama-nama orang penting di akar umbi di Selangor sudah tersemat erat dalam kepalanya.
Dalam pertemuan tersebut, beliau bercerita hampir semua perkara berkaitan Selangor – politik, pembangunan, program untuk rakyat, masa depannya, hubungan dengan Istana, Azmin Ali, PRN, calon-calon PH dan macam-macam lagi.
Malah, semua soalan yang kami tanyakan dijawabnya dengan tenang, yakin dan tanpa ragu-ragu.
Amiruddin turut memberitahu, beliau memantau setiap tiga bulan laporan berkenaan kecenderungan pengundi di Selangor.
Sehubungan itu, beliau penuh yakin PH/BN mampu memenangi PRN pada 12 Ogos depan ini.
“Insha Allah kita masih mampu menang dan akan terus mentadbir Selangor selepas 12 Ogos ini.
“Bahkan tidak keterlaluan untuk saya sebut bahawa kemenangan dua pertiga masih relevan untuk dicapai.
“Kita boleh menang antara 38 atau 39 kerusi Dun,” katanya dengan yakin.
Menurut Pengerusi PH Selangor itu lagi, yang melegakannya ialah kerana tiada isu kemarahan rakyat atau pengundi kepada kerajaan negeri sebagaimana yang menjadi bualan telah berlaku di negeri-negeri tertentu yang lain.
Tahap puas hati mereka, tambahnya, sentiasa memuaskan dan melebihi kadar kemarahan yang jika ada pun hanya rasa marah kecil-kecilan yang timbul sekejap-sekejap di sana sini.
Ini kerana kata beliau, sepanjang menerajui Selangor, keutamaannya ialah untuk mewujudkan kestabilan dan memberi kemakmuran kepada rakyat negeri itu.
Dengan kadar KDNK yang meningkat kepada 25.5% pada 2022, daripada 24.8% pada tahun sebelumnya, di samping sambutan terhadap program Jelajah Ehsan Rakyat yang diperkenalkannya untuk membantu rakyat mengimbangi kos sara hidup, Amirudin yakin rakyat Selangor secara umumnya tiada masalah dengan kerajaan sedia ada.
Tambahan lagi, bila timbul ura-ura kenaikan tarif air baru-baru ini, tindakan pantas beliau yang menegaskan, tiada keputusan di peringkat kerajaan negeri untuk berbuat demikian, ini secara tidak langsung menyerlahkan lagi ciri-ciri prihatin rakyat dalam wajah kepimpinannya.
Ditanya tentang dirinya sama ada bertanding atau tidak, sekali lagi Amiruddin dengan pantas dan penuh yakin memberi jawapan – saya bertanding.
Dengan jawapan tersebut, bermakna tiada isu lagi siapa calon Menteri Besar yang akan dinamakan mewakili PH/BN selepas ini.
Bersama rekod cemerlang sepanjang mentadbir Selangor, negeri stabil dan makmur, ekonomi tumbuh lebih baik, rakyat sentiasa puas hati dan tiada isu-isu lain melibatkan dirinya, parti atau kerajaan, mengekakan lagi Amiruddin adalah langkah awal paling tepat sekali.
Ia bukan saja mematikan politiking dalaman atau perbalahan yang cuba diwujudkan oleh pihak-pihak tertentu, bahkan pasti menjadikan pengundi tiada keraguan lagi untuk membuat keputusan.
Dalam erti kata lain, memberi peluang lagi kepada PH/BN sebagai kerajaan negeri selepas 12 Ogos nanti dengan calon Menteri Besarnya adalah Amiruddin, ia bermakna mengekalkan kestabilan, kemakmuran serta jaminan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik untuk masa depan Selangor. – ShahbudinHusin 06/07/2023.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2023/07/amiruddin-kekal-mb-phbn-dijangka-menang_6.html