Amerika Syarikat Janji Sumbang Usd1 Juta Untuk Sabah
Menerusi satu panggilan video kepada Duta Besar AS ke Malaysia Brian D Mcfeeters semalam, Hajiji berkata, kerajaan negeri dan AS sentiasa menjaga hubungan dua hala yang baik dan mesra.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyambut baik janji Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D. Mcfeeters untuk menyumbang sebanyak USD1 juta sebagai usaha pemuliharaan hidupan liar di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, bantuan berkenaan juga akan melengkapkan program perlindungan hidupan liar yang sedang dilaksanakan di negeri ini.
Katanya, pihak kedutaan berkenaan turut menawarkan kerjasama dalam usaha konservasi hutan yang merujuk kepada Program 'Heart of Borneo' (HoB), inisiatif konservasi rentas sempadan secara meluas hingga ke Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia sendiri.
"Kerajaan negeri dan Amerika Syarikat sentiasa menjaga hubungan dua hala secara baik dan mesra di antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 1957.
"Amerika kekal sebagai rakan dagang terbesar di negara ini dan Malaysia adalah salah satu sekutu lama serta terdekat negara itu dalam kerjasama membabitkan bidang ketenteraan, pelaburan, ekonomi dan pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menyampaikan penghargaan kepada Brian ketika berhubung secara maya di sini semalam.
Terbaharu dalam kerjasama dua hala itu, Amerika menyumbang sebanyak satu juta dos vaksin kepada Malaysia dan menjanjikan tambahan bantuan COVID-19 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia.
"Kami berterima kasih dengan semua bantuan yang diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Malaysia dan Sabah dalam bidang pendidikan, pemuliharaan alam semula jadi dan yang terbaharu bantuan untuk memerangi pandemik COVID-19.
"Bantuan ini akan mempercepatkan lagi usaha kami dalam memerangi cabaran susulan penularan pandemik COVID-19," katanya.
Pada sesi itu, Hajiji dan Brian turut menyentuh pelbagai isu lain termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pemerdagangan manusia, pendatang tanpa izin (PTI), dan kerjasama Kedutaan Besar Amerika Syarikat dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menangani keganasan.
Brian yang memegang jawatan berkenaan sejak Februari tahun ini turut menyatakan tidak sabar untuk berkunjung ke Sabah iaitu destinasi pelancongan yang terkenal dalam kalangan rakyat negaranya kerana tarikan alam semula jadi dan Gunung Kinabalu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sabahup2date.blogspot.com/2021/08/amerika-syarikat-janji-sumbang-usd1.html