Amalan Baik Benteng Diri Daripada Kesesatan
oleh Mohd Rizal Azman Rifin
KEHADIRAN Islam dalam kehidupan manusia bermatlamat untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan manusia di dunia. Setiap hukum yang diberikan Islam adalah petanda rahmat Allah buat seluruh makhluk-Nya di muka bumi ini.
Menerusi rahmat Allah seperti keselamatan, keamanan dan ketenteraman akan dapat diperoleh sekiranya kita mengamalkan seluruh syariat-Nya.
Allah menerangkan dalam Surah Al-Isra’ ayat 15 yang bermaksud: “Sesiapa yang mengamalkan selaras dengan petunjuk Allah, maka sesungguhnya dia lakukan itu untuk keselamatan dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat (memungkiri syariat-Nya, maka sesungguhnya dia tersesat bagi dirinya sendiri.”
Justeru, Rasulullah SAW sentiasa menyeru umatnya menjadikan kehidupan akhirat sebagai tujuan kehidupan. Sabda Baginda bermaksud: “Dan sesiapa yang menjadikan dunia tujuan hidupnya, maka Allah akan mencerai-beraikan segala urusannya, meletakkan kefakirannya di antara kedua matanya dan dunia tidak datang kecuali hanya sekadarnya. Sesiapa yang menjadikan akhirat tujuan hidupnya, maka Allah akan memudahkan segala urusannya dan menjadikan kekayaan dalam hatinya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (tidak pernah menguasai hati, semakin kaya semakin bersyukur). (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Hadis ini selari dengan apa yang difirmankan Allah dalam Surah Asy-Syura ayat 20, Allah berfirman: “Sesiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya. Dan sesiapa yang menghendaki keuntungan dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian daripadanya keuntungan dunia, tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat.”
Justeru, sikap kita dalam menguruskan urusan keduniaan perlu kita lihat kepada firman Allah ini supaya jalan yang kita pilih tidak terkeluar dari landasan agama yang sebenar. Apapun urusan yang kita laksanakan di dunia ini perlu kepada prinsip yang digariskan oleh Islam.
Nasihat Rasulullah ini perlu kita ingati supaya amalan dan perbuatan kita tidak tersasar daripada niat untuk mendapat pahala. Misalnya, dalam perniagaan. Peniaga yang sentiasa berpegang kukuh pada nasihat Rasulullah, sudah tentu menjadikan setiap aspek urus niaganya berpandukan etika perniagaan yang halal di sisi agama dan mematuhi undang-undang negara.
Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/03/06/amalan-baik-benteng-diri-daripada-kesesatan/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=amalan-baik-benteng-diri-daripada-kesesatan