Akibat Guna Anugerah Dato Sri Palesu



4 April 2025 ~
Satu laporan polis telah dibuat berkaitan penipuan oleh seorang saspek di laman sosial Facebook yang mana pemilik akaunnya menggunakan nama Dato’ Seri ANSELM WONG (JP). Melalui paparan di dalam Facebook pemilik akaun tersebut kononnya beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran Dato’ Seri tersebut oleh DYMM Sultan Selangor.
Pengesahan telah pun dibuat oleh pihak Dewan di-Raja Selangor dan mendapati pemilik akaun Facebook tersebut tidak pernah menerima Darjah Kebesaran daripada DYMM Sultan Selangor atau apa-apa Darjah Kebesaran Selangor yang lain. Ternyata saspek ini telah menggunakan gelaran Dato’ Seri secara tidak sah dan bertujuan melakukan penipuan terhadap orang ramai yang membaca laman Facebooknya.
Pemilik akaun Facebook berkenaan telah diminta untuk tampil membantu siasatan pihak polis.
Pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang menyalahgunakan mana-mana Darjah Kebesaran DYMM Sultan atau apa-apa gelaran yang tidak sah.
Di bawah Seksyen 4(E) dan 4(G) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna)(Pindaan 2016) antara lain memperuntukkan:-
Mana-mana orang yang didapati mengatakan bahawa dirinya pemegang Gelaran atau Darjah Kebesaran yang sah yang dikurniakan oleh DYMM Sultan Selangor atau menggunakan Darjah Kebesaran DYMM Sultan tetapi pada hakikatnya orang itu sebenarnya tidak pernah dikurniakan gelaran dan penghormatan sedemikian oleh DYMM Sultan, maka sekiranya disabitkan dengan kesalahan tersebut orang itu boleh dihukum dengan hukuman denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak kurang daripada 1 tahun dan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Enakmen tersebut telah digubal bagi tujuan mencegah daripada salah guna apa-apa lambang, nama, gelaran dan penghormatan yang diwujudkan dan dikurniakan oleh DYMM Sultan Selangor dan perkara yang bersangkutan dengannya, dan telah mula berkuat kuasa dan terpakai di negeri Selangor mulai 23 Mei 1962. Enakmen ini juga telah disemak semula dan dipinda dengan menaikkan jumlah hukuman denda dan penjara pada tahun 2015.
Tuduhan dan sabitan serta hukuman juga boleh dilakukan terhadap mana-mana orang yang melakukan kesalahan yang sama dengan tujuan untuk menipu dan memperdayakan orang ramai di bawah Sekyen 420 Kanun Keseksaan. Di bawah seksyen ini jika seseorang disabitkan kesalahan, hukuman minimum setahun dan maksimum 10 tahun penjara serta rotan akan dikenakan ke atas pesalah. Di dalam pada itu hukuman denda boleh juga dikenakan ke atas pesalah berkenaan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/04/akibat-guna-anugerah-dato-sri-palesu.html