Akhirnya Hj Hadi Kritik Umno Dan Bn Secara Terbuka
SHAH ALAM: Pas berpendirian pembaharuan perlu dilakukan dalam landskap politik termasuk membentuk kerjasama dalam membuat tawaran baharu kepada rakyat.
Mengambil kira pengajaran pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata episod lalu banyak mengajar rakyat bahawa parti yang begitu lama memerintah mempunyai banyak kelemahan.
“Rakyat Melaka melihat sendiri akibat dalam masa sekejap sahaja Pakatan Harapan (PH) memerintah setelah bertukar daripada Barisan Nasional (BN) yang ada kelemahannya, maka kita perlu buat perubahan dan negara kita sudah berkali-kali lakukannya dari sebelum Merdeka lagi.
“Dahulunya, kapal layar simbol Parti Perikatan, selepas peristiwa 13 Mei kemudian buat BN guna pula simbol dacing dan apabila dacing dah lama tentulah ada kelemahannya, (maka) kita perlu buat perubahan dan kita cuba tubuh Perikatan Nasional (PN) yang merupakan satu pendekatan baharu yang tidak ekstrem,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang disiarkan secara langsung di laman Facebook, pada Khamis.
Hadir sama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN menggesa rakyat Melaka memilih gabungan parti itu pada PRN negeri 20 November ini sekiranya tidak mahu berdepan nasib sama ketika berada dibawah pemerintahan kerajaan sebelum ini.
“Sebelum ini banyak yang hendak dibuat PH, nak turun harga minyak 24 jam, janji macam-macam, umpama nak kahwin dengan Puteri Gunung Ledang, janji bukan-bukan dan atas sebab itu rakyat memilih PH.
“Apabila menang, PH nak rungkai pula pelbagai Perlembagaan, banyak kenyatan dibuat mencabar perpaduan kaum dan kami mengambil langkah buat perubahan secara demokrasi mengumpulkan wakil rakyat, mula-mula Pas dengan UMNO mesti bersatu, tidak cukup Muafakat Nasional (MN). kita ada PN.
“Parti lain mesti yang tidak ekstrem, kita tolak parti ekstrem parti yang nak rungkai perlembagaan kita tolak tak terima kerana sekarang terang PH nak rungkai Perlembagaan, walaupun tak buat lagi tetapi banyak kenyataan (berkaitan) dikeluarkan semasa mereka memerintah," tambahnya ~ AstroAwani
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2021/11/akhirnya-hj-hadi-kritik-umno-dan-bn.html