Aishah Ajar Netizen Biadap
Membaca entri dimuat naik penyanyi Aishah selepas menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza mendendangkan lagu Aku Bidadari Syurgamu pada Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) Ke-35 menerima kecaman teruk netizen, dapat membayangkan betapa terlukanya hati penyanyi lagu Janji Manismu ini.
Sebagai bintang yang sudah lebih tiga dekad dalam dunia seni dan pernah mengharumkan nama negara, terbit rasa terkilan dalam hati Aishah atau nama penuh, Wan Aishah Wan Ariffin apabila kebanyakan komen dilayangkan berunsur biadap dan menghina martabatnya.
"Sejujurnya, saya bukanlah artis yang tidak boleh menerima kritikan. Kalau saya tidak boleh dikritik, saya tidak akan masuk program Gegar Vaganza (GV). Tapi, kalau hendak kritik, biarlah kritikan itu membina dan beri jalan penyelesaian.
"Soal nyanyian itu sedap atau tidak, ia terpulang kepada telinga si pendengar. Setiap orang ada cita rasa tersendiri. Dalam hal ini, kebanyakan komen yang ditulis di laman sosial bukannya kritikan yang membina tetapi lebih kepada sikap biadap apabila sanggup mengeluarkan kata-kata berunsur hinaan.
"Sebagai seorang yang sudah berusia, apabila membaca komen sebegini, sudah tentu saya sedih. Kadang-kadang yang menulis itu boleh dipanggil anak. Tergamak mereka menghina seseorang yang mungkin sebaya dengan ibu mereka," katanya kepada BH Online.
Aishah berkata, dia bukan sengaja melayan, tetapi tujuannya untuk menjawab atau mendedahkan wajah individu yang menghinanya dalam media sosial adalah bertujuan untuk mengajar mereka.
"Jika terus berdiam diri, nanti generasi baharu menyangka bersikap biadap di media sosial menjadi amalan normal dalam masyarakat hari ini. Mereka akan menganggap perkara itu tidak salah. Saya tidak mahu perkara itu berlaku. Sebelum ia menjadi parah, lebih baik saya cantas dan bertindak untuk berdepan dengan golongan wira papan kekunci ini.
"Saya juga sudah serahkan perkara ini kepada peguam dan mereka sedang menelitinya. Sehingga ke hari ini, saya tidak menerima sebarang maklum balas daripada individu terbabit.
"Tujuan saya mendedahkan wajahnya adalah kerana saya hendak bagi peringatan supaya jangan sewenang-wenangnya menulis komen yang bukan-bukan. Jangan jadikan orang lain sebagai tempat pelepas kemarahan jika dia mempunyai masalah dalam kehidupannya.
"Apakah dia sengaja mahu memalukan saya dengan menulis komen sebegitu? Saya tidaklah sengkek sangat seperti yang dikatakannya itu," katanya.
Juara program realiti Gegar Vaganza musim keempat itu berkata, dia juga tidak berpuas hati dengan nyanyiannya, tetapi cuba memberikan yang terbaik.
"Bayangkan, dalam tempoh lima hari, saya perlu menghafal lagu itu, membuat latihan, kena siapkan baju dan pelbagai persiapan lain yang menuntut masa yang bukan sedikit. Saya pegang tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi.
"Segala-galanya berjalan lancar sehinggalah ketika membuat persembahan, saya rasa seperti mahu pitam. Untuk mengelak berlakunya kejadian tak diingini, saya cuba mengawal pergerakan saya supaya tidak jatuh sehingga mengganggu fokus saya.
"Saya bersyukur kerana tiada apa yang berlaku. Apabila dengar kembali, saya tak rasa nyanyian saya teruk seperti yang didakwa. Tapi saya faham cita rasa pendengar berbeza," katanya.
Aishah berkata, ketika mula menerima tawaran untuk menyanyikan lagu itu, dia terkejut kerana pernah terdetik dalam hati mengapa tiada komposer dapat memberikan lagu sebegitu kepadanya.
"Tidak sangka Tuhan menjawab doa saya. Selain tertarik dengan melodi dan demi penyanyi asalnya, Siti, saya anggap peluang itu adalah satu tawaran kerja buat saya. Daripada tidak buat apa-apa, saya terima tawaran itu.
"Namun, apabila ada yang tidak berpuas hati dan mengecam saya, ralat juga hati ini. Apapun, saya serahkan kepada komposer, Ippo Hafiz untuk membuat keputusan. Kalau Ippo masih mahukan saya menyanyikan lagu itu jika ia berjaya ke final, saya sudi menyanyikannya," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2020/11/aishah-ajar-netizen-biadap.html