Ahmad Zahid Allah Makbulkan Doa Ph Runtuh
Dasar-dasar kewangan pentadbiran PH yang didakwa zalim menjadi punca keruntuhannya selepas menguasai kerajaan persekutuan tidak sampai dua tahun.
Menurut Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi doa orang yang dizalimi dengan polisi PH telah dimakbulkan Allah SWT apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya dibentuk.
"Kita dikejutkan dengan suatu keadaan di mana kerajaan PH ketika itu runtuh
"Kita tidak mengambil kesempatan atas kesempitan. Tetapi ini suatu realiti politik bahawa sesuatu mesti dilakukan (membentuk kerajaan PN).
"Saya sebagai orang Islam saya amat percaya bahawa doa orang yang dizalimi.. tidak ada hijabnya.
"Kenapa saya guna perkataan dizalimi? Kerana kita lihat bahawa dalam sistem fiskal dan sistem kewangan (PH) dasar-dasar kewangan serta pelaksanaan pada ketika itu banyak menzalimi rakyat pelbagai golongan.
"Tentunya doa ini Allah Taala telah makbulkan," kata Zahid pada program wawancara khas sempena ulang tahun Umno yang ke-74 anjuran Umno Online malam tadi di rumah presiden Umno.
Program yang turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial Facebook Live itu dikendalikan oleh Noor Azizan Abdul Majid sebagai moderator.
Pada wawancara itu, Zahid turut menjelaskan Umno dapat terus bertahan kerana para pemimpinnya pandai menyesuaikan diri mengikut keadaan.
Beliau berkata tempoh 22 bulan Umno menjadi pembangkang menunjukkan parti itu mempunyai daya tahan.
"Kini realitinya kita menjadi sebahagin daripada kerajaan. Walaupun kita bukan sebuah parti yang mendominasi kerajaan yang sekarang kerana hakikatnya kita hanya sebahagian daripada kerajaan.
"Tetapi minda, perasaan dan sikap sebahagian daripada kita seolah-olah kita sudah kembali seperti dahulu, yang mana pemimpin Umno adalah perdana menteri dan ahli-ahli kabinet yang mewakili Umno yang kebanyakannya memegang jawatan utama dalam hierarki dalam kepimpinan Umno.
"Tetapi tidak begitu keadaannya kerana kita tahu bahawa penubuhan PN adalah sesuatu yang dilakukan kerana kerajaan (PH) yang dahulu runtuh," katanya.
Hakikatnya Umno tak dominan dalam PN
Jelas Zahid, cara fikir pemimpin Umno tidak boleh seperti ketika mereka menjadi parti pemerintah dominan di dalam BN dahulu.
"Tetapi beberapa orang so called tokoh (Umno)... the mainplayers (pemain utama) merasakan parti harus diberikan kementerian yang penting, diberikan jumlah kedudukan kerusi yang banyak di dalam barisan anggota pentadbiran harus diberikan tempat.
"Sebagai presiden parti saya pun merasakan begitu tetapi hakikatnya kita bukan sebuah parti yang dominan yang mengetuaai kerajaan. Hakikatnya harus kita terima.
"Mentaliti seolah kita mengetuai kerajaan BN (dulu) hakikatnya sebahagian daripada kerajaan PN walaupun kita menyumbang kerusi yang agak besar bersama rakan-rakan dalam Muafakat Nasional.
"Hakikatnya jangan menyalahkan orang yang membuat keputusan atau meletakkan bebanan di atas batu jemala (pemimpin kerajaan) bahawa kita mesti menekan apa yang patut kita perolehi," tegasnya.
Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu dan bergabung bersama sekumpulan MP PKR yang berpaling tadah diketuai oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
Bersama-sama pembangkang PAS, Umno, GPS dan parti kecil lain mereka menubuhkan kerajaan persekutuan PN.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2020/05/ahmad-zahid-allah-makbulkan-doa-ph.html