Ahmad Maslan Ubah Mt Umno Lulus Tangguh Pemilihan 19 Februari Bukan 7 Julai
AGENDA DAILY	 								 								 											

						UMNO diarah menjalankan mesyuarat bagi  memilih Majlis Tertinggi, bahagian, cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri  untuk penggal 2021/2023.
									 							 					 						Setiausaha Agung UMNO hari ini mendakwa keputusan penangguhan  pemilihan parti itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) secara  bersemuka pada 19 Februari 2021, yang diadakan di Institut Latihan  Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Pahang.
Kenyataan beliau itu bagaimanapun bertentangan dengan maklum balasnya  kepada Pendaftar Pertubuhan yang mengatakan mesyuarat MT 7 Julai 2021  bersetuju menangguhkan pemilihan untuk penggal 2021/2023, sedangkan  kedudukan jawatan dalam UMNO telah tidak sah selepas 30 Jun 2021.
Pendaftar Pertubuhan Jasri Kasim dalam surat kepada Setiausaha Agung  UMNO itu semalam berkata pihaknya telah menerima maklum balas daripada  Ahmad Maslan bertarikh 30 Julai 2021 mengenai petikan minit mesyuarat MT  pada 7 Julai 2021 berhubung keputusan MT bagi penangguhan pemilihan MT,  Bahagian, Cawangan, Wanita, Pemuda, dan Puteri untuk penggal 2021/2023.
Berdasarkan kepada kenyataan bahawa mesyuarat MT diadakan pada 7  Julai itu, Pendaftar Pertubuhan memaklumkan bahawa tempoh pemegang  jawatan MT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021, dan UMNO  diarah mengadakan mesyuarat bagi memilih MT dan jawatan-jawatan lain  untuk penggal 2021/2023.
Bagaimanapun Ahmad Maslan dalam kenyataan media hari ini mendakwa  mesyuarat yang memutuskan supaya UMNO menangguhkan pemilihan semua  jawatan untuk penggal 2021/2023 telah diadakan pada 19 Februari 2021.
Beliau mendakwa keputusan mesyuarat MT 7 Julai 2021 yang dimaklumkan  kepada Pendaftar Pertubuhan melalui surat bertarikh 30 Julai 2021 itu  hanyalah untuk mengesahkan keputusan MT yang dibuat terlebih awal  melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun 2021.
Beliau juga mengatakan mesyuarat MT pada 25 April 2021 membuat  keputusan merujuk kepada Pendaftar Pertubuhan dan Majlis Keselamatan  Negara (MKN) bagi mendapatkan pandangan untuk melaksanakan mesyuarat dan  pemilihan parti ketika pandemik Covid-19.
“MKN dan KKM telah mengesyorkan bahawa sekiranya pemilihan secara  maya adalah tidak dapat dilaksanakan, maka penangguhan patut dibuat  untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Pandangan pihak ROS, MKN dan  KKM telahpun dimaklumkan kepada Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi.
“Pihak ROS juga telah memperakui penerimaan surat UMNO bertarikh 24  Jun 2021 melalui surat ROS bertarikh 19 Julai 2021 (Rujukan: PPM/WKL  251/88 JLD.10(25)) yang antara lain telah menyatakan bahawa pihak ROS  tidak mempunyai halangan terhadap penangguhan pemilihan parti UMNO dan  keputusan ini adalah mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO,” katanya.
Ahmad Maslan berkata berdasarkan pentafsiran yang diberikan oleh  Peguamcara UMNO terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO adalah jelas  menyatakan bahawa penangguhan pemilihan UMNO adalah kuasa mutlak MT dan  oleh sebab itu, UMNO hanya perlu memaklumkan kepada pihak ROS.
“Sehubungan dengan itu, isu yang dibangkitkan oleh pihak ROS pada  surat bertarikh 6 Ogos 2021 yang berpandangan bahawa tempoh pemegang  jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021 adalah  tidak lagi berbangkit,” katanya.
Untuk rekod terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu  diadakan membabitkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO iaitu pada  peringkat cawangan sebanyak 21,135 mesyuarat; Wanita (21,058 mesyuarat);  Pemuda (15,496 mesyuarat); dan Puteri (8,598 mesyuarat).
Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri  daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian,  Wanita, Pemuda dan Puteri, yang semuanya mesti dijalankan secara  serentak.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/ahmad-maslan-ubah-mt-umno-lulus-tangguh.html