Ahli Parlimen Bn Jasin Gagal Batal Petisyen Calon Ph
Siti hafidah Mahkamah Pilihan Raya tetap perbicaraan 11 Mac hingga 22 Mac

          MELAKA – Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini menolak bantahan awal Anggota  Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah untuk membatalkan petisyen  pilihan raya yang difailkan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya  Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin  Abu Hassan
Hakim Datuk Abu Bakar Jais membuat  keputusan itu setelah menolak bantahan kali kedua yang dikemukakan  Ahmad, selaku responden pertama iaitu tempoh masa untuk menyelesaikan  perbicaraan petisyen pilihan raya sudah melepasi enam bulan dari tarikh  petisyen pilihan raya itu dikemukakan mengikut Seksyen 35A Akta  Kesalahan Pilihan Raya 1954
Peguam Muniandy Vestanathan yang mewakili  Khairuddin berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati  meskipun sudah melepasi tempoh enam bulan namun, Mahkamah Pilihan Raya  mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes berkenaan
“Sehubungan itu, mahkamah menetapkan  perbicaraan penuh akan bermula pada 11 Mac hingga 22 Mac ini untuk  ketiga-tiga responden,” katanya kepada Bernama di sini hari ini
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun  mewakili Ahmad manakala Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili  Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi Parlimen Jasin, Zamrud Yahya dan  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Khairuddin dalam petisyennya menamakan Ahmad sebagai responden pertama, Zamrud responden kedua dan SPR responden ketiga
Pada 18 Februari lepas, panel lima hakim  Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard  Malanjum mengembalikan petisyen pilihan raya Parlimen Jasin yang  difailkan Khairuddin ke Mahkamah Pilihan Raya untuk dibicarakan di  hadapan hakim Mahkamah Pilihan Raya yang baharu
Pada Oktober tahun lepas, Mahkamah  Pilihan Raya menolak petisyen Khairuddin selepas membenarkan bantahan  awal kali pertama oleh Ahmad, calon dari Barisan Nasional (BN)
Pada PRU14 lalu, Khairuddin kalah kepada  Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru yang  menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi  manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi sementara calon PAS Abd Alim  Shapie mendapat 8,860 undi
Khairuddin yang juga Bekas Naib Ketua  UMNO Bahagian Batu Kawan memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun  tahun lepas menurut Seksyen 34(C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954
Beliau yang memohon perintah deklarasi  keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Jasin batal dan tidak sah mendakwa  ahli politik BN itu dipilih secara tidak sah dan pilihan raya baharu  perlu diadakan. – Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/ahli-parlimen-bn-jasin-gagal-batal.html