Orang Melayu Islam Harus Takut Dengan Umno Pas Kata Bekas Ahli Parlimen
  Adam Abu Bakar

Bekas  ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar bersama pengerusi  acara, Yoke Ling Chee di wacana sejarah dan kesan buruh kontrak di  Malaysia, di Brickfields hari ini.KUALA LUMPUR: Seorang bekas ahli Parlimen berkata masyarakat Melayu  dan Islam perlu merasa bimbang dengan pakatan Umno-PAS, mengatakan sudah  masanya mereka mempersoalkan jenis fahaman yang dibawa kerjasama itu.
 Bekas ahli Parlimen Sungai Siput, Dr M Jeyakumar khuatir gandingan  Umno-PAS akan membawa fahaman yang terlalu konservatif, lebih menekan,  menghukum dan mengawal, dan tidak selari dengan peredaran zaman.
 “Orang Melayu dan Islam harus takut kerana jika Umno-PAS pegang  semula kerajaan persekutuan, apakah jenis fahaman yang mereka akan  gunakan untuk masyarakat Islam dan Melayu?
 “Saya sebenarnya lega dengan cara Mujahid Yusof Rawa dan Dr  Dzulkefly Ahmad,” katanya merujuk kepada menteri di Jabatan Perdana  Menteri dan menteri kesihatan dari Amanah.
       Pemimpin Parti Sosialis Malaysia itu ditemui di suatu wacana mengupas  sejarah dan kesan buruh kontrak di Malaysia, di Brickfields hari ini.
 Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan memberi jaminan  kerjasama Umno-PAS tidak akan menjejaskan mana-mana kaum dan agama,  sebaliknya dilakukan untuk membawa agenda penyatuan ummah.
 Hari ini, Mohamad dilapor berkata kedua-dua parti dalam perbincangan  untuk membentuk kerajaan campuran di 4 negeri yang ditadbir mereka iaitu  di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perlis.
 Jeyakumar berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu segera mengatasi  ketakutan orang Melayu yang menganggap gabungan itu tidak membela nasib  bangsa dan Islam.
 Beliau menyarankan kerajaan supaya mencari penyelesaian ekonomi kepada isu-isu yang membelenggu kaum itu.
 “Kerajaan hari ini perlu selesaikan masalah kemiskinan dalam kalangan  B40, kerana lebih ramai kalangan B40 terdiri daripada orang Melayu  berbanding kaum lain
 “Walaupun PSM ada masalah dengan PH tetapi kita masih mahu PH kekal.  Jika PH kalah dan kerajaan kembali kepada Umno-PAS, untuk masyarakat  Malaysia, ia satu langkah kebelakang,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/orang-melayu-islam-harus-takut-dengan.html