Agong Keluarga Santai Nikmati Sajian Di Kafetaria Istana Negara
Sehari selepas pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Instagram Istana Negara telah berkongsi gambar Agong dan keluarga baginda menikmati santapan tengah hari. Paling menarik perhatian, santapan tengah hari tersebut adalah di kafetaria Istana Negara sahaja.
Tiada meja makan yang dihias indah, set pinggan mahal atau sudu garpu yang bergemerlapan. Menerusi perkongsian gambar tersebut, kelihatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Raja Permaisuri Agong dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sedang menikmati santapan tengah hari di kafetaria Istana Negara dalam keadaan cukup santai, sedehana dan bersahaja.
Turut ada bersama baginda berdua ialah dua orang anakandanya iaitu Tengku Puteri Afzan dan Tengku Puteri Jihan.
Setakat ini, hantaran tersebut telah mendapat 16,734 tanda ‘liked’ sebagai lambang suka kepada perkongsian gambar berkenan.
Pada 30 Julai yang lalu, rakyat Malaysia telah menyaksikan satu lagi peristiwa penting dalam lipatan sejarah tanah air apabila Sultan Abdullah ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam istiadat yang berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu.
Istiadat gilang-gemilang yang mengangkat kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara itu bermula tepat 10.45 pagi ini sebaik Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi memulakan istiadat.
Sultan Abdullah, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkenaan 6 Januari lalu.
Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://rasanakmasak.blogspot.com/2019/07/agong-keluarga-santai-nikmati-sajian-di.html