Afanti China Halal Food Bangkok
Kembali menyambung catatan perjalanan di Bangkok. Insya Allah lagi beberapa entri, tamatlah siri catatan Bangkok
Berbalik kepada tajuk entri - kalau ikut itinerari, kami akan makan di Samat Muslim Food (restoran masakan Thai) yang terletak di seberang jalan besar. Tak jauh dari penginapan kami di KC Place Hotel Pratunam (hotel penginapan kami yang kedua)
Tapi sebab kami datang sewaktu Hari Raya Aidiladha, restoran tersebut tak beroperasi selama beberapa hari kami di sana
Jadinya, saya buat carian kedai makan halal di aplikasi Google Maps dengan menaip ‘halal food near me’. Saya baca ulasan dan menu setiap kedai sebagai penilaian awal. Akhirnya saya memilih untuk cuba makan di Afanti China Halal Food berbanding beberapa kedai makan lain yang agak kurang meyakinkan status halalnya. Nampaknya, terpaksalah kami makan masakan negara China sewaktu berada di Thailand 😅
AFANTI CHINA HALAL FOODAfanti China Halal Food sebuah restoran masakan Uyghur yang terletak di Jalan Ratchaprarop, jaraknya cuma 230 meter dari penginapan kami. Kami berjalan melalui kaki lima deretan kedai dan membelok ke sebuah lorong untuk tiba di restoran ini
Restoran dengan hiasan dalaman yang nampak mewah
Buku menu. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.Seorang perempuan tempatan (berwajah Melayu) dan bertudung datang melayan kami. Pada mulanya saya bertanya dalam bahasa Inggeris, beliau macam kurang faham. Lepas tu saya cakap jelah bahasa Melayu dan dibalas cakap Melayu
“Eh, boleh cakap Melayu…” “Boleh, saya Melayu”
Terus kami sama-sama tersenyum lebar 😁. Tapi bukan semua yang saya tuturkan boleh difahami oleh beliau. Bahasa Melayu yang digunakan juga bukanlah bahasa Melayu seperti kita, kedengaran agak sukar dituturkan. Apa pun, ia tetap jua perkara yang menggembirakan apabila kita dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu di tempat asing
Ada dua sebab foto ini saya kongsikan - saya tertarik dengan corak pada pinggan dan satu lagi saya nak bagitau bahawa saya tak pandai pakai chopstick 😅. Mujur juga disediakan garpu, tidaklah susah payah saya nak makan mi guna sudu seperti yang terjadi sewaktu kunjungan kami ke Guangzhou, China suatu masa dulu
Kami sempat makan di restoran ini sebanyak dua kali. Bukanlah kerana suka sangat, tapi lebih kepada terpaksa kerana tak ada pilihan lebih baik. Foto-foto di bawah merupakan makanan yang kami makan untuk dua kali kunjungan ke sini
Signature Beef Noodles / 150 Baht. Rasanya oklah boleh makan
Braised Beef Noodles / 195 Baht. Yang ni sedap, sesuai cita rasa kami. Dua kali datang, dua kali kami pesan mi ni
Masa tengok buku menu kalau tak silapnya kami pesan Beef Bun. Tapi bila sampai rupa begini. Agak keras liat kulit luarnya, dalamnya cuma ada sedikit inti daging
Yang ni paling sendu nak makan. Nampak macam sedap, bila dimakan macam tak ada rasa. Tawar. Saya minta sambal atau sos cili dari pelayan. “Nak pedas-pedas?…tak ada..”, jawabnya. Akhirnya, kami tak mampu nak makan banyak
Semasa bayar di kaunter, kami dapat diskaun 15%. Tak pastilah sebab makan dengan jumlah bil tertentu atau sebab kami makan nasi goreng tu sikit je atau entah sebab apa 🤷♀️
Tak banyak pilihan minuman. Kami pesan jus oren, rupanya dapat jus oren dalam botol begini 😅
Restoran yang cantik, bersih dan layanan pantas. Cuma makanan yang kami cuba makan tak memenuhi cita rasa kami, kecuali Braised Beef Noodles tu jelah yang memuaskan selera. Apa pun, sangat bersyukur dengan adanya restoran ini dapatlah kami makan dengan selesa. Ada jugaklah pilihan selain makan makanan 7-Eleven
Seperkara lagi, saiz hidangan di sini besar tau. Kalau dua orang pesan dua mangkuk mi, memang sangat kenyang. Tapi kalau pesan satu saja, tak cukup pulak. Mungkin boleh pesan satu mangkuk mi dan satu lagi jenis makanan yang lebih ringan
————————————————————————-
AFANTI CHINA HALAL FOOD120/24, Jalan Ratchaprarop,Ratchathewi, Bangkok,Thailand
Waktu operasi :Setiap hari bermula 11 pagi
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2023/08/afanti-china-halal-food-bangkok.html