Adik Sempat Bergurau Dan Cium Kami
“SEMUANYA ibarat mimpi dan saya tak dapat lupakan detik gurauan adik sebelum ke sekolah namun kini dia masih bertarung nyawa dan masih tiada tindak balas walaupun kami memanggil namanya berulang kali,” kata Noor Atikah Daud, 47.
Noor Atikah berkata, anaknya, Affza Balqis Ahmad Sahrel, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort di Pasir Gudang kini kritikal akibat terhidu gas metana.
Menurutnya, sebelum kejadian anaknya itu sempat bergurau serta menciumnya dan suami sebelum ke sekolah semalam.
Katanya, Affza Balqis yang mesra dipanggil adik, masih tidak sedarkan diri dan bergantung dengan alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Dengan nada manja sambil memeluk saya, dia sempat bergurau dengan bertanya sama ada dia cantik.
“Saya kata, betul dia cantik, tapi kena ingat adik pakai tutup aurat cantik dan perlu niat kerana Allah SWT.
“Dia tidak menolak nasihat itu dan saya kemudian cium dahinya sebelum dia memeluk bapanya dengan erat dan itu perbualan terakhir kami sebelum dia ke sekolah,” katanya.
Menurutnya, tidak menyangka ia petanda anaknya itu ditimpa kejadian malang.
Affza Balqis salah seorang daripada lebih 260 mangsa terbaru pencemaran gas metana yang dirawat di HSI semalam.
Sehingga kini, 13 sekolah di kawasan berhampiran Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa kimia Khamis lalu dan ditutup dengan jumlah mangsa keseluruhan 516 orang dengan kebanyakannya pelajar sekolah.
Katanya, dia dihubungi pihak sekolah beberapa jam kemudian memberitahu anaknya dimasukkan ke HSI.
Mengulas lanjut, Noor Atikah meminta semua pihak mendoakan anaknya dan semua mangsa sembuh.
“Saya reda dengan ujian Allah SWT tetapi apabila melihatnya terbaring dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan, kami sekeluarga sedih dan terkilan,” katanya.
Sumber : hmetro
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.maitengok.com/2019/03/adik-sempat-bergurau-dan-cium-kami.html