Adik Dah Pergi Tapi Nama Tetap Disebut Luahan Abang Meruntun Jiwa
Rasa rendah apabila membaca luahan hati abang kepada mangsa nahas bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang berkongsi keistimewaan mengenai adiknya.
Siapa sangka gadis yang bakal bergelar guru pendidikan khas ini rupanya seorang yang hebat amalannya. Itulah kisah Allahyarham satu peringatan yang sungguh menginsafkan buat kita yang masih diberi nyawa. Moga jadi iktibar dan membuka mata tentang erti kehidupan yang sebenar.
Allahyarham merupakan pelajar Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meninggal dunia dalam nahas melibatkan sebuah bas di di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik Perak.
Peninggalan Terakhir Nurly Shahirah
Hafiz 30 juzuk al-Quran itu meninggal dunia dalam keadaan yang mulia, dengan memeluk al-Quran selain tekun menjaga hafalannya dan rutinnya melazimi bacaan kitab suci itu.
Apa yang mengejutkan, naskhah al-Quran tulisan tangan Allahyarham yang berusia 23 tahun maut bersama 14 yang lain dalam nahas di Gerik, kelmarin, menjadi tumpuan orang ramai yang menziarahi keluarganya.
Bukan itu sahaja,Allahyarham yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Besut, guru-guru juga memuji sebagai seorang yang menjaga hafalan al-Quran biarpun sudah bergelar hafiz selain pintar dan sopan tutur kata.
Dalam perkongsian media sosial abang Nurly, Mohd Najmuddin Azman mendedahkan, al-Quran tulisan tangan milik adiknya sempat ditatap Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Puteri Utama Raja, Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra’ yang berangkat mencemar dulu menziarahi keluarga.
Kunjungan kerabat diraja yang tiba kira-kira jam 10.20 pagi disambut bapa Allahyarham, Azman Mohamad, 63, bersama ahli keluarga
“Menjunjung kasih Tuanku, mencemar duli berangkat ke rumah arwah Nurly.”
“Tuanku tengok hasil tangan arwah menulis al-Quran pada buku. Itu merupakan amalan arwah untuk menguatkan hafazan arwah. Cantik sangat tulisan arwah,” kongsinya.
Malah, lebih pilu, abang arwah dengan penuh emosi meluahkan tidak tahu apa amalan hayat adiknya sehingga kematiannya menjadi tumpuan.
“Aku tidak tahu apa lagi amalan kau dik. Semalam sampai malam orang berpusu-pusu datang ke rumah dan ke pusara kau dik.”
“”Ada yang datang dari jauh Utara dan Selatan ke rumah semata-mata mahu kenal siapa ibu ayah Nurly.
“ALLAH, bangga aku dengan dik. Kau menyedarkan aku, keluarga dan seluruh orang Islam betapa hebatnya mukjizat al-Quran ALLAH dik,” kongsinya.
Jenazah Nurly Sahirah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Pasir, Jerteh pada 4 pagi, Selasa selepas disolatkan bersama 12 lagi jenazah pelajar UPSI lain oleh kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Hadhari, Jerteh.
Untuk info, kelmarin, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia, manakala tujuh cedera parah selepas bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan jam 1.15 pagi di Kilometer (Km) 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, dekat Gerik, Perak.
Sumber: Najmuddin Azman
The post Adik Dah Pergi, Tapi Nama Tetap Disebut, Luahan Abang Meruntun Jiwa appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/adik-dah-pergi-tapi-nama-tetap-disebut-luahan-abang-meruntun-jiwa/