Adib Mungkin Diserang Hampir Mustahil Dilanggar Saksi
Prof Dr Shahrom Abd Wahid berkata Muhammad Adib berkemungkinan besar diserang oleh perusuh yang datang dari arah belakang atau berhampiran van EMRS. — Foto oleh Shafwan Zaidon
SHAH ALAM, 19 April — Seorang saksi pakar memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau keliru dengan hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim serta keterangan bercanggah yang dikemukakan oleh pakar sama di mahkamah itu.
Bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, 62, berkata beliau keliru dengan rumusan laporan yang dibuat oleh pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) tersebut berdasarkan tiga isu utama.
Loading...
Saksi ke-29 itu berkata kekeliruan wujud sama ada Muhammad Adib keluar sendiri daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), ditarik oleh orang lain dan ketiga, Allahyarham mengalami kecederaan akibat terhimpit antara dua permukaan keras.
“(Dalam) laporan (bedah siasat) ini, pakar (daripada Hospital Kuala Lumpur yang menjalankan bedah siasat), menyatakan dia tidak pasti,” katanya ketika menjawab soalan peguam Syazlin Mansor mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada prosiding inkues hari ke-29, di sini hari ini.
Saksi itu berkata beliau juga keliru dengan keterangan (saksi pakar) yang dikemukakan di mahkamah bahawa Muhammad Adib turun dan kemudian dilanggar pintu van EMRS lalu terhumban ke bahu jalan.
Beliau berkata ini bercanggah dengan rumusan laporan bedah siasat oleh pakar sama yang tidak dapat menentukan sama ada anggota bomba tersebut turun sendiri atau ditarik oleh orang lain.
Saksi itu berkata hipotesis yang mengatakan Muhammad Adib turun sendiri daripada van EMRS dan kemudian dilanggar pintu van ketika mengundur juga adalah tidak benar dan perlu diuji.
Beliau berkata berdasarkan ‘controlled experiment’ (uji kaji terkawal) yang dilakukan pihaknya, adalah ‘almost improbable’ (hampir mustahil) untuk mengatakan pelanggaran itu boleh mematahkan mana-mana tulang rusuk anggota bomba berkenaan.
“Hipotesis mengatakan mangsa (Muhammad Adib) turun sendiri daripada van EMRS dan dilanggar pintu depan EMRS ketika undur... kemudian terhumban ke depan dan lepas itu landed (terdampar) di bahu jalan.
“Saya dapati hipotesis tidak diuji,” katanya.
Dr Shahrom juga berkata Muhammad Adib berkemungkinan besar diserang oleh perusuh yang datang dari arah belakang atau berhampiran van EMRS pada awal pagi, 27 November tahun lepas.
Beliau berkata berdasarkan eksibit I38 iaitu video dua kenderaan bomba mengundur, sekumpulan perusuh datang dari arah depan jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang berada di depan van EMRS.
Dr Shahrom berkata sekiranya Muhammad Adib melihat perusuh datang dari arah depan ke pintu van EMRS untuk menyerang, mangsa mempunyai prejudis yang beliau akan diserang.
“Kemungkinan besar, terdapat orang lain dari belakang datang ke arah Adib. Tiba-tiba dia diserang,” katanya.
Sementara itu Syazlin membantah permohonan pegawai pengendali inkues yang juga Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin untuk memanggil semula saksi ke-24 iaitu pakar perubatan forensik daripada HKL Dr Ahmad Hafizam Hasmi, 40.
Syazlin berkata tiada keperluan memanggil semula saksi berkenaan kerana kes itu adalah inkues dan bukannya perbicaraan.
Koroner Rofiah Mohamad mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing untuk menjelaskan sebab Dr Ahmad Hafizam perlu dipanggil semula ataupun sebaliknya dan menetapkan Isnin depan bagi mendengar hujahan itu.
Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. — Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.com/2019/04/adib-mungkin-diserang-hampir-mustahil.html