Abby Abadi Kena Tipu Beli Tanah
PETALING JAYA – “Saya tidak halalkan dunia akhirat. Saya tak nak dah tanah, saya nak duit saya balik”
Itu luahan kemarahan pelakon Abby Abadi setelah mengalami kerugian sebanyak RM160,000 akibat urusan jual beli tanah di Beranang, Hulu Langat, Selangor yang masih tiada hitam putih sejak lima tahun lalu.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 44, berkata, dia tidak menyangka akan berdepan dengan manusia ‘putar alam’ dalam urusan jual beli tanah bersama seorang lelaki dikenali sebagai Maslan Urmin pada tahun 2016.
“Jual beli tanah yang menyakitkan jiwa. Saya tak tahu nak kata macam mana lagi perasaan saya sekarang ini. Tidak pernah sangka akan berurusan dengan manusia yang ‘putar alam’ macam Maslan Urmin.
“Sekejap cakap lain, sekejap cakap lain pula. Sudahnya hampir lima tahun berlalu, tidak juga selesai lagi,” ujar Abby menerusi Instagramnya.
Ujar anggota kumpulan nyanyian, Elite itu lagi, jumlah kerugian yang dialaminya turut melibatkan duit hasil pemberian ibunya.
“Bukan sikit duit saya beli tanah itu. RM160,000 tau. Mak saya juga bantu supaya anaknya ada juga harta.
“Kata mak impian konon nak beli tanah, nak buat rumah sebab saya anak ramai. Biarlah ada jaminan untuk jangka panjang. Tapi macam kena main (tipu) pula,” katanya.
Tidak sanggp menunggu lebih lama, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Gerak Khas itu turut meminta bantuan netizen menggunakan kuasa viral untuk menjejaki lelaki terbabit.
“Siapa punya ayah ni (Maslan Urmin)? Atau ada siapa kenal? Tolong saya jejak hamba Allah ini sekejap. Lima tahun dah berlalu. Mari munculkan diri dan selesaikan apa yang patut.
“Kalau dapat jumpa lagi bagus. Saya nak minta pulangkan duit. Tawar hati dah nak beli tanah yang tidak tahu apa cerita,” tambahnya.
Menerusi hantaran berbeza, difahamkan lelaki berkenaan telah dijumpai hasil bantuan netizen.
Bahkan, didapati bahawa Maslan Urmin itu pernah tular dalam laman sosial kerana memberi bantuan barang-barang keperluan (sedekah) untuk individu yang memerlukan.
“Alhamdulillah Maslan Urmin keluarga yang baik rupanya. Rajin bersedekah. Baru sahaja tular beri bantuan kepada yang memerlukan ye? Saya pun baru tahu.
“Ya Allah syukur dapat kenal dan nak sangat jumpa supaya perjanjian kita (jual beli tanah) ini dapat diselesaikan dengan baik,” tulis Abby berbaur sindiran.
Bagaimanapun, menerusi hantaran tersebut, Abby menegaskan bahawa dia tetap ingin berjumpa dengan Maslan bagi ingin menuntut semula bayaran yang telah dibuatnya.
Menurut Abby, dia mengagumi kemuliaan hati keluarga tersebut kerana bersedekah, namun dkia berhak menuntut supaya wangnya agar dikembalikan semula.
“Saya akan minta maaf kepada mereka sebab gunakan media sosial untuk selesaikan hal ini, tetapi saya tiada pilihan. Saya mahukan hak saya semula,” ujarnya. – K! ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://darisungaiderhaka.blogspot.com/2021/02/abby-abadi-kena-tipu-beli-tanah.html