Abbott Big Caring Group Lancarkan Program Kesedaran Influenza Di Seluruh Negara
Abbott, BIG CARiNG Group Lancarkan Program Kesedaran Influenza Di Seluruh Negara
Abbott, sebuah perusahaan global di bidang kesihatan, bersama BIG CARiNG Group (BCG), rangkaian farmasi utama di Malaysia, berganding bahu dalam kerjasama strategik selama tiga tahun untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang influenza di seluruh negara.
Program Kesedaran Influenza ini akan berlangsung dari tahun 2025 hingga 2027 untuk mempertingkatkan pemahaman orang ramai terhadap penyakit influenza serta menggalakkan penjagaan kesihatan secara proaktif.
Inisiatif nasional ini menunjukkan komitmen bersama dalam memperkukuh kesihatan komuniti melalui pendidikan, penglibatan masyarakat dan penyampaian maklumat kesihatan yang mudah difahami dan senang diakses. Program ini akan dijalankan secara berperingkat di kawasan bandar dan luar bandar, dan akan merangkumi aktiviti seperti:
Sesi Hari Kesihatan: Acara awam di lokasi terpilih dan melalui saluran digital untuk mendidik rakyat Malaysia tentang cara mencegah dan menjaga kesihatan berkaitan influenza.
Program Kesihatan Korporat: Aktiviti kesihatan di tempat kerja yang merangkumi ceramah kesihatan dan saringan, dijalankan bersama sahabat korporat.
Pameran Pelancongan: Kaunter penerangan dan sesi konsultasi di lokasi tertentu untuk memberi maklumat kepada pelancong mengenai risiko jangkitan influenza serta langkah-langkah perlindungan yang boleh diambil.
Hari Kesedaran Kesihatan di Sekolah dan Universiti: Sesi interaktif yang direka khas untuk golongan muda bagi memupuk kesedaran awal dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Influenza kekal sebagai isu kesihatan awam yang membimbangkan di Malaysia. Ia sering tidak dilaporkan sepenuhnya kerana simptomnya menyerupai jangkitan pernafasan biasa dan mudah disalah anggap sebagai selesema. Sebenarnya, influenza boleh menyebabkan komplikasi serius seperti pneumonia, atau merumitkan keadaan penyakit kronik yang sedia ada.
Pada tahun 2024, lebih daripada 30,000 kes influenza telah dilaporkan di Malaysia termasuk 17 kematian yang berkaitan. Golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak bawah dua tahun, wanita hamil dan individu yang menghidap penyakit kronik, lebih mudah mengalami jangkitan yang teruk.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus menyarankan pengambilan vaksinasi influenza setiap tahun sebagai langkah utama untuk mengurangkan risiko jangkitan dan kematian akibat penyakit ini, terutamanya dalam kalangan golongan berisiko tinggi. Sebagai sokongan kepada saranan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperluaskan program vaksinasi kebangsaan dengan menawarkan vaksin influenza secara percuma kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik di fasiliti kerajaan terpilih.
Pengurus Besar Bahagian Ubat-ubatan Abbott Malaysia, Encik Kwa Kheng Hoe, berkata, “Influenza bukan sekadar penyakit bermusim. Ia boleh menjejaskan kehidupan, keluarga, dan komuniti. Melalui kerjasama dengan BCG, kami ingin membantu rakyat Malaysia mengambil langkah pencegahan mudah tetapi sangat berkesan.
Matlamat kami ialah memberi pengetahuan yang diperlukan agar mereka dapat melindungi diri dan keluarga. Bersama-sama, kami berusaha mengurangkan beban penyakit ini dan membina komuniti yang lebih sihat dan berpengetahuan.”
Ketua Kelestarian BIG CARiNG Group, Encik Loo Jooi Leng, turut berkongsi, “Sebagai rangkaian farmasi utama di Malaysia, kami melihat sendiri bagaimana kesedaran kesihatan boleh mengubah kehidupan. Kerjasama dengan Abbott ini bukan sekadar tentang pendidikan, tetapi juga tentang mendekati masyarakat di mana mereka berada dan membantu mereka kekal sihat.
Melalui usaha bersama dalam pencegahan influenza serta sokongan daripada rakan strategik kami, kami menegaskan komitmen untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses dan memperkasakan rakyat Malaysia untuk menjaga kesejahteraan mereka.”
Tingkatkan Daya Tahan Anda
Tidak seperti selesema biasa, simptom influenza biasanya muncul secara tiba-tiba daripada tahap yang ringan ke tahap yang serius. Antara simptom yang lazim termasuk demam atau menggigil, batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, sakit otot atau badan, sakit kepala dan keletihan.4
Untuk membantu rakyat Malaysia kekal sihat, berikut adalah lima tip mudah daripada pakar untuk melindungi diri daripada jangkitan influenza: 5,6
Ambil vaksin setiap tahun
Vaksinasi tahunan diberikan oleh doktor bertauliah adalah cara paling berkesan untuk mencegah influenza. Tahap imuniti boleh menurun dari semasa ke semasa, dan virus influenza sentiasa berubah. Oleh itu, suntikan tahunan amat penting.
Amalkan kebersihan diri
Basuh tangan dengan sabun dan air secara berkala, atau gunakan pencuci tangan berasaskan alkohol. Amalan ini membantu menghapuskan virus influenza yang ada pada permukaan atau kulit.
Tutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin
Gunakan tisu atau bahagian siku untuk menutup mulut dan hidung. Buang tisu dengan betul dan basuh tangan selepas itu untuk mengelakkan penyebaran titisan.
Tingkatkan kualiti udara dalaman
Buka tingkap, gunakan penapis udara, atau luangkan masa di luar untuk mengurangkan pendedahan kepada virus bawaan udara.
Amalkan gaya hidup sihat
Dapatkan tidur yang mencukupi, amalkan pemakanan berkhasiat, kekal aktif dan urus tekanan dengan baik bagi mengekalkan sistem imun yang kuat.
Dapatkan nasihat daripada pakar kesihatan untuk memahami lebih lanjut tentang influenza dan cara melindungi diri serta orang tersayang. Untuk maklumat lanjut, kunjungi farmasi BIG atau CARiNG yang berhampiran, atau layari medicines.abbott.com
The post Abbott, BIG CARiNG Group Lancarkan Program Kesedaran Influenza Di Seluruh Negara appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/10/28/abbott-big-caring-group-lancarkan-program-kesedaran-influenza-di-seluruh-negara/