8 Perkara Ini Mungkin Punca Anak Alami Sembelit Ibu Cuba Semak
Masalah anak sembelit adalah perkara biasa terutamanya ketika dalam proses latihan tandas sekitar usia 2 hingga 3 tahun. Apakah tanda tanda sembelit yang boleh ibu kenal pasti ya?
Jom baca lebih lanjut dalam perkongsian artikel ini.
Masalah anak sembelit
Sembelit terjadi apabila anak mempunyai najis dengan tekstur yang sangat keras bersama pergerakan usus yang jarang berbanding kebiasaannya.
Umumnya, isu sembelit ini adalah masalah gastrointestinal yang normal untuk terjadi.
Tanda tanda sembelit yang boleh dilihat pada anak adalah termasuk:
Kurang membuang air besar
Najis yang keras dan banyak
Kesukaran atau kesakitan semasa mengeluarkan najis
Berita baiknya, kebanyakan kes sembelit kanak-kanak bersifat sementara.
Tanda tanda sembelit
Gejala menunjukkan anak mengalami sembelit mungkin berbeza. Namun kebiasaannya adalah:
Membuang air besar kurang daripada 3x seminggu
Najis keras, kering dan sukar dikeluarkan
Mengalami kesakitan semasa membuang air besar
Sakit perut
Terdapat tompokan cecair atau najis pada seluar dalam anak
Terdapat darah pada najis
Tidak berasa lapar
Menunjukkan tanda cuba menahan berak seperti mengetap gigi, menyilang kaki, memegang punggung atau wajah berubah kemerahan
Punca anak sembelit
Sembelit paling kerap berlaku apabila sisa buangan atau najis bergerak terlalu perlahan dalam saluran pencernaan. Kesannya najis menjadi keras dan kering.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan si kecil mengalami masalah sembelit, antaranya:
1. Menahan keinginan
Si kecil mungkin mengabaikan keinginan untuk membuang air besar kerana takut ke tandas atau tidak mahu berhenti daripada bermain.
Ada juga kanak-kanak yang menahan diri kerana tidak selesa menggunakan tandas awam.
Pergerakan usus yang menyakitkan disebabkan najis yang besar dan keras turut boleh menjadi punca anak menahan diri daripada berak.
2. Masalah latihan tandas faktor anak sembelit
Latihan tandas yang dimulakan terlalu awal juga boleh menyebabkan anak memberontak, sekali gus tidak mahu membuang air besar.
3. Diet pemakanan antara punca anak sembelit
Kurang pengambilan makanan tinggi serat seperti buah-buahan dan sayuran serta pengambilan cecair harian yang sedikit boleh menyebabkan sembelit.
Antara tempoh paling biasa untuk anak berdepan sembelit apabila memulakan pengambilan makanan pejal.
4. Perubahan rutin harian
Sebarang perubahan dalam rutian harian seperti melancong, cuaca panas atau tekanan – boleh mempengaruhi fungsi usus.
Anak juga cenderung mengalami sembelit apabila pertama kali memulakan sesi persekolahan.
5. Ubatan
Sesetengah ubat antidepresan dan ubat-ubatan lain turut boleh mengakibatkan sembelit.
6. Anak sembelit kesan alahan produk tenusu
Alahan kepada susu lembu atau terlalu banyak memakan produk tenusu – keju dan susu lembu – turut boleh menyumbang kepada sembelit.
7. Sejarah keluarga
Sejarah keluarga dengan sembelit juga meningkatkan risiko anak untuk mengalaminya. Ini mungkin disebabkan faktor genetik atau persekitaran yang sama.
8. Keadaan perubatan penyebab anak sembelit
Dalam kes jarang berlaku, sembelit terjadi berpunca daripada kecacatan anatomi, masalah sistem metabolik atau pencernaan mahupun masalah kesihatan lain.
Langkah pencegahan
Cara mencegah tanda tanda sembelit pada si kecil:
Tawarkan makanan berserat tinggi
Sediakan makanan kaya serat untuk membantu tubuh membentuk tekstur najis lebih lembut, seperti sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijirin.
Mulakan penambahan beberapa gram serat sehari secara beransur-ansur untuk mengelakkan perut kembung dan berangin.
Galakkan pengambilan air
Sarankan anak untuk mengambil cecair secukupnya, terutamanya air.
Wujudkan sesi penyusuan badan lebih kerap untuk bayi yang menyusu. Bagi bayi yang minum susu formula, berikan air tambahan antara setiap sesi penyusuan.
Tingkatkan aktiviti fizikal bantu cegah anak sembelit
Aktiviti fizikal dapat merangsang dan membantu fungsi usus normal untuk mendorong pergerakan makanan bagi pencernaan.
Galakkan anak untuk bermain di luar rumah berbanding hanya menonton televisyen dan aktiviti yang kurang pergerakan.
Wujudkan rutin tandas
Tentukan masa ke tandas untuk anak selepas makan secara berkala.
Jika perlu, sediakan pemijak kaki (footstool) untuk membolehkan anak berasa selesa semasa menggunakan tandas.
Ingatkan anak untuk tidak menahan
Sentiasa ingatkan anak untuk ke tandas apabila melihat mereka terlalu leka bermain.
Jika mereka kerap mengabaikan keinginan ke tandas, ia meningkatkan risiko si kecil mengalami sembelit
Berikan sokongan
Berikan ganjaran atas usaha anak apabila mereka cuba membuang air besar.
Antara ganjaran yang boleh diberikan seperti pelekat, buku khas atau permainan yang hanya dapat dimainkan selepas atau semasa (jika ada) membuang air besar.
Perubahan ubatan untuk cegah masalah anak sembelit
Jika terdapat sebarang ubat yang menyebabkan si kecil mengalami sembelit berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan pilihan ubatan lain.
Sekiranya terdapat sebarang kebimbangan dengan keadaan kesihatan anak, anda disarankan untuk membawa mereka melakukan pemeriksaan pakar dengan segera.
Ketahui fungsi caresat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up! Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
The post 8 Perkara Ini Mungkin Punca Anak Alami Sembelit, Ibu Cuba Semak! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/8-perkara-ini-mungkin-punca-anak-alami-sembelit-ibu-cuba-semak/