6102 Sampai Bila Mahu Tagih Ihsan Negara Lain Dapatkan Vaksin Ppim Malaysia Gazette 27 11 2020
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mewujudkan satu agensi khusus untuk pembangunan vaksin memandangkan ancaman wabak kini semakin membimbangkan termasuk Covid-19.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menegaskan, negara ini telah berhadapan dengan gejala virus Nipah, Sars, MERS-CoV dan lain-lain tetapi harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan penularan semula wabak-wabak lain.
“Negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand sudahpun memperkasakan kepakaran, kemudahan dan keupayaan mereka untuk menghasilkan vaksin sendiri dan kita yakin Malaysia mempunyai beberapa kelebihan dari segi kemudahan infrastruktur, pakar-pakar dan kewangan yang kukuh.
“Sampai bila negara perlu menagih ihsan dari negara pengeluar untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi berikutan penularan pantas seperti Covid-19 ini?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Lagi pun, menurut PPIM, negara pengeluar vaksin sudah pasti akan mengutamakan penduduk mereka dahulu sebelum mengekspot bahan itu kepada negara luar.
“Umat Islam khususnya juga terpaksa berhadapan dengan keadaan darurat apabila terpaksa divaksinasi dengan vaksin yang mempunyai unsur-unsur haram setiap kali menunaikan Haji dan Umrah.
“Walaupun diharuskan pengambilannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kita perlu peka dan bertanya sampai bila kita harus bergantung kepada keputusan fatwa ini sedangkan kita mempunyai kemampuan dari segi kepakaran dan kewangan yang cukup untuk membangunkan vaksin, khususnya vaksin halal,” katanya kenyataan yang sama.
Setakat ini Malaysia mengimport sepenuhnya keperluan vaksin negara yang sudah tentunya menelan belanja berbillion-billion ringgit.
Dengan penularan wabak Covid-19 ini negara terpaksa menyediakan dana yang lebih untuk memvaksinasi sekurang-kurangnya 70 peratus atau lebih 20 juta rakyat Malaysia untuk mencapai tahap herd immunity.
Sehingga kini, kata PPIM, negara masih lagi belum mempunyai pusat atau mana-mana agensi yang menjurus ke arah penghasilan vaksin berikutan ketiadaan infrastruktur yang diperlukan, walaupun negara mempunyai sejumlah pakar vaksin yang berkelayakan.
Artikel oleh: Malaysia Gazette
SAMPAI BILA MAHU TAGIH IHSAN NEGARA LAIN DAPATKAN VAKSIN? - PPIM
https://malaysiagazette.com/2020/11/27/sampai-bila-mahu-tagih-ihsan-negara-lain-dapatkan-vaksin-ppim/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ppim4u.blogspot.com/2020/11/6102-sampai-bila-mahu-tagih-ihsan.html