4 Pasukan Berentap Di Final Piala Remaja B 17
AKSI antara pemain SMK Za’ba (hijau) dan SMK Gunung Rapat dalam separuh akhir kedua Piala Remaja KPM-FAM B-17 di Kuala Pilah.4 pasukan berentap di final Piala Remaja B-17
KUALA LUMPUR: Saingan Piala 100PLUS Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun (B-14) dan Piala Remaja KPM-FAM Bawah 17 Tahun (B-17) kian menghampiri kemuncaknya selepas empat pasukan mengisi slot final bagi kedua-dua kategori terbabit.
Bagi kategori B-14, SMK Bukit Indah (Johor) menjadi pasukan terawal mengesahkan tempat ke final selepas menumbangkan SMK Za’ba (Negeri Sembilan) 3-1 secara agregat.
Meskipun dikejutkan menerusi jaringan tunggal Muhd Hafidzuddin Murad pada aksi separuh akhir kedua, namun kekalahan 1-0 di tangan SMK Za’ba itu tidak menjejaskan peluang SMK Bukit Indah ke final selepas mereka selesa mendahului 3-0 pada aksi separuh akhir pertama sebelum ini.
“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini. Kami menang 3-0 di Johor dan apa yang penting untuk kami adalah mara ke final.
“Negeri Sembilan adalah pasukan yang hebat dan mereka memberikan perlawanan dan tentangan yang sengit,” kata jurulatih SMK Bukit Indah, Javier Jorda Ridera.
Menanti SMK Bukit Indah di pentas akhir adalah SSMP Bawah 13 yang mengecewakan wakil Kelantan, SMK Putera menerusi peraturan jaringan di tempat lawan selepas kedua dua pasukan terikat 3-3 secara agregat.
Sementara itu, bagi aksi B-17, SMK Za’ba nyata menepati ramalan untuk mara ke final susulan kemenangan bergaya 6-3 secara agregat ke atas SMK Gunung Rapat.
Perlawanan separuh akhir kedua di laman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya SMK Za’ba yang bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk melakar kemenangan 2-1.
Muhd Ikfan Mohd Rozi membuka tirai gol untuk pelawat pada babak pertama melalui sepakan penalti, namun tuan rumah bangkit dengan dua gol dalam tempoh 11 minit hasil jaringan Tengku Mohd Norzaiful Tengku Zaizurin (m67) sebelum gol Hafiz Ikhwan Hazley memastikan kemenangan buat SMK Za’ba.
Lawan SMK Za’ba di pentas final adalah SMK Presint 14 (1) yang berjaya meraih kemenangan 5-2 secara agregat ke atas SSMP B15.
Separuh akhir kedua menyaksikan SMK Presint 14 (1) membenam cabaran SSMP B15 3-1 di Gambang hasil jaringan Mohd Haizal Jinie Adam (m16), Muhd Norazwan Amir (m31) dan Mohd Syahir Abd Rahman (m 41) sementara gol tunggal SSMP B15 dijaringkan Muhd Syukur Fariz Januri.- bahrian.com.my
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://buletinsabahfa.blogspot.com/2018/10/4-pasukan-berentap-di-final-piala.html