26 Tahun Sewa Rumah Tempat Isteri Dibunuh Suami Terkejut Suspek Akhirnya Serah Diri
26 Tahun Sewa Rumah Tempat Isteri Dibunuh, Suami Terkejut Suspek Akhirnya Serah Diri
Seorang lelaki di Jepun dilaporkan sanggup membayar sewa rumah kosong selama 26 tahun, rumah yang menjadi lokasi isterinya dibunuh.
Difahamkan, hal ini dilakukan hanya untuk mengekalkan tempat kejadian dan berharap agar dapat menemui petunjuk tentang pembunuh sebenar isterinya.
Menurut SCMP, penantian panjang itu akhirnya terjawab apabila suspek menyerah diri kepada pihak polis di bandar Nagoya, Jepun tengah.
Lebih mengejutkan, suspek rupa-rupanya rakan sekelas suami mangsa semasa di sekolah menengah, dan difahamkan wanita itu pernah menyimpan perasaan terhadapnya.
Kisah ini mula menarik perhatian ramai selepas dilaporkan oleh media Jepun, NHK, pada awal November lalu.
Tragedi 1999
Kejadian tragis itu berlaku pada 13 November 1999, apabila seorang suri rumah bernama Namiko Takaba ditemui mati di rumahnya dengan kesan tikaman di leher beberapa kali.
Ketika kejadian, anak lelaki mereka yang berusia dua tahun berada di sisi ibunya, namun tidak mengalami sebarang kecederaan, lapor SCMP.
Bagi menyelesaikan kes tersebut, pihak berkuasa Jepun menggerakkan 100,000 anggota polis dan menyoal siasat lebih 5,000 orang. Malangnya, tiada bukti kukuh ditemui.
Satu-satunya maklumat yang diperoleh ketika itu ialah suspek dipercayai seorang wanita berdarah jenis B, tinggi kira-kira 1.6 meter, dan memakai kasut bersaiz 24 sentimeter.
Justeru, polis menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang dapat membantu mengesan pembunuh tersebut.
Tempat kejadian tidak diusik
Bagi mengekalkan tempat kejadian, suami mangsa, Satoru Takaba, membuat keputusan untuk terus menyewa rumah itu tanpa mengubah apa-apa selama 26 tahun.
Beliau dan anaknya berpindah ke tempat lain dan tidak pernah berkahwin lagi. Sepanjang tempoh itu, Takaba membayar sewa rumah berjumlah 22 juta yen (kira-kira RM725,000).
Takaba juga tidak membersihkan kesan darah atau mengalih sebarang barangan di rumah berkenaan kerana percaya ia mungkin membantu siasatan pada masa hadapan.
Selain itu, beliau kerap mengedarkan risalah kepada penduduk tempatan bagi memohon maklumat baharu berkaitan kes isterinya.
Suspek akhirnya serah diri
Selepas lebih dua dekad, polis Jepun membuka semula siasatan pada tahun lalu dan menumpukan perhatian kepada individu yang pernah rapat dengan keluarga mangsa.
Hasilnya, pada 30 Oktober lalu, seorang wanita berusia 69 tahun tampil menyerah diri di balai polis.
Difahamkan, wanita itu pernah disoal siasat sebelum ini, namun enggan memberikan sampel darah untuk ujian DNA.
Siasatan terbaru mendapati DNA daripada darah yang ditemui di tempat kejadian sepadan dengan DNA suspek. Ini sekali gus membawa kepada penangkapannya atas tuduhan membunuh.
Suspek mohon maaf kepada keluarga mangsa
Ketika disoal siasat, suspek mengakui rasa bersalah yang menghantui dirinya selama bertahun-tahun.
“Selama dua dekad, saya hidup dalam ketakutan. Saya tidak berani menonton berita tentang kes ini dan akan berasa cemas setiap kali tiba 13 November.
“Saya tidak mahu ditangkap kerana takut menyusahkan keluarga. Tetapi apabila polis menghubungi saya pada Ogos lalu, saya akhirnya bersedia untuk menyerah diri. Saya ingin memohon maaf kepada Namiko,” katanya kepada polis.
Takaba pula mengakui terkejut besar apabila mengetahui identiti sebenar suspek.
“Saya tidak pernah menjangka ia adalah dia. Saya sangka pembunuh sudah lama meninggalkan Nagoya, tetapi rupa-rupanya dia tinggal berhampiran rumah yang saya sewa,” ujarnya.
Menurut Takaba, wanita itu pernah menghantar hadiah dan surat cinta kepadanya semasa di sekolah, namun perasaannya tidak berbalas.
Mereka tidak lagi berhubung selepas tamat sekolah, kecuali sekali bertemu semula setahun sebelum tragedi berlaku.
“Dia beritahu sudah berkahwin, tetapi penat dengan kerja dan kehidupannya. Dia tidak pernah ganggu kami sebelum itu, jadi saya tidak sangka langsung dia mampu lakukan perkara sebegitu,” katanya menutup cerita penuh duka itu.
BACA: Ambulans Tak Dapat Lalui Jalan Rosak, Jenazah Dibawa Naik Motosikal
Sumber: SCMP
The post 26 Tahun Sewa Rumah Tempat Isteri Dibunuh, Suami Terkejut Suspek Akhirnya Serah Diri appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/11/09/26-tahun-sewa-rumah-tempat-isteri-dibunuh-suami-terkejut-suspek-akhirnya-serah-diri/