18 Jam Suami Atas Pokok Jambu
Mohd Rafi Mamat
Zuliah Simoh @ Mokhtar dan Roslan Maalik memilih pakaian yang ditenggelami banjir di rumah mereka di Kampung Karak Setia. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat BENTONG: "Selama 18 jam saya berhadapan detik cemas menanti suami yang kembali ke rumah semata-mata menyelamatkan dokumen penting daripada ditenggelami banjir.
"Setiap detik saya berdoa kejadian buruk tidak berlaku pada suami, hanya Tuhan sahaja yang tahu hati saya ketika itu," kata penduduk Kampung Karak Setia, di sini, Zuliah Simoh @ Mokhtar, 49.
Katanya, selepas suami, Roslan Maalik, 52, menghantar dia dan dua anak berusia 19 dan 10 tahun ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia, Roslan kembali ke rumah untuk mengambil beg berisi dokumen penting.
Menurutnya, kira-kira jam 10 malam pada 18 Disember lalu Roslan menaiki pikap untuk pulang ke rumah sambil mengharungi banjir dengan arus deras.
"Sepanjang malam saya tidak dapat melelapkan mata memikirkan nasib suami yang tidak kembali ke PPS, saya meminta bantuan jiran sekampung untuk mengesan kedudukan suami.
"Debaran saya semakin kencang apabila keesokan hari kelibat suami terus tidak kelihatan, penduduk mendakwa terdapat beberapa jiran terperangkap di rumah mereka berikutan paras banjir setinggi lebih empat meter.
"Saya nekad sekiranya suami tidak ditemui, saya sendiri akan mencarinya walaupun berhadapan banjir yang masih lagi berada pada paras bahaya," katanya yang berasal dari Felda Jengka 11, Maran.
Zuliah berkata, anggota bomba menemui suaminya di atas pokok jambu di tepi rumah selepas dibawa arus deras dan berada di situ selama 18 jam.
Katanya, disebabkan terlalu sejuk, lapar dan penat, Roslan terjatuh dalam air sebelum berenang dan memanjat semula pokok.
"Suami kata badannya digigit serangga, selain melihat kepala air yang deras membawa bersama kayu. Banjir ketika itu di paras bumbung rumah.
"Kekuatan mental suami yang sebelum ini bertugas sebagai anggota tentera darat membolehkannya bertahan di atas pokok selama 18 jam.
"Suami beritahu tanpa ketahanan diri sudah tentu dia tewas," katanya yang telah 12 tahun menetap di Kampung Karak Setia.
Zuliah berkata, mereka kerugian lebih RM300,000 apabila semua barangan dan peralatan termasuk tiga kereta dan empat motosikal tidak dapat diselamatkan dalam kejadian banjir bersama kepala air membawa lumpur tebal.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/18-jam-suami-atas-pokok-jambu.html