15 000 Penjawat Awam Dapat Khidmat Kaunseling Akibat Covid 19
                                  Shawaliah Hadir                                                                                                                                                                                                                      

Mohd Khairul Adib Abd Rahman             KUALA LUMPUR – Seramai 15,000 penjawat awam mendapatkan  perkhidmatan kaunseling kerana terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak  Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) dilaksanakan sehingga September  2020.
Jumlah itu adalah antara 64,400 orang secara keseluruhan yang  mendapatkan perkhidmatan psikologi, demikian Ketua Pengarah Perkhidmatan  Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman memetik statistik daripada Mental Health Psychososial Support Services (MHPSS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kesihatan mental penjawat awam jelas beliau, amat penting  kerana ia mempunyai kaitan dengan kesan terhadap prestasi kerja mereka.
“Akibat daripada situasi pandemik Covid-19 terdapat individu yang  terasa terganggu atau terkesan apabila berdepan dengan pelaksanaan PKP  dalam kehidupan sehingga menjejaskan keadaan psikologi diri.
“Sebagai contoh terdapat individu mengalami kegelisahan, ketakutan, dan terasing apabila mengamalkan penjarakan fizikal.
“Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh  mencetuskan reaksi negatif kepada fisiologi tubuh badan individu yang  mana cenderung mengalami stress, jatuh sakit dan mengalami penurunan  kefungsian kognitif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bagi merasmikan  Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam kali ke-24 anjuran Jabatan  Perkhidmatan Awam menerusi FB Live Jabatan Perkhidmatan Awam pagi ini.
Persidangan berkenaan bertemakan ‘Norma Baharu Perkhidmatan Psikologi dan Intervensi Digital’.
Terdahulu beliau memaklumkan persidangan ini julung kali diadakan  secara dalam talian, berikutan pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan  Bersyarat (PKPB) di Putrajaya.
Mengulas lanjut beliau menambah, perkhidmatan psikologi pada waktu  ini tidak lagi 100 peratus bergantung dengan kaedah fizikal, sebaliknya  bimbingan kaunseling misalnya boleh dilaksanakan secara alam maya.
Kaedah ini, katanya lagi, seiring dengan norma baharu yang perlu  diterapkan secara tidak langsung memberi kelebihan penjimatan masa dan  kos.
Walau bagaimanapun beliau tidak menolak terdapat situasi tertentu  yang memerlukan perkhidmatan psikologi dilakukan secara konvensional.
“Penyampaian perkhidmatan psikologi secara intervensi digital seperti  bimbingan, kaunseling psikoterapi dan penilaian psikologi disediakan  bagi membantu pelanggan mendapatkan perkhidmatan dengan segera,  terutamanya dalam kes kecemasan.
“Penyampaian perkhidmatan secara digital juga, membolehkan pelanggan  mendapat khidmat nasihat, sokongan atau intervansi tanpa dibatasi oleh  faktor geografi, masa kos atau fizikal.
“Dalam situasi tertentu penyampaian perkhidmatan psikologi secara  konvensional masih relevan untuk dipraktikkan mengikut kesesuaian masa  dan keperluan individu,”jelas beliau.
Sehubungan itu, Mohd Khairul berharap persidangan psikologi yang akan  berlangsung selama tiga hari bermula hari ini akan menjadi pentas  khasnya bagi pegawai psikologi untuk mengenalpasti alternatif intervensi  baru yang bersesuaian, efektif dan bermanfaat kepada semua pihak.-  MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/15000-penjawat-awam-dapat-khidmat.html