12 Taman Taman Negara Di Sarawak
12 Taman-Taman Negara Di Sarawak | Untuk peminat taman negara, aku senaraikan di sini sebahagian taman-taman negara untuk dikunjungi. Sebagai seorang peminat eko-pelancongan, aku sokong dan berharap lebih ramai rakyat Malaysia melawat taman-taman negara agar dapat belajar serba sedikit tentang tumbuhan, haiwan dan geografi selain menghargai apa yang kita ada sebelum tangan-tangan rakus melenyapkannya demi duit
Dalam Malaysia, Sarawak ada paling banyak taman negara tapi tak semua mudah dilawati. Seorang kenalan yang berasal dari Miri pernah muatnaik gambar air terjun di sana tapi dia tak nak bagitau nama sebab takut dikomersilkan, tak mahu ramai orang datang sana walaupun dia sendiri terlibat dalam pelancongan
Aku hanya pernah ke Semenggoh, Guang Angin, Gua Pari-Pari (Fairy Cave), Taman Negara Bako dan Gunung Mulu National Park di Miri. Suka sangat dengan kompleks gua di Miri tu… rupanya aku boleh je berjalan kaki berkilometer. Bak kata orang kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, kalau tak cuba berjalan mana tahu mampu ke tak, haa gituh. Cuma Pinnacles definitely not for me, sangat mencabar weh. Strukturnya seperti Stone Forest di Kunming. Haa… itu kite dah pergi (ada buggy sampai ke dalam)
Orang utan di Semenggoh Wildlife Centre di Kuching.
Impian seterusnya nak ke Taman Negara Niah (110km dari bandar Miri). Nak berjalan masa masih sihat ni sebab perlukan tenaga dan kekuatan minda serta kaki. Kaki aku cedera sebab jatuh dua minggu lepas pun tak baik lagi bayangkanlah kalau dah tua nanti lutut pula sakit berjalan pun perlahan, jengkreng. Kecantikan dan keunikan formasi bumi dan gua yang belum kita fahami sepenuhnya takkan pernah berhenti memukau pandangan sesiapa yang sukakannya, sentiasa terpesona. Aku tak tahu nak terangkan keadaan gua-gua ni dari segi geografi dan sains alam tapi I just love it! Setakat ini inilah perkara yang aku suka lakukan di Sarawak selain festival muziknya. Biar kita tengok sendiri depan mata daripada sekadar mendengar orang bercerita. Malu kalau omputeh pula bercerita tentang kecantikannya kepada kita
Yang lebih bagusnya di Sarawak ni tiket masuk ke taman negara atau rizab semula jadi adalah murah, pergi reramai pun tak terasa berlubang poket
Ku senaraikan di sini sebahagian taman-taman negara yang terdapat di Sarawak:
1. Taman Negara BakoTaman Negara Bako yang terletak 37 km dari Kuching kaya dengan flora dan fauna. Walaupun ia adalah satu daripada taman negara terkecil di Asia Tenggara, ia mempunyai hampir kesemua spesis tumbuhan yang dapat dijumpai di Borneo dengan sekurang-kurangnya tujuh jenis tumbuhan tropikal yang utama di Sarawak
Monyet Proboscis (hidung muncung/monyet Belanda/kera bekantan.. eh banyak betul nama dia) yang hanya dapat dilihat di Borneo antara mamalia yang terdapat di sini. Kalau bernasib baik boleh terserempak dengan spesies ikan lumba-lumba juga
Untuk ke Taman Negara Bako hanya perlu naik bot kecil dalam 20 minit dari Kampung Bako. Aku pernah cerita yang kami ke sana naik bot panjang seramai 20 orang satu bot dengan tak pakai jaket keselamatan, menempah bala betul. Teragak-agak nak menolak sebab seseorang yang dikenali uruskan perjalanan tu. Kalau terbalik dah arwah tiga generasi- atuk uwan, kami suami isteri dan anak-anak empat orang. Gila
2. Taman Negara MuluTaman Negara Gunung Mulu yang terletak di utara negeri Sarawak merupakan destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia terutama dari kalangan pelancong asing. Di bandar Kuching jarang jumpa pelancong dari luar negara tapi di Mulu ni mereka sesaje. Mereka suka gua dan hutan kita. Peluang ke sini beberapa tahun lepas merupakan kenangan manis buat aku. Love it! Berhajat benar nak bawa keluarga ke sini dan menginap di Royal Mulu Resort
Taman Negara ini dihiasi oleh Gunung Mulu yang merupakan gunung batu pasir setinggi 2,377 meter. Kompleks gua di taman negara ini menjadi kediaman kepada berjuta kelawar dan burung layang-layang
Untuk ke Taman Negara Mulu boleh dituju menggunakan pesawat kecil dari Miri (kena semak masa penerbangan bebetul. Dulu MASwings, sekarang Air Borneo). Rasanya boleh juga menggunakan sungai tapi pada aku sangat mencabar dan perlukan masa yang lebih lama. That is for the adventurous

Happy face! Setiap hari naik bot dari Royal Mulu Resort. #throwback jer...
Yang tegak tinggi tu pokok palma kot?
Macam Abraham Linclon katanya...
David Bowden, a freelance photojournalist.
Nampak orang besar kuman tu?
Kraftangan suku kaum Penan.
3. Taman Negara NiahTaman Negara Niah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia UNESCO juga terletak di Miri. Dari bandar, perjalanan akan mengambil masa satu jam setengah. Lepas beli tiket terus ke jeti untuk menyeberangi sungai. Dekat je
Dari situ terus berjalan dalam 2.5km diatas laluan konkrit merentasi dan menikmati keindahan hutan hujan tropika sehingga ke pusat kraftangan. Digalakkan pergi ke galley dulu sebelum masuk gua untuk mendapatkan serba sedikit cerita tentang taman negara tu. Kemudian baru jumpa Trader Cave, Great Cave dan Painted Cave. Elok pakai lampu suluh yang kat kepala tu sebab dalam gua gelap dan agak licin di sesetengah tempat. Nature kan
Foto jajavalB dari sini.
4. Taman Negara Bukit Lambir (Lambir Hills National Park)Hutan ini menjadi kegemaran penduduk tempatan untuk aktiviti hiking kerana sekitar 30-40 minit sahaja dari Miri lagipun Bukit Lambir kaya dengan flora dan fauna. Laluan pun dilabel dengan baik untuk memudahkan pengunjung. Pilih laluan berdasarkan kemampuan kita sebab jalannya bukan mendatar je
Lepas daftar menggunakan kod QR, kita akan diberikan tiket dan peta laluan (trail) siap dengan ditanda warna merah, putih, kuning. Ada lima air terjun dengan salah satunya boleh sampai empat jam untuk ke sana. Ikut kemampuan jugalah kan… ada yang buat tiga jam je
5. Taman Negara Gunung GadingTaman Negara Gunung Gading terletak berdekatan Lundu kira-kira dua jam dari Kuching, di barat daya Sarawak. Taman Negara Gunung Gading juga merupakan salah satu tempat yang terbaik di Asia untuk melihat bunga Rafflesia berkembang. Kepada yang tak tahu, bunga rafflesia adalah bunga yang terbesar di dunia yang mana diameternya boleh mencapai satu meter
Terdapat kira-kira 23 lokasi bunga Rafflesia dibuka untuk pelawat dan jurupandu diperlukan untuk mengunjungi mana-mana lokasi bunga Rafflesia kembang yang telah ditanda oleh pihak taman negara. Gunung Gading uga mempunyai tarikan lain seperti kawasan bukit-bukau, air terjun dan periuk kera
6. Taman Negara Kubah20km dari bandar Kuching di Banjaran Matang terletaknya Taman Negara Kubah. TNK ni menjadi kegemaran warga tempatan untuk beriadah kerana lokasinya dekat dan terdapat tiga gunung batu pasir di sini iaitu Gunung Serapi, Gunung Selang dan Gunung Sendok. Pelbagai jenis paku-pakis dan palma tumbuh liar yang membuatkan Kubang dikenali sebagai “The world of palms.”
Terdapat tujuh laluan (trail) yang diberi warna berbeza dengan yang paling panjang Summit Trail sejauh 5 km diwarnakan kelabu, memerlukan masa selama 3 jam 30 minit. Hmm.. kalau aku lama lagilah kot. Laluan paling pendek ialah Palmetum Trail yang panjangnya hanya 255m berwarna putih. Untuk ke air terjun ikut Waterfall Trail 1.6km sahaja. Pelan pelan kayuh
Laluan trek utama di sini merentasi hutan dipterokarp kemudian bergabung dengan laluan lain memberikan pelawat pilihan untuk meneruskan berjalan ke dalam hutan, ke air terjun atau kembali ke Jalan Gunung Serapi
Penginapan berpendingin hawa turut disediakan di ibu pejabat taman negara. Kena hubungi National Parks Booking Office di Kuching untuk mengetahui kadar terbaharu
Peringatan: untuk membuat rakaman professional, anda menti mendapatkan permit dahulu.
Foto utusansarawak
7. Taman Negara Batang AiNama Batang Ai aku mula kenali dalam iklan Tourism Malaysia kalau tak silap. Dulu selalu keluar kat tv
Tasik Batang Ai seluas 24 km persegi ialah tasik buatan untuk penjanaan hidroelektrik yang sekaligus menghasil taman negara yang menarik dengan adanya rumah panjang Iban yang asli dan orang utan di habitat asalnya. Pelawat boleh ke rumah panjang ini untuk bermalam dengan menaiki bot ke sini
Untuk yang lebih berkemampuan, walau di dalam hutan banat pun boleh bermewah dengan menginap di Batang Ai Resort sambil menikmati keindahan dan ketenangan alam
Foto dari sini.
Foto dari sini.
8. Taman Negara Talang Satang (Talang Satang National Park)Demi memastikan penyu tidak pupus maka kerajaan Sarawak telah menubuhkan Taman Negara Talang Satang. Kumpulan empat pulau di sini menjadi tempat bertelur penyu hijau dan penyu sisik yang diancam kepupusan. Hidupan marin lain juga banyak di sini
Walaupun Talang Satang dibuka kepada pelawat, waktu lawatan ke Pulau Satang dihadkan kepada lawatan harian sahaja kerana tujuan utama penubuhan taman negara ini adalah konservasi penyu. Aktiviti reakreasi darat dan air pun hanya di lokasi yang ditetapkan sahaja. Di Talang-Talang Besar dan Talang-Talang Kecil hanya yang terlibat dengan kerja sukarela tertentu sahaja dibenarkan masuk
Serius eh mereka menjaga pusat pembiakan penyu
9. Taman Negara SantubongPasti ramai yang pernah ke kawasan Gunung Santubong di mana letaknya Taman Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village) dan Rainforest World Music Festival. Gunung Santubong terletak 35 km ke utara Kuching, kalau cuaca baik dari jauh pun boleh nampak. Walaupun tingginya hanya 810m tetapi jalan ke puncak tegak beb
Aktiviti yang popular di sini ialah mendaki gunung (hiking) dan mandi di air terjun. Di hari biasa kita boleh mula mendaki antara jam 8 - 9 pagi, selepas tu pihak pengurusan tak benarkan sesiapa mendaki lagi dan perlu kembali ke tempat permulaan pada jam 1 petang tak kira sampai puncak ke tak (betul ke eh?). Jadi bajet masa bebetul ikut kelajuan kita. Untuk ke kawasan tinjau hike dalam 1.5 jam, ke puncak biasanya tiga empat jam
Orang kata untuk ke lookout point (F7) tidaklah susah sangat tetapi ada juga kawasan menegak. Selepas F7 terus jalan menegak. Nanti akan jumpalah beberapa tangga panjang 10 meter dan tali yang digunakan untuk memanjat. Kalau nasib baik akan berjumpa ular juga. Elok pergi dengan kawan
Taman Negara Santubong dibuka jam 7 pagi di hujung minggu dan masuk adalah percuma
Foto dari sini.
10. Rezab Semulajadi Gua Angin (Wind Cave)Gua Angin mendapat nama tersebut kerana terowong di dalam gua tersebut menjadi laluan angin yang keluar masuk dari satu pintu masuk gua ke pintu masuk yang lain
Gua Angin yang dikatakan wujud sejak 60 juta tahun dahulu terletak di Bau, setengah jam pemanduan dari bandaraya Kuching. Sekarang sebelum masuk kena daftar secara dalam talian menggunakan QR code. Daftar seorang je nanti boleh masukkan nama orang lain
Dalam Gua Angin ini nanti kita akan berjalan di atas laluan papan sepanjang 1 km yang disediakan. Gua ni gelap jadi sewalah lampu suluh di kaunter barulah jelas stalagtit dan stalagmit tu. Sungai kecil juga melalui gua ini dan bergabung dengan Sungai Sarawak di penghujung utara. Habis melawat gua tu nanti boleh mandi dalam sungai. Teringat masa di Mulu dulu, kemain seronok wartawan dua orang tu mandi, aku dok kat tebing je enjoying the scenery. Damai

11. Rezab Semulajadi Gua Pari-Pari (Fairy cave)8 km dari Wind Cave ada Fairy Cave. Gua ini pun best juga tapi starting pun dah kena naik tangga konkrit tinggi. Yang gagah perkasa boleh cuba rock climbing di luar gua
Wind Cave diwartakan sebagai rizab alam semula jadi bukan sahaja untuk memelihara gua dan isinya tetapi juga spesis haiwan dan tumbuhan di sekelilingnya. Pokok palma yang jarang dijumpai di tempat lain pun ada di sini seperti Arenga Pinnata, Arenga Undulatifolia dan Calamus Ornatus. Burung walet hitam, 14 spesis kelawar, 12 jenis siput berkampung di sini selain pelbagai burung yang banyak di sepanjang sungai
Orang yang tak selalu bersenam boleh je masuk ke Wind Cave tapi ada tangga-tangga yang curam. Memula masuk kawasan yang cantik lepas tu kawasan gelap akhir sekali barulah bahagian curam. Sangat menarik gua ni berbaloi dengan tenaga yang dikeluarkan
12. Rezab Semulajadi Semenggoh (Semenggoh Nature Reserve)Setakat ini setiap kali ke Kuching aku takkan tinggalkan Semenggoh Wildlife Centre dari senarai lawatan. Seronok ke sini, jika nasib baik dapat tengok empat lima ekor orang utan. Kalau belum rezeki, boleh datang balik sesi petang dengan membawa tiket yang sama. Ramai pelancong asing ke sini
Semenggoh Wildlife Centre yang ditubuhkan sejak 1975 fokus kepada pemuliharaan orang utan yang cedera, yatim dan dahulunya haiwan peliharaan. Orang utan yang cedera akan dirawat dan dilepaskan semula ke habitat asalnya. SWC juga menjadi tempat kajian dan pembiakan haiwan yang dilanda kepupusan selain mendidik orang awam tentang konservasi
Sebenarnya SWC memulihara pelbagai spesis tetapi mereka terkenal dengan kejayaan rehabilitasi orang utan. Berikutan kejayaan itu kapasiti hutan telah mencapai jumlah maksima jadi program habilitasi telah dipindahkan ke Matang Wildlife Centre dan Semenggoh fokus kepada mempelajari biologi dan tingkah laku orang utan. Seronok datang sini berbanding melihat di zoo
Ini gambar 2017 semasa percutian keluarga ke Semenggoh Wildlife Centre. Datang pagi mereka menyorok jadi datang lagi sekali pukul tiga petang. Tahun 2023 ke sini lagi tapi mereka tak keluar pulak sebab masa tu musim buah.
Sekarang ini dianggarkan hanya 20-27,000 orang utan di hutan Borneo dan Sumatera akibat aktiviti penebangan hutan, berburu, pencerobohan habitat dan perdagangan haram
Orang utan jantan boleh mencapai ketinggian 150 cm berat 100 kg dengan depaan lengan 240 cm. Badan berbulu panjang berwarna kemerahan. Sebesar-besar makhluk ni, dia makan buah daun serangga bunga telur dan cicak kecil je. Dari pintu masuk ke feeding station kena berjalan kaki 1.6 km, kalau tak larat boleh naik buggy tapi kena bayarlah sikit. Jangan bising eh datang sini. Bukan cikgu je marah murid bising, orang utan pun takut nak keluar kalau orang bising. Hidup tenang tenang je
Semenggoh Wildlife Centre dibuka bermula jam 8.00-10.00 pagi dan 2.00-4.00 petang tapi dinasihatkan datang waktu diberi makan antara 9.00-10.00 pagi dan 3.00-4.00 petang
Harga Tiket Ke Taman-Taman Negara Di Sarawak:
© copyright 2018 – All rights reserved
ruggedmom
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.ruggedmom.com/2025/04/12-taman-taman-negara-di-sarawak.html