100 Keluarga Terima Bantuan Jelajah Yb Masuk Kampung
Oleh: Aminji
KEMAMAN, 29 Disember - Sebanyak 100 buah keluarga dari Kampung Batu 16, Tebak dan Kampung Dadong antara yang terpilih menerima sumbangan bagi sesi ‘Konvoi Jelajah YB Masuk Kampung’ yang berlangsung baru-baru ini.
Program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih itu bermula seawal jam 7.30 pagi dengan para peserta konvoi berkumpul di Pejabat DUN sebelum memulakan konvoi ke kampung-kampung berkenaan.
Konvoi yang disertai oleh ahli kelab motosikal Alternative Riding Club (ARC) DUN Air Putih, kereta dan kenderaan 4x4 ini masing-masing membantu membawa sumbangan berupa 100 buah kampit beras berserta 100 ekor ayam untuk diagihkan kepada penduduk.
ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim terlebih dahulu meluangkan masa menyantuni penduduk dalam program Sembang Santai di kedai kopi bagi mendengar sedikit sebanyak permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat dalam suasana santai.
Program tersebut dapat membantu mendekatkan pemimpin dengan masyarakat terutamanya bagi mereka yang mengalami masalah pengangkutan untuk ke Pejabat DUN.
Konvoi diteruskan lagi dengan agihan sumbangan kepada penduduk yang terpilih di mana sasaran utama penerima bantuan adalah golongan miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU), orang sakit, warga emas, armalah dan yatim (MOSWAY).
Turut menerima sumbangan adalah para penduduk yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.
Ab Razak atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Jak begitu bersahaja menunggang sendiri motosikal untuk mengagihkan bantuan dari rumah ke rumah sambil menyantuni penduduk yang dilawati.
“Konvoi ini bukan sekadar konvoi biasa. Tetapi kita harapkan konvoi ini akan menjadi satu program yang bermanfaat kepada masyarakat dengan adanya agihan sumbangan kepada golongan yang memerlukan selain membantu pemimpin mendekati rakyat,” ujarnya.
Rata-rata penerima sumbangan menzahirkan rasa kesyukuran dan terharu dengan sumbangan yang diberikan apatah lagi di saat baru sahaja ditimpa musibah banjir.
Sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak mampu meringankan ujian yang dihadapi oleh mereka. Kehadiran konvoi menyampaikan sendiri bantuan kepada penerima juga menceriakan mereka terutama yang sedang terlantar sakit.
Jalan yang dilalui untuk ke salah sebuah rumah dinaiki air separas betis, namun ianya sama sekali tidak mematahkan semangat para peserta konvoi yang turut terdiri daripada petugas pejabat DUN, Muslimat Hal Ehwal Wanita (HALWA), Ameerah dan PEMUDA DUN Air Putih.
"Jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada mereka yang telah bertungkus-lumus bagi menjayakan program Jelajah YB Masuk Kampung kali ini.
"Tidak ketinggalan, ucapan penghargaan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 16, Kampung Tebak dan Kampung Dadong yang turut berganding bahu menambahkan kelancaran program.
Sumber: teganukita.net
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/12/100-keluarga-terima-bantuan-jelajah-yb.html