10 Ramalan Fungsi Menarik Peranti Mercu 2020
https://ift.tt/2Zh7WB4 Tinggal beberapa minggu sahaja sebelum tahun 2019 melabuhkan tirai dengan peranti mercu dari pengeluar-pengeluar utama pula akan dilancarkan pada awal Februari 2020. Tahun demi tahun peranti mercu akan dilengkapi fungsi baharu yang tidak ditemui pada peranti mercu tahun sebelumnya. Dengan Snapdragon 865 telah diumumkan secara rasmi, beberapa ramalan kini boleh dilakukan mengenai peranti mercu 2020.
1. Kamera Swafoto Bawah Skrin
Pada pertengahan tahun ini Oppo memperlihatkan prototaip skrin peranti dengan kamera swafoto bawah skrin. Kemudian beberapa minggu yang lalu di acara Oppo Inno Day, peranti pertama dengan kamera bawah skrin akhirnya diperlihatkan. Pada tahun 2020 kami meramalkan takuk dan lubang kamera yang ketara akan akhirnya digantikan dengan kamera bawah skrin. Peratusan skrin yang lebih besar pada bahagian hadapan semakin meningkat.
2. Pengimbas Cap Jari Bawah Skrin Lebih Besar
Pengimbas cap jari bawah skrin diperkenalkan dua tahun yang lalu menerusi peranti konsep Vivo Apex. Sistem pengimbas optikal ini kemudiannya digantikan pula dengan pengimbas ultrasonik pada Galaxy S10 dan S10+. Pada tahun 2020 kelak kami meramalkan sistem pengimbas cap jari bawah skrin yang lebih besar akan diperkenalkan. Teknologi ini telah diperlihatkan di acara Snapdragon Summit pada awal bulan ini. Dengan saiz imbasan yang lebih besar, menyahkunci peranti akan menjadi lebih mudah dan menjadi lebih selamat kerana sehingga dua jari boleh digunakan di bawah sistem biometri.
3. Kamera Utama Sebesar 200 Megapixel
Pada Mac tahun ini, Qualcomm meramalkan peranti pertama dengan kamera sebesar 100-Megapixel akan dipasarkan. Ramalan menjadi realiti apabila Xiaomi Mi Note 10 dilancarkan dengan kamera utama sebesar 108=Megapixel. Sensor yang dikeluarkan oleh Samsung dengan kerjasama Xiaomi ini mendapat pujian kerana memberikan keupayaan yang selama ini dianggap mustahil digunakan pada telefon pintar.
Pada tahun 2020 jangan terkejut sekiranya peranti pertama dengan sensor sebesar 200-Megapixel akan dipasarkan. Pemproses Snapdragon 865 mampu menyokong peranti dengan sensor sebesar ini sekiranya diperlukan. Samsung kini dilaporkan telah memulakan usaha menghasilkan sensor sebesar 144-Megapixel.
4. Rakaman Video 8K 60FPS
Tahun ini Nubia Red Magic 3s adalah peranti pertama dengan kemampuan rakaman video 8K 15FPS. Awal tahun ini rakaman video 8K 30FPS akan menjadi sesuatu yang biasa untuk telefon pintar yang menggunakan Snapdragon 865. Jadi kami meramalkan pada separuh kedua 2020, telefon pintar pertama dengan kemampuan rakaman 8K 60FPS akan menjadi realiti. Besar kemungkinan iPhone 12 akan menjadi yang pertama menyokong mod rakaman 8K kerana mereka juga yang pertama menyokong 4K 60FPS sebelum ini.
5. Skrin Dengan Kadar Segar Semula 144Hz
Razer Phone memulakan penggunaan skrin 120Hz bagi memastikan pengalaman permua yang terbaik pada telefon pintar. Tetapi seperti anda sedia makluman, kadar segar semula 90Hz kini dilihat sudah lebih dari memadai selepas digunakan oleh OnePlus 7. Tahun hadapan peranti pertama yang dijual secara meluas dengan skrin 144Hz mungkin akan dipasarkan. Kadar segar semula yang tinggi ini akan menjadi skrin kelihatan lebih lancar. Sebelum ini Sharp Aquos Zero 2 adalah peranti pertama dengan kadar segar semula 240Hz namun ia setahu kami tidak dipasarkan di luar Jepun.
6. Zoom Optikal 10X
Tahun ini Huawei P30 Pro ialah peranti pertama dengan zum optikal 5X dan zum digital 50X. Kemampuan kamera yang ditawarkan Huawei adalah tidak dijangka sehingga memaksa pengeluar lain untuk menghasilkan peranti dengan kemampuan yang setanding. Untuk tahun 2020 kelak kemampuan zum optikal akan meningkat ke 10X sekiranya ura-ura mengenai P40 Pro menjadi kenyataan. Dari segi kemampuan kamera Huawei mempunyai kelebihan yang ketara berbanding pengeluar lain tetapi pengeluar lain akan menyusul dengan peranti mereka sendiri sebelum berakhirnya 2020.
7. Bateri Sebesar 5000 mAh Digunakan Lebih Meluas
Skrin dengan kadar segar semula melangkaui 90Hz, pemproses yang semakin berkuasa dan sokongan rangkaian 5G akan menyebabkan hayat peranti menjadi semakin singkat. Oleh itu pada tahun 2020 kami meramalkan peranti mercu dengan bateri 5000 mAh akan mula menjadi norma. Sekiranya ini tidak dilakukan pengeluar hanya akan mengundang makian pengguna. Apple, Samsung, Huawei dan Asus telah mula memperkenalkan bateri berkapasiti lebih besar pada tahun 2019 berbanding 2018. Adalah maakul untuk terus menambah kapasiti bateri selari dengan keperluan peranti.
8. Letusan Peranti Skrin Boleh Lipat
Empat peranti skrin boleh lipat diperkenalkan tahun ini. Samsung Galaxy Fold, Huawei Mate X, Royole Flex Pai dan Motorola Razr kesemuanya mempunyai kelebihan serta kekurangan. Kami tergolong di dalam dalam kumpulan yang sangat skeptis dengan rekaan peranti ini pada awalnya. Tetapi selepas menggunakan Fold selama dua minggu kami mula menyedari mengapa ia dihasilkan. Ia akan mengubah landskap telefon pintar seperti peranti dengan skrin sesentuh sepenuhnya.
Kesemua pengeluar di atas sudah mempelajari kesilapan yang dilakukan pada peranti generasi pertama. Pada tahun 2020 semakin banyak peranti skrin boleh-lipat akan membanjiri pasaran pada harga yang lebih mampu milik. Rekaan Razr dilihat sebagai yang paling praktikal dengan Fold 2 akan mempunyai rekaan yang sama. Rekaan clamshell klasik yang dahulu dianggap kuno akan kembali menjadi ikutan.
9. Pengecasan Semakin Pantas
Selari dengan ramalan kapasiti bateri yang semakin besar, kami meramalkan sokongan sistem pengecasan yang semakin pantas. Xiaomi memperlihatkan sistem pengecasan 100W pada Mac tahun ini dan Vivo pula telah membangunkan sistem pengecasan 120W. Ini akan memintas sistem pengecasan pantas 65W SuperVOOC yang digunakan pada Oppo Reno Ace. Zaman peranti mercu boleh dicas sepenuhnya dalam masa 30 minit akan menjadi realiti.
10. USB Type-C Akhirnya Digunakan Semua
Sudah dua tahun kami meramalkan penggunaan port pengecasan USB-C akan menjadi standard pada kesemua peranti. Ia tidak berlaku pada tahun 2019 kerana Apple masih berkeras menggunakan port Lightning. Untuk tahun ketiga kami sekali lagi meramalkan ia akan akhirnya berlaku kerana USB-C telah digunakan pada iPad Pro dan MacBook. Ramalan ini disokong pula oleh ramalan yang diberikan oleh Ming Chi-Kuo. Pada tahun 2020, kesemua peranti mercu yang dikeluarkan pengeluar terbesar akan akhirnya dapat menggunakan satu kabel yang sama.
Apa pula ramalan anda? Adakah bersetuju dengan ramalan-ramalan kami ataupun sekali lagi Nostradamus Teknologi gagal menjadi Pak Belalang. Kongsikan pendapat anda tentang hala tuju peranti mercu 2020 di bawah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://kongsibro.blogspot.com/2019/12/10-ramalan-fungsi-menarik-peranti-mercu.html