10 Buku Yang Bakal Membuka Minda Anda
Buku adalah jendela dunia. Banyak perkara yang anda bakal perolehi dengan membaca. Anda boleh meneroka alam, menambah pengetahuan, menganalisis kronologi sesuatu peristiwa dan menyelami fikiran.
Banyak manfaat yang dapat diberikan sebuah buku kepada pembacanya. Membaca buku bukanlah aktiviti yang membosankan, malah buku memberikan pembacanya cabaran minda yang mengujakan. Berikut kami senaraikan 10 buah buku yang bakal membuka minda anda.
1. Segelas ‘Asir di Muara NilPenulis: Ibnu RijalTahun Terbit: 2017Penerbit: Karya Bestari
Buku Segelas ‘Asir di Muara Nil merupakan sebuah catatan perjalanan seorang penulis muda di bumi Mesir. Catatan perjalanan ini disampaikan kepada pembaca seolah-olah penulis sedang menulis di diarinya. Pembaca akan dibawa kembara bersama penulis menelusuri kota-kota lama dan baru di Mesir dan segala pahit manis perjalanan tersebut.Bab-bab di dalam buku ini disusun plot demi plot, maka pembaca akan merasakan sebuah pengalaman kembara bersama sambil ditemani rakan kembara yang mengajak pembaca berfikir mengenai ibrah dari tempat-tempat yang dilawati, serta fakta-fakta sejarah yang berkaitan dengan tempat tersebut.
2. Hulagu Khan: Khabar Hitam dari TimurPenulis: Abdul Latip TalibTahun Terbit: 2009Penebit: PTS Litera Sdn Bhd
Buku ini menceritakan tentang Hulagu Khan iaitu cucu kepada Genghis Khan. Pada tahun 1255 Hulagu Khan dihantar oleh Mongke Khan (1251-1258) bagi menakluk wilayah yang pernah dikuasai oleh orang Monggol di Timur Tengah.
Selepas berjaya menakluk wilayah Lurs, di Iran dan Hashasim, Hulagu Khan menumpukan usaha menakluk Kota Baghdad. Setelah berjaya menumbangkan Khalifah al Musta’sim Billah dan menakluk Kota Baghdad, Hulagu Khan menakluk Damsyik (Syria). Kemudian cuba menakluk Mesir.
Banyak pengajaran yang kita perolehi dari buku ini. Pemerintahan Monggol yang terkenal dengan kekejaman. Penaklukan mereka telah memusnahkan Kota Baghdad. Semua buku-buku telah dimusnahkan sehingga air Sungai Dajlah bertukar warna. Sesungguhnya kedatangan Hulagu Khan memang membawa "Khabar Hitam dari Timur".
3. Apa Lagi Cina Mahu Penulis: Firdaus Wong, Ahmad Iqram Mohamad NoorTahun Terbit: 2019Penerbit: MRM (Multiracial Reverted Muslims) Publication
Buku ‘Apa Lagi Cina Mahu’ dihasilkan oleh seorang tokoh pendakwah Muslim berbangsa Cina iaitu Firdaus Wong Wai Hung. Buku adalah bacaan umum terutama untuk mereka yang bukan berbangsa Cina. Melihat pada tajuk kelihatannya seperti ada unsur perkauman tetapi sebenarnya tidak.Isi buku ini adalah mengenai budaya, amalan dan agama yang diamalkan oleh masyarakat cina di Malaysia.Bermula dari pengkisahan tentang asal-usul, agama, kepercayaan,pantang larang sehingga perayaan bangsa cina diterangkan di dalam buku ini.
4. Di Sebalik Tembok Yahudi: Ada Damai Di Al-AqsaPenulis: Raudah "Roza" Roslan & Muhd Kamil Ibrahim
Tahun Terbit: 2017
Penerbit: Galeri Ilmu
Sebuah travelog. Pasangan penulis menyingkap senario semasa di bumi Palestin. Di sebalik penindasan oleh Yahudi Zionis terhadap penduduk Palestin, masih wujud kedamaian lebih-lebih lagi bagi mereka yang dapat mengunjungi Masjid al-Aqsa itu sendiri. Apakah yang mendamaikan di bumi anbiya itu?
Ada sesuatu yang menarik yang membuka mata khalayak ... rata-rata warga Palestin impikan pembebasan daripada cengkaman Zionis. Doa dipanjatkan siang malam, namun mengapa bantuan Allah masih lagi tertahan?
Jawapannya ada pada solat Subuh di masjid-masjid mereka.
5. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Edisi Malaysia)Penulis: HamkaTahun Terbit: 1987Penerbit: Pustaka Dini
Cerita ini berkisar tentang semangat juang Zainuddin, bagaimana merana dan melaratnya hidup Zainuddin setelah cintanya ditolak oleh keluarga Hayati. Kemudian beliau bangun semula dari segala kedukaan, membuka lembaran baru dalam hidupnya menjadi seorang penulis yang ternama dan berjaya. Ia menceritakan tentang kesetiaan, cinta dan kasihnya Zainuddin terhadap Hayati.
Meski Hayati sudah berkahwin tetapi sebaik mendapat tahu tentang kesusahan yang dihadapi Hayati, lantaran suaminya yang suka berpoya-poya serta tidak bertanggung-jawab, Zainuddin terus membantu tanpa ada dendam dan benci. Sesungguhnya cinta yang suci itu akan terus mekar di dalam hati hingga ke hujung nyawa begitulah jua cinta antara Zainuddin dan Hayati.
Buku ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1937. Setelah lebih 80 tahun, masih lagi kekal disebut dan dibaca oleh generasi demi generasi. Buku ini telah banyak kali diulang cetak. Buku yang sarat dengan pengajaran.
6. Kunang Pesisir MortenPenulis: Raiha BahaudinTahun Terbit: 2015Penerbit: Nubook Press
Kampung Morten 1984. Dengan sebatang sungai kotor bukan saja dipenuhi dengan sampah sarap dan ketam lumpur Uca Annulipes. Juga telah menjadi garis ghaib pemisah dua komuniti bangsa selama berdekad-dekad. Sehinggalah keajaiban berlaku dengan kehadiran seorang budak perempuan sembilan tahun comotnya ya ampun berambut gerbang.
Dhiya; seorang pemikir visual genius bersama-sama sahabatnya Adi dan Lim meneroka kota Melaka, menjadi usahawan kecil, menerokai dunia lukisan Monet juga menjejak pencuri berkaki ghaib. Dan tanpa mereka sedari, sedikit demi sedikit perkara- perkara kecil yang mereka lakukan telah menaut jurang tebing antara dua bangsa.
Buku ini membawa pembaca ke zaman 80-an dan 90-an. Suasana masyarakat yang harmorni, saling menghormati antara satu sama lain. Penulis juga menceritakan kepintaran Dhiya yang secara simbolik memberitahu bahawa setiap manusia tidak kira bagaimana latar belakangnya mempunyai kebijaksanaan yang tersendiri. Buku yang bakal mengajak kita berfikir luar dari kebiasaan. Buka minda untuk lebih memahami keadaan sekeliling.
7. Dunia Tanpa TembokPenulis: Ayman Rashdan WongTahun Terbit: 2017Penerbit: Patriots Publication
Ilmu adalah kuasa.
Bahasa adalah simbolik.
Geografi adalah takdir.
Ilmu tentang geopolitik antarabangsa adalah kunci untuk kelangsungan hidup negara dan bangsa, dan ilmu yang diperolehi harus berdasarkan prinsip-prinsip Realisme, Diplomasi dan Patriotisme. Prinsip-prinsip ini akan diterangkan melalui 50 artikel yang merupakan catatan penulis tentang geopolitik dan hubungan antarabangsa.
8. Kisah 25 Filsuf BaratPenulis: Mat LuthfiTahun Terbit: 2016Penerbit: Puteh Press
Buku ini memuatkan kisah 25 filsuf Barat beserta idea-idea utama mereka yang diolah secara mudah dan ringkas. Bukan semua cerita mereka serius. Filsuf juga manusia, mereka punya zaman kanak-kanak, pernah melakukan perkara tidak bijak, seperti manusia lain.
Namun begitu idea-idea masih relevan setelah ratusan dan ribuan tahun hingga ke hari ini disebabkan mungkin mereka telah cuba menjawab persoalan yang sama yang manusia sekarang masih fikirkan semasa mandi, dalam kenderaan, atau pada tengah malam.
Filsuf bukan nabi. Mereka tidak menerima wahyu mahupun terpelihara daripada dosa dan salah silap. Kaedah dan sumber ilmu mereka sering dikritik kerana selalunya dihadkan kepada hanya akal fikiran, pancaindera, dan kombinasi antara kedua-duanya.
9. Tasjil Anis - Rahsia Agung MelakaPenulis: Farahana ShuhaimiTahun Terbit: 2018Penerbit: Patriots Publication
Kesultanan Melayu Melaka seringkali menjadi bahan polemik apabila sejarahnya dibangkitkan dan dinukilkan. TAS akan membawa pembaca menelusuri himpunan petikan-petikan berkenaan kerajaan agung bangsa Melayu ini merentas catatan dan manuskrip dari dalam dan luar negara.
Berbanggalah, kerana Melaka adalah kemuncak peradaban bangsa. Baca rahsia-rahsia agung tentang pelabuhan Melaka yang terkaya pada masa silam. Melaka bukanlah hanya tentang perseteruan Tuah-Jebat, kisah Puteri Gunung Ledang, mahupun kisah sakti Taming Seri. Rahsia keagungannya terletak pada kemuncak intelektual warganya membangunkan sebuah empayar hebat zaman berzaman.
10. Islam Di Barat Muslim Di TimurPenulis: Zulkifli HasanTahun Terbit: 2015Penerbit: Ilham Books
Buku yang bergenre travelog-intelektual ini adalah hasil daripada refleksi peribadi penulis terhadap persekitaran, keadaan, suasana termasuk emosi dan perasaan semasa kembara ilmiah beliau di serata dunia. Walaupun telah mengembara puluhan negara di dunia ini, penulis secara khusus memilih memilih kota-kota ini iaitu Mekah-Madinah-Gaza-Kaherah-Rafah-Alexandria-Zagazig-Tokyo-Kyoto-Sendai-New York City-Chicago-Dallas-Boston-Indianapolis-Washington DC untuk perkongsian pengalaman kembara ilmiah ini.
Pengembaraan di kesemua destinasi ini memberikan begitu banyak pengalaman, ilmu pengetahuan dan pengajaran. Bukan itu sahaja, pengembaraan di Timur dan Barat ini memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada penulis daripada pelbagai aspek kehidupan.
Penulis menyaksikan bagaimana beberapa nilai Islam diamalkan di dunia Barat manakala dunia Islam meninggalkan nilai-nilai Islam yang sepatutnya menjadi pegangan umat Islam.
sumber: Goodreads
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dulatbuku.blogspot.com/2019/07/10-buku-yang-bakal-membuka-minda-anda.html