Kini Dibuka Ini Cara Mohon Geran Agropreneur Nextgen
Kini Dibuka, Ini Cara Mohon Geran Agropreneur NextGen
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) mengumumkan pembukaan permohonan Program Agropreneur NextGen bermula hari ini.
Menerusi siaran di laman Facebook jabatan berkenaan, DOA memaklumkan program tersebut dijenamakan semula sebagai satu inisiatif strategik kerajaan bagi memperkasa penglibatan belia dalam sektor agromakanan negara.
“Program ini dirangka khusus untuk menarik lebih ramai belia menceburi atau mengembangkan projek dalam bidang tanaman, ternakan dan perikanan secara lebih tersusun, mampan dan berdaya saing,” maklum jabatan tersebut.
Program berkenaan menawarkan bantuan geran berbentuk barangan dengan tujuan memberi sokongan terhadap keperluan projek di peringkat awal dan pengembangan projek.
Kategori bantuan yang ditawarkan
Menurut DOA, terdapat dua kategori bantuan disediakan iaitu kategori Start-Up dan Scale-Up. Bantuan sehingga RM30,000 disediakan bagi kategori Start-Up yang melibatkan pemohon berusia 18 tahun sehingga 43 tahun manakala bantuan sehingga RM50,000 disediakan bagi kategori Scale-Up yang melibatkan pemohon berusia 21 tahun hingga 45 tahun.
Pemberian bantuan ini bergantung kepada keperluan dan skop projek yang dicadangkan.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan bantuan yang disalurkan memberi impak langsung kepada produktiviti serta kelestarian projek agropreneur belia,” jelas jabatan berkenaan.
Cara memohon
Dalam pada itu, DOA turut mempermudahkan urusan permohonan.
1. Daftar akaun di portal eGan.
2. Lengkapkan borang permohonan.
3. Hantar borang permohonan untuk penilaian Jabatan Pembimbing.
Untuk pengetahuan, permohonan kategori Start-Up boleh dihantar menerusi dalam talian manakala kategori Scale-Up perlu dilakukan secara manual.

Kredit: Jabatan Pertanian Malaysia (DOA)
Sebagai pengetahuan, permohonan ini dibuka sepanjang tahun bagi memberi peluang yang anjal buat belia merancang dan memohon mengikut kesediaan masing-masing.
DOA menyifatkan tahun 2026 sebagai permulaan era baharu sokongan KPKM terhadap pembangunan agropreneur belia selaras dengan agenda memperkukuh keterjaminan makanan negara dan melahirkan generasi usahawan pertanian yang inovatif serta berdaya tahan.
Sementara itu, DOA turut memaklumkan bahawa pemohon yang tidak mempunyai kelayakan akademik dalam bidang pertanian boleh menyertai kursus yang ditawarkan oleh Jabatan Pertanian negeri.
Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman eGan.
BACA: Bukan Peringatan Biasa, Jurutera Perisian Jelaskan Maksud “Encrypted” Di WhatsApp
BACA: Beg Tersangkut, Reaksi Comel “Rider” Ambil Barang Bikin Dekah
Sumber: Jabatan Pertanian Malaysia (DOA)
The post Kini Dibuka, Ini Cara Mohon Geran Agropreneur NextGen appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2026/01/02/kini-dibuka-ini-cara-mohon-geran-agropreneur-nextgen/