Zara Zya Belum Sempat Kahwin
Zara Zya mengakui sudah berpesan kepada kekasihnya, Hafreez Adam agar tidak memberikan tarikh tertentu saat diusulkan media tentang perancangan perkahwinan mereka.
Terkekang dek kepadatan jadual seni, hasrat pelakon Zara Zya atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Hafreez Adam sekitar hujung tahun ini nampaknya tidak akan menjadi kenyataan.
Zara ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Trimzshot miliknya di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, masa sememangnya menjadi punca utama perancangan ke arah pernikahan masih tertangguh.
Sedangkan sejak tahun lalu, kekasih hati Zara yang juga seorang pelakon itu memberikan bayangan bahawa mereka akan disatukan pada 2019.
Bagi pelakon drama Pia itu, dia juga turut berasa bersalah apabila niat tersebut terpaksa ditunda. Sedikit sebanyak, penundaan tersebut menghampakan hati banyak pihak.
Memikirkan soal tersebut, wanita genit berusia 34 tahun itu berpesan kepada Hafreez untuk tidak lagi meletakkan sebarang tarikh atau waktu jika ditanya soal perkahwinan. Alasannya, Zara cuma mahu mengelak salah faham peminat yang mengharapkan mereka segera disatukan.
Difahamkan, Zara sebenarnya telah menerima rombongan merisik daripada keluarga Hafreez, adakah hal itu benar?
ZARA: Belum, keluarga saya dan keluarga Hafreez masih belum berjumpa cuma Hafreez ada datang berjumpa ibu bapa saya bagi bertanya langkah-langkah untuk ke arah itu. Berita kami sudah bertunang atau mengadakan majlis merisik itu tidak benar, malah kami hendak berjumpa pun payah kerana masing-masing sibuk dengan kerja.
Bagaimana dengan perancangan anda untuk berkahwin tahun ini?
Saya rasa perancangan itu tidak akan berlaku tahun ini kerana kami memang sangat sibuk. Sekarang pun sudah masuk bulan Julai, tinggal beberapa bulan sahaja sebelum akhir tahun. Hafreez pula sedang terlibat dengan penggambaran drama 80 episod, manakala saya pula terbabit dengan drama bersiri 20 episod. Jadi, memang tidak sempat hendak merancang sebarang majlis dalam masa terdekat.
Adakah rancangan perkahwinan anda akan ditunda ke tahun hadapan?
Saya tidak mahu berikan sebarang waktu atau tarikh tertentu kerana jika tidak berlaku, orang akan memberikan pelbagai persepsi. Saya juga sudah berpesan kepada Hafreez agar tidak berikan jangka masa spesifik, takut nanti ada yang berharap, terutama peminat. Jika perbincangan antara keluarga sudah berlaku, tarikh juga sudah dipilih, barulah saya akan umumkan kepada semua.
Menyentuh soal perniagaan terbaharu, apakah yang membuatkan anda mahu menjual produk pelangsingan badan sedangkan anda sendiri sudah kurus?
Sebenarnya produk Trimzshot ini bukan hanya untuk melangsingkan badan tetapi membantu meningkatkan kadar metabolisme. Apabila wanita sudah melepasi usia 30 tahun, metabolisme badan semakin rendah dan ada sesetengah bahagian badan seperti paha dan perut sudah tidak setegang zaman muda. Trimzshot membantu supaya kulit kekal awet muda, bukan hanya untuk menghilangkan berat badan.
Mengapakah anda tidak serik berniaga walaupun pernah dikecam menggunakan duit haram sebagai modal permulaan?
Saya memang suka berniaga sejak zaman persekolahan lagi. Sebagai artis, bisnes adalah pelan sandaran jika suatu hari nanti, kerjaya saya sudah tidak relevan. Perasaan dituduh menggunakan duit haram memang menyakitkan hati tetapi saya mahu buktikan kepada semua bahawa saya tidak mudah tunduk dengan gertakan sesiapa.
Ramai yang tidak tahu saya pernah gagal dalam banyak jenis perniagaan dan betapa gigihnya saya bekerja mengumpul modal baharu setiap kali mengalami kerugian. Saya mahu kejayaan produk kali ini menjadi bukti perniagaan saya halal dan menggunakan hasil titik peluh sendiri.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/07/zara-zya-belum-sempat-kahwin.html