Ydpa Pintu Belakang Notmyking Pembangkang Cuba Jelaskan Sikit
Ikut teori PH, patutnya ada dua ‘pintu belakang'
PERTAMA kali menggunakan perkataan ‘pembangkang’ dalam tulisan saya bagi merujuk kepada kumpulan yang menentang Kerajaan Malaysia. Apa nak buat, bila dah duduk dalam majlis, kena gunakan terma-terma yang betul, supaya kita tidak dilihat janggal di depan khalayak. Samalah macam terpaksa makan dengan sudu, garpu dan pisau. Tak biasa, kena biasakan.
Alhamdulillah, keadaan politik negara kita telah bergerak ke landasan yang normal. DAP, musuh kepada Muafakat Nasional (MN) pun, sudah mengakui akan perjalanan pelantikan Perdana Menteri (PM) yang baharu. Namun anak buah mereka, masih cuba untuk memusingkan fakta bagi mencari alasan untuk membuat gelombang kebangkitan rakyat yang sia-sia.
Jika kita mengikut teori pembangkang sekarang ini berkenaan ‘pintu belakang’ ini, maka sepatutnya akan ada dua ‘pintu belakang’, bukannya satu. Mari kita lihat pintu pertama.
Pada Mei 2018, Tun dilantik menjadi PM setelah nama beliau dicalonkan oleh PH sebagai PM dan mendapat perkenan YDPA selepas PH, gabungan parti baharu, memenangi PRU14, dan memerintah, setahun lebih sehingga Februari 2020.
Tun menghantar surat peletakan jawatan sebagai PM kepada YDPA selepas Majlis Presiden PH bermesyuarat pada Februari lepas. Mengikut kata Tun, beliau ditekan supaya meletakkan jawatan. Kenyataan ini tidak dinafikan oleh mana-mana pimpinan PH. YDPA menerima surat peletakan jawatan itu dan melantik sementara Tun bagi memangku jawatan PM atau dipanggil PM Interim, sehingga seorang PM baharu dilantik.
Menurut Perlembagaan, peletakan jawatan PM itu adalah sah dan YDPA akan melantik seorang PM dari kalangan Ahli Parlimen yang baginda percaya sebagai PM yang mempunyai sokongan terbanyak. Kemungkinan untuk Tun dilantik semula juga ada, dan masih mengikut Perlembagaan.
Tuanku kemudian melantik seorang daripada Ahli Parlimen yang telah dipilih secara sah oleh rakyat menurut Perlembagaan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Istana juga menyebut peruntukan undang-undang mana yang dipakai bagi menjalankan tugasan baginda.
Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudian mengangkat sumpah sebagai PM, disaksikan oleh Raja-raja Melayu, Ketua Hakim Negara dan beberapa lagi Hakim senior di Malaysia, termasuklah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof, individu yang dipilih dan pro PH, yang juga bekas Hakim. Kesemua mereka tidak membantah pelantikan ini atau menyatakan bahawa ini adalah batil kerana prosedur pelantikan ini, memenuhi kehendak Perlembagaan.
Tetapi setelah selesai semua upacara ini mengikut Perlembagaan Malaysia, PKR dan PAN menggelarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM Kerajaan pintu belakang dan mulai berkempen ‘Not My PM’. Yang peliknya, DAP diam sahaja sambil mengisytiharkan menerima keputusan YDPA.
Baik, sekarang kita cuba senario ini pula:
Sultan Muhammad V dari Kelantan mengangkat sumpah sebagai YDPA yang ke-15 pada 13 Disember 2016 setelah dipilih dan mendapat perkenan Majlis Raja-raja Melayu, dan memerintah dua tahun lebih.
Kemudiannya, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan baginda pada 6 Januari 2019 kepada Majlis Raja-raja setelah berbincang dengan beberapa orang Raja-raja Melayu. Majlis Raja-raja menerima peletakan jawatan Sultan Muhammad V itu dan kemudian memutuskan Sultan Perak, Raja Nazrin Shah menjadi Pemangku YDPA.
Menurut Perlembagaan, peletakan jawatan YDPA itu adalah sah dan Majlis Raja-raja akan bersidang bagi melantik seorang Sultan atau Raja dari kalangan Raja-raja Melayu, bagi mengisi segera jawatan YDPA itu.
Majlis Raja-raja kemudiannya mencapai persetujuan untuk Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah ibni almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dinobatkan sebagai YDPA ke-16. Ianya dilakukan melalui peruntukan undang-undang yang sah.
Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah ibni almarhum Sultan Haji Ahmad Shah kemudiannya mengangkat sumpah sebagai YDPA ke-16 disaksikan bukan sahaja kenamaan di Istana Negara, malah jutaan rakyat Malaysia dan juga di seluruh dunia dengan perasaan gembira.
Tiada seorang pun yang mengatakan pelantikan ini salah atau tidak betul. Tetapi jika mengikut sifir pembangkang, maka YDPA ini adalah dari ‘pintu belakang’lah kan?
Namun, setelah semuanya selesai, tiada seorang pun rakyat, mahu pun Raja-raja Melayu mendakwa YDPA sekarang ialah ‘YDPA pintu belakang’ atau menjalankan kempen ‘Not My King’. Padahal kejadian, prosedur peletakan jawatan, pemilihan YDPA yang baharu hampir sama dengan melantik PM baharu. Pelik kan?
Kenapa? Sebabnya semua rakyat Malaysia adalah cerdik, waras, tahu menghormati, tidak reti nak berkelahi sepanjang masa dan mengetahui bahawa semua itu adalah mengikut Perlembagaan Negara. Letak jawatan, ganti dengan orang lain yang layak ikut mesyuarat yang sah. Mereka tidak terikut-ikut dengan mainan pembangkang yang cuba menghidupkan kononnya gerakan rakyat.
Kronologi peletakan jawatan dua ketua negara Malaysia itu, semuanya sangat hampir kejadiannya, tetapi dibezakan kerana nafsu mereka.
Atau kalau pembangkang yakin benar dengan sifir mereka, cuba tulis atau cakap sekali YDPA sekarang ‘YDPA pintu belakang’ dan ‘NotMyKing’. Lepas itu boleh buat demo lagi kalau kena jel. Mesti seronok.
Atau pembangkang nak bagi kiasan apa-apa kepada rakyat ke? Cuba jelaskan sikit, kita nak tahu.
MOHD NASIR ABDULLAH5 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 5/3/2020
PERHATIAN klik di sini..Presiden PAS Paling Layak Dilantik Timbalan PM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ibnuhasyim.com/2020/03/ydpa-pintu-belakang-notmyking.html