Yapeim Nafi Dana Inspirasiku Untuk Islamisasi Pemohon Penerima
Manzaidi Mohd Amin                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Hasrat YaPEIM membantu meringankan beban B40 telah disalahtafsirkan pihak tertentu berhubung inisiatif Inspirasiku.
KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia  (YaPEIM) menolak dakwaan pihak tertentu kononnya inisiatif Dana  Inspirasiku Malaysia (Inspirasiku) sebagai alat atau saluran untuk  proses Islamisasi kepada pemohon dan penerima.
 Dalam kenyataan kepada media, Bahagian Komunikasi Korporat YaPEIM  menegaskan, dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan tidak termasuk  dalam senarai semak permohonan.
 Menurutnya, tuduhan liar itu seharusnya dibawakan bersama bukti  yang jelas, bukan membuat dakwaan terbuka yang tidak bertanggungjawab.
 Sehubungan itu, YaPEIM tidak teragak-agak mengambil tindakan  undang-undang kepada pihak yang dengan sengaja menyalahtafsir hasrat  murni organisasi itu melaksanakan Dana Inspirasiku.
 Jelas kenyataan itu lagi, inisiatif Inspirasiku yang diperkenalkan  pada 2019 bertujuan untuk memberi manfaat kepada pelajar dan penuntut  Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari keluarga B40.
 “Dana ini untuk meringankan bebanan keluarga dalam menangani  kebajikan dan pendidikan anak-anak khusus untuk memulakan sesi  persekolahan dan persediaan kemasukan ke IPT.
 “Dana Inspirasiku ini mendapat sambutan luar jangkaan masyarakat  berdasarkan permohonan diterima dari pelbagai latar belakang agama dan  bangsa.
 “YaPEIM kini masih dalam proses mengumpul semua borang memandangkan tarikh tutup permohonan pada 31 Januari ini,” katanya.
 Menurut Bahagian Komunikasi Korporat itu lagi, YaPEIM setakat ini  belum mengedarkan borang bantuan ke IPT dan akan diedarkan sebelum  proses kemasukan semester baru pengajian pada sesi 2020/2021.
 Menurut kenyataan itu, terdapat beberapa perkara timbul khususnya berkaitan sumber Dana Inspirasiku.
 “YaPEIM ingin menjelaskan sumber adalah dana khusus diperolehi dari  sektor korporat, individu serta pihak yang prihatin. Ia sama sekali  tidak melibatkan sebarang dana mahupun peruntukan dari Kerajaan.
 “Bagaimanapun, penyaluran sumbangan kepada penerima manfaat yang  layak tertakluk kepada permohonan yang memenuhi syarat dan kriteria  ditetapkan serta jumlah dana terkumpul,” katanya.
 Sebagai sebuah institusi pembangunan sosio ekonomi ummah, YaPEIM  telah berada di persada negara sejak ditubuhkan pada 1976 dan disusun  semula tahun 1984.
 Yayasan itu berjaya mengendali dan mengagihkan sumbangan Skim  Sadaqatul Jariah masyarakat kepada lebih 2.75 juta penerima manfaat  menerusi pelbagai aktiviti pembangunan sosio ekonomi dari pelbagai  kumpulan sasar di seluruh negara. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/yapeim-nafi-dana-inspirasiku-untuk.html