Yahudi Memerintah Dunia Dengan Proksi
Tanggal 16 Oktober 2023 lalu, genap 20 tahun usia ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) di Putrajaya yang menggegarkan dunia.
Beberapa minggu sebelum peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri keempat, Tun Mahathir menyampaikan ucapan pembukaan persidangan tersebut lalu meletakkan namanya, entah untuk ke berapa kali, di tajuk-tajuk berita dunia.
Dua baris ucapannya dipetik dan dilabel sebagai anti-Semitik: "Hari ini orang Yahudi memerintah dunia dengan proksi. Mereka mendapatkan orang lain untuk berjuang dan mati untuk mereka."
Kritik Islam
Sebenarnya, ucapan penuh Dr. Mahathir ketika itu lebih banyak mengkritik umat Islam berbanding kaum Yahudi.
Sejak awal ucapan, beliau telah membangkitkan isu negara-negara Islam yang tidak bersatu, perpecahan sektarian, kecenderungan ke arah keganasan dan umat Islam yang ketinggalan dalam perlumbaan intelektual.
Namun, dalam menyampaikan hujahnya bahawa umat Islam sebenarnya mempunyai kekuatan yang besar, beliau membuat perbandingan dengan kaum Yahudi yang hanya berjumlah kira-kira enam juta orang selepas separuh populasinya dibunuh Eropah dalam Perang Dunia Kedua.
Ketika itu beliau menyatakan pandangan kontroversi bahawa Yahudi dalam jumlah yang kecil, boleh memerintah dunia melalui proksi.
Beliau malahan memuji kaum Yahudi selepas itu, yang bangkit dari penindasan menggunakan akal, bukan fizikal.
"Kita berhadapan musuh yang berfikir. Mereka mengharungi penganiayaan selama 2,000 tahun bukan dengan melawan semula, tetapi berfikir.
"Mereka mencipta dan berjaya mempromosi sosialisme, komunisme, hak asasi dan demokrasi supaya penganiayaan terhadap mereka dilihat salah, supaya mereka dapat menikmati hak yang saksama dengan yang lain.
"Dengan ini, mereka dapat mengawal negara-negara paling kuat dalam dunia dan mereka, komuniti yang kecil ini, menjadi kuasa dunia.
"Kita tidak boleh melawan mereka dengan kekuatan fizikal sahaja. Kita perlu guna akal juga," katanya.
Anti-Semitik
Ucapan tersebut segera tersebar melalui laporan berita di seluruh dunia dengan kecaman demi kecaman datang bersilih ganti.
Dr. Mahathir digelar pemimpin anti-Semitik, yang menggalakkan kekerasan ke atas kaum Yahudi.
Menteri Luar Itali, Franco Frattini yang mewakili Kesatuan Eropah menyifatkan ucapan beliau sebagai sangat ofensif, sangat anti-Semitik dan sangat bertentangan dengan konsep prinsip toleransi, dialog dan kesefahaman antara dunia Barat dengan Islam.
Jurucakap Kementerian Luar Israel, Jonathan Peled yang dipetik CNN berkata, ucapan beliau "memarakkan kebencian dan kesalahfahaman".
Melalui CNN juga, pegawai tinggi Amerika Syarikat dipetik menyeru ketua semua agama dan kepercayaan untuk mengutuk ucapan beliau.
Ucapan tersebut juga mendorong penggubalan Akta Kajian Semula Anti-Semitisme Global 2004 di Amerika Syarikat.
Kukuh prinsip
Walaupun menerima kecaman dari seluruh dunia, Dr. Mahathir tegas dengan pendiriannya bahawa kaum Yahudi memerintah dunia melalui jaringannya dengan kuasa-kuasa besar dunia.
Pada 2012, beliau mendakwa semua calon Presiden Amerika Syarikat (AS) perlu mendapatkan pengiktirafan daripada Israel.
Pada 2014, beliau lebih sinis. Mungkin untuk membalas label anti-Semitik yang dipahat pada namanya di pentas antarabangsa, Dr. Mahathir berkata, orang Arab juga Semitik.
Tetapi Yahudi fikir mereka begitu istimewa – kaum yang dipilih Tuhan – maka sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dan mengkritik kekejaman mereka akan digelar anti-Semitik, seperti mereka satu-satunya kaum Semitik dalam dunia.
Selama lebih sedekad, Dr. Mahathir ditekan untuk mengakui ucapannya itu tidak wajar tetapi tidak pernah sekali dia tunduk.
Di Oxford Union, dalam wawancara bersama media antarabangsa, beliau terus tegas dengan pendirian bahawa Israel adalah punca pelbagai konflik dunia.
Terang dan bersuluh, Israel pengganas
Pada 12 Oktober 2023 lalu, Dr. Mahathir muncul dengan video ulasannya tentang konflik antara Israel dengan Palestin yang sedang berlaku.
Beliau sekali lagi dengan tegas berkata, dalam konflik itu, Israel ialah pengganas walaupun rejim itu cuba mendakwa sebaliknya.
"Di waktu ini juga, kita menjadi saksi kepada tindakan Israel yang berusaha mengatasi keganasan yang mereka tuduh dilakukan oleh Hamas.
"Jika kita renung kembali, Israel yang sebenarnya sebuah negara pengganas yang telah berdekad lamanya melakukan keganasan ke atas orang Palestin tanpa rasa bersalah atau sebarang kekesalan.
"Mereka membunuh kanak-kanak dan bayi orang Palestin kerana kononnya kanak-kanak dan bayi ini membesar dan jadi pengganas. Dengan alasan tersebut mereka terus melakukan pembunuhan ke atas bayi dan kanak-kanak Palestin," katanya.
Tidak ramai pemimpin yang cukup tegas dan berani menghuraikan punca sebenar konflik di negara-negara Arab seperti Dr. Mahathir. Pandangannya kontroversi di mata Barat dan Israel tetapi analisisnya sukar digugah.
Mungkin ada kelemahan: mengitlak seluruh kaum Yahudi sebagai bangsa pengganas dan tidak membezakan Yahudi dengan mereka yang memegang fahaman Zionisme sangat canggung dan tidak adil di mata dunia.
Namun, ucapannya 20 tahun lalu akan terus dikenang dan direnung. Sebagaimana ia menggegar dunia pada 2003, sebegitulah penting untuk kebenarannya dirungkai.
Seperti yang berlaku pada 18 Oktober 2023, usaha Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghentikan sementara konflik di Gaza bagi membolehkan bantuan kemanusiaan masuk, diveto Amerika Syarikat, menjadi bukti.
Adakah benar kaum Yahudi memerintah dunia dengan proksi, seterusnya menghalalkan segala tindakan ganas Israel terhadap Palestin?
Semoga memberi manfaat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2023/10/yahudi-memerintah-dunia-dengan-proksi.html