Wisma Putra Mohon Bantuan Pakar Perubatan China Tangani Covid 19
   Mohamad Fadli

Menteri Luar Hishammuddin Hussein. PUTRAJAYA: Wisma Putra akan memohon bantuan pakar perubatan dari  China dengan segera bagi membantu petugas barisan hadapan negara ini  memerangi wabak Covid-19.
 “Melalui hubungan Malaysia-China, Wisma Putra termasuk saya sendiri telah mula berbincang dengan kerajaan China.
 “Susulan perbincangan ini, saya difahamkan pakar perubatan dari 26  hospital di Malaysia akan mengadakan ‘video conference’ dengan  pakar-pakar perubatan yang berada di China pada Khamis ini bagi  berkongsi kaedah serta strategi terbaik dalam melawan Covid-19,” kata  Menteri Luar Hishammuddin Hussein pada sidang media mengenai  perkembangan terkini rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.
 Dalam sidang media itu, Yang di-Pertua Dewan Negara merangkap Presiden MIC, S A Vigneswaran turut bersama Hishammuddin.
Hishammuddin berkata lebih 1,000 rakyat Malaysia yang terkandas di  Uzbekistan, Mesir, Maldives, Nigeria, Thailand, Jepun, Kemboja dan  banyak lagi negara berjaya pulang ke tanah air.
 Beliau berkata Wisma Putra juga setakat pagi ini berjaya membawa  pulang seramai 696 rakyat Malaysia yang terkandas di India menerusi  kerjasama dengan MIC dan AirAsia.
 “InsyaAllah, ramai lagi akan dibawa pulang dari India dalam waktu terdekat,” katanya.
 Berkenaan rakyat Malaysia di Iran, katanya, Majlis Keselamatan Negara  (MKN) dengan bantuan Wisma Putra berjaya membawa pulang seramai 46  rakyat Malaysia dari negara itu.
 Bagi rakyat Malaysia di Itali, beliau menambah, MKN, Wisma Putra dan  perwakilan Malaysia di negara itu sedang berunding bagi memberi  kebenaran mendarat khas pesawat, seterusnya membolehkan urusan  repatriasi segera dilaksanakan.
 Rakyat Malaysia di Bangladesh
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata Wisma Putra melalui  perwakilan Malaysia di Bangladesh juga sedang membuat persiapan untuk  membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana susulan keputusan
kerajaan Bangladesh berkaitan penularan Covid-19.
 “Setakat jam 12 tengahari tadi, seramai 367 orang rakyat Malaysia direkodkan berada di Bangladesh.
 “Jumlah ini termasuk 219 orang pelajar yang menuntut di Bangladesh;  55 kakitangan Hospital Medan Malaysia di Cox Bazar; 73 orang yang  menetap dan bekerja di Bangladesh termasuk ahli keluarga mereka dan 20  penjawat awam serta ahli keluarga yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi  Malaysia di Bangladesh,” katanya.
 Hishammuddin berkata daripada jumlah itu seramai 270 orang bersetuju dibawa pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.
 Beliau bagaimanapun berkata kerajaan meminta 7 penjawat awam kekal bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh.
 “Bagi pihak kerajaan, saya amat menghormati dan berterima kasih kerana mereka sanggup kekal di sana demi tugasan kepada negara.
 “Semua mereka akan dibawa pulang menggunakan pesawat sewa khas jenis Airbus 332 milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines.
 “Buat masa ini, kerajaan Bangladesh menyuarakan jaminan akan memberi  kebenaran khas kepada pesawat ini untuk mendarat serta berlepas dari  Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka.
 “Sementara itu, selepas membiayai sepenuhnya kos keseluruhan 6  penerbangan sewa khas untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang  terkandas di India, hari ini sukacitanya saya mengumumkan kos  penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh ini  sekali lagi akan dibiayai sepenuhnya oleh parti MIC.
 “Saya amat berterima kasih kepada Vigneswaran dan parti MIC kerana  tampil ke hadapan dan sanggup membantu Wisma Putra memudahcara urusan  kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/wisma-putra-mohon-bantuan-pakar.html