Wee Najib Cuma Beri Nasihat Bukan Buat Keputusan
Anne Muhammad 
    Jawatan pengerusi Lembaga Penasihat BN yang kini disandang oleh Najib  Razak tidak memberi kuasa kepada bekas perdana menteri itu untuk  mengemudi BN, kata Presiden MCA Wee Ka Siong.
Wee berkata lembaga itu hanyalah memberi nasihat dan keputusan akhir tetap akan diputuskan Dewan Tertinggi BN secara bersama.
“Orang  keliru (lepas Najib dilantik sebagai penasihat) siapa jadi kepala (BN),  pengerusi BN masih Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya masih Mohamad  Hasan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis One Belt  One Road dan Undang-undang e-dagang China di Wisma MCA hari ini.
"(Najib)  bukan pemimpin Dewan Tertinggi... Pandangan mereka (lembaga penasihat)  yang difikirkan perlu akan diambil maklum. Kita akan dengar daripada  mereka tetapi akhirnya Dewan Tertinggi yang buat keputusan.
"Dia (Najib) cuma beri nasihat, (keputusan oleh) Dewan Tertinggi. Kalau tak jadi dewan terendahlah," katanya lagi sambil ketawa.
Wee juga berkata kemungkinan beberapa pemimpin lagi akan dilantik menganggotai lembaga penasihat itu.
Beliau  diminta mengulas pelantikan Najib selaku pengerusi Lembaga Penasihat BN  yang dibuat Dewan Tertinggi BN, dan sama ada MCA boleh menerima nasihat  daripada bekas pengerusi BN itu.
Pelantikan Najib dipersetujui sebulat suara oleh pemimpin yang mengahadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 9 Julai lalu.

Najib RazakPerkembangan itu kira-kira dua minggu selepas Ahmad Zahid kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.
Ia bagaimanapun tidak dipersetujui beberapa pemimpin Umno, antaranya Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyifatkannya sebagai langkah ke belakang dan bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin yang berkata dia "tidak gembira" selepas ditanya berkenaan perkara itu.
Untuk  rekod secara keseluruhan Najib dan Ahmad Zahid berdepan lebih 120  tuduhan mahkamah, membabitkan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan  wang haram
Kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah.
Sementara  itu Wee enggan mengulas lanjut ketika ditanya berkenaan kebolehan Najib  untuk menasihati BN di saat beliau berdepan sejumlah tuduhan di  mahkamah.
“Saya tak komen hal peribadi, saya cuma cakap jika ada isu,” katanya yang juga anggota parlimen Ayer Hitam.
Ditanya siapa wakil MCA dalam Lembaga Penasihat BN, Wee berkata beliau masih "mencari ilham". 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/07/wee-najib-cuma-beri-nasihat-bukan-buat.html