Waran Tangkap Terhadap Nur Sajat
Wartawan MalaysiaGazette                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai ‘Sajat’ 
SHAH ALAM – Mahkamah Majistret Shah Alam semalam mengeluarkan  waran tangkap terhadap usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad  Kamaruz Zaman atau Nur Sajat kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan  bagi pendakwaan kes di mahkamah.
Dia dituduh memiliki untuk tujuan jualan 11 produk yang bukan   berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut Peraturan  7(1)(a) Dadah dan Kosmetik 1984.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum iaitu denda tidak melebihi RM 25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Malangnya Nur Sajat tidak hadir semasa pengurusan kes berkenaan pagi semalam.
“Waran tangkap itu dikeluarkan terhadap Nur Sajat kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan bagi pendakwaan kes di mahkamah.
“Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Nor Aini Suzila Zakariah dari  Cawangan Penguat Kuasa Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor,”  kata sumber memetik laporan Harian Metro.
Difahamkan pihak CPF sebelum ini melakukan pemeriksaan di premis  milik ahli perniagaan itu di Shah Alam, Selangor pada 15 Ogos lalu.
Pihak CPF turut bertindak mengambil keterangan dari beberapa pekerja  di premis itu termasuk Nur Sajat selaku pengarah syarikat berkenaan.
Pemeriksaan dilakukan pegawai CPF di premis itu kemudian menemui  produk disyaki bukan keluaran berdaftar dengan KKM sebelum tindakan  rampasan dilakukan.
Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat  diperiksa itu adalah berdaftar dan semua produk dirampas adalah milik  Nur Sajat untuk tujuan jualan.
Berdasar keterangan diambil, syarikat itu jelas melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Nur Sajat sebelum ini pernah dihadapkan di mahkamah sama pada 14  Disember 2018 atas pertuduhan mengikut Seksyen 41 (6) Akta Cukai Barang  dan Perkhidmatan 2014.
Malah Sajat pernah didakwa kerana memiliki 19 produk kecantikan tidak  berdaftar dengan KKM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 12 Mei  2019.
Ia susulan tindakan KKM melakukan pemeriksaan di sebuah premis di  Bandar Baru Uda sebelum merampas 19 produk kecantikan tidak berdaftar  bernilai hampir RM10,000. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/wartawan-malaysiagazette-muhammad.html