Wani Kayrie Jiwai Lagu Lirik Puitis
Namun, bakat nyanyian gadis genit ini betul-betul menjadi perhatian melalui lagu Jangan Jangan pada 2015.
Pun begitu, kemunculan Wani untuk beberapa lagu seterusnya kurang memberi impak.
Namun, apa yang boleh dipuji dia sentiasa gigih berjuang untuk terus memahat nama dan bakatnya.
Bagi memastikan kemunculannya kekal relevan untuk bersaing dengan ramai bakat baharu dalam industri muzik, Wani turut berani mencuba nasib menyertai pelbagai pertandingan.
Pernah bersaing dalam program realiti seperti Big Stage dan D' Academy Asia musim keempat (DAA4) di Indonesia pada 2018, Wani berentap pula dalam program Dansa dan Sing, tahun lalu.
Bagaimanapun, untuk tahun ini yang agak mencabar berikutan serangan pandemik Covid-19, Wani sekadar tampil dengan lagu baharu berjudul Aksara Cinta ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.
Berbicara mengenai lagu itu, Wani berkata, dia teruja apabila hasrat untuk bekerjasama dengan Hael dan Ezra menjadi kenyataan.
Katanya, dia menunggu agak lama juga untuk urusan kerjasama ini.
"Lagu Aksara Cinta ini sangat istimewa buat saya. Sebaik mendengar melodinya, saya terus suka dan tak sabar untuk merakamkannya.
"Ditambah lagi, sebelum ini kebanyakan lagu saya lebih kepada genre pop, namun untuk lagu Aksara Cinta, boleh dikatakan sangat berbeza secara keseluruhannya.
"Saya dapati Aksara Cinta memerlukan lebih keupayaan vokal diketengahkan. Ia satu cabaran besar buat saya sebenarnya dan syukur dapat merakamkannya dengan baik," katanya.
Menurut Wani, dia juga ada sebab tersendiri memilih Hael dan Ezra untuk bekerjasama kali ini kerana yakin gandingan dua figura itu boleh menghasilkan satu karya lagu yang mampu menguji kemampuan vokalnya.
MILIKI impian besar yang ingin dicapai dalam kerjaya seni.
"Saya tahu mereka boleh mengubah genre yang mungkin sudah sinonim dengan saya sebelum ini kepada muzik yang lebih segar. Umpamanya, pop moden kontemporari yang sesuai dengan penerimaan masa kini.
"Alhamdulillah, saya juga gembira dan puas hati dengan Aksara Cinta yang dihasilkan mereka kerana saya sendiri sudah jatuh cinta dengan lagu ini.
"Penulisan liriknya sangat puitis membuatkan saya yakin dengan Aksara Cinta akan diterima baik pendengar. Lagi pun, saya sudah berbincang dulu dengan Hael dan Ezra mengenai kisah lagu diinginkan," katanya.
Tahun lalu Wani tampil dengan lagu Magika yang bergenre dangdut koplo.
Jelas Wani lagi, dia bersyukur syarikat rakaman, SRC memahami kehendaknya.
Katanya, dia sangat berterima kasih dengan SRC kerana sentiasa sedia memberinya peluang.
Menurut anak sulung dalam keluarga ini, dia memiliki impian besar yang ingin dicapai dalam kerjaya seninya.
Berhati-hati setiap tindakan
Pernah terpalit dengan beberapa kisah sensasi, nama Wani agak meledak hangat di media sosial sekitar awal tahun ini.
Perkongsian klip video tarian dengan wajah disolek hitam menerusi aplikasi TikTok itu cukup membuatkan netizen berang padanya.
Pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah ini akhirnya akur terpaksa menelan pelbagai kecaman netizen yang sensitif dengan cara hiburan cuba dipraktikkan.
Mengambil iktibar di atas apa yang berlaku, Wani berkata, dia kini sangat berhati-hati untuk memuat naik perkongsian video di akaun media sosialnya dan dia tak mahu lagi mencetus sensasi.
"Cara saya untuk berhibur pernah di salah erti. Jadi, kini saya selesa berhati-hati pada setiap tindakan. Saya takkan dengan mudah buat keputusan memuat naik video tanpa berfikir panjang.
"Trauma memang ada kerana saya tidak hanya dikecam netizen Malaysia. Tetapi, video TikTok itu ditular hingga luar negara oleh individu yang barangkali kurang menyenangi saya.
"Walaupun isu ini sudah beberapa bulan berlalu, namun impaknya kepada saya hingga kini. Justeru, saya ambil iktibar dan tidak mahu perkara sebegini berulang lagi," katanya.
Menurut Wani, sebagai individu matang dan kini mengikuti pengajian ijazah undang-undang di institusi pengajian tinggi (IPT), dia memilih selalu berhati-hari kerana sedar tidak semua orang akan menyukai tindakannya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2020/10/wani-kayrie-jiwai-lagu-lirik-puitis.html