Video Empangan Sibol Pecah Tidak Benar
Oleh MASTURA SURADI
TANGKAP layar satu video yang tular dalam media sosial menyatakan Empangan Sibol pecah adalah tidak benar.KOTA TINGGI: Dakwaan kejadian sebuah Empangan Sibol pecah akibat kejadian hujan lebat sehingga menyebabkan berlaku banjir di daerah ini ada tidak benar.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora yang turut memaklumkan bahawa di daerah ini tiada empangan Sibol.
“Semakan pihak kami mendapati berita tular menyatakan Empangan Sibol pecah adalah tidak benar.
“Video yang tular ini merupakan lokasi kolam takungan sisa Kilang Sawit Sibol B, Bandar Tenggara.
“Anggota Polis Bandar Tenggara juga telah membuat lawatan ke lokasi dalam video untuk memastikan info yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hussin berkata, tiada jalan yang dinaiki air akibat dari limpahan air tersebut kerana kedudukan kilang sawit Sibol B yang jauh dari laluan.
Dalam perkembangan lain, Hussin memaklumkan hanya laluan masuk ke bandar Kota Tinggi sahaja yang ditutup sementara berikutan air banjir berada dalam paras bahaya untuk semua kenderaan.
Katanya, laluan utama antara daerah dari Kulai, Johor Bahru serta Mersing ke Kota Tinggi masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.
“Paras air berada pada paras bahaya jadi ia ditutup untuk elakkan kenderaan kecil lalu tersangkut di atas jalan akibat melanggar benda-benda yang dibawa arus yang tidak kelihatan.
“Kita menasihatkan orang ramai agar patuhi arahan-arahan papan tanda yang telah diletakkan di atas jalan oleh pihak berkuasa atau petugas-petugas PDRM yang sedang bertugas,” katanya.
Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kota Tinggi di talian 07-8332158 untuk mendapatkan sebarang informasi berkaitan banjir di daerah Kota Tinggi. – UTUSAN
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/01/video-empangan-sibol-pecah-tidak-benar.html