Urus Krisis Uji Kepimpinan Anwar
1 . Saat artikel ini ditulis, DSAI belum lagi mengadap YDPA untuk persembahkan majoriti yang didakwa ada padanya. Apa pun perkiraannya jika DSAI ternobat sebagai PM ke 9, ia bukan hanya kemenangan pada perjalanan jauh DSAI tetapi lebih dari itu ia akan menjadi satu medan ujian kepimpinan untuknya dalam suasana krisis covid yang sedang dilalui oleh negara dan dunia hari ini.
2. Bukan semua krisis membawa kepada kehancuran malah krisis membentuk peluang untuk mencipta kejayaan. DSAI punya keunikan yang saya yakin mampu menjadi aset kepada gaya dan cara kepimpinannya mengatasi krisis nanti.
3. Pertama, ketahanan DSAI telah diuji sedari 1998 lagi ketika aspirasi ‘REFORMASI’ mula berkumandang di pesada politik tanahair. Kalimat keramat ini menjadi mimpi ngeri kepada pengamal kronisma dan korupsi yang mula membengkak pada kerajaan yang beliau sendiri berada di posisi orang no 2 negara ketika itu. Perjalanan DSAI sejak itu penuh dengan ranjau dan duri untuk membetuli keadaan yang akhirnya membentuk jatidiri kepimpinan beliau hari ini. Keperibadian kalis ujian ini diharapkan dapat diterjemahkan dalam mengemudi tahap krisis yang dialami oleh negara sekarang.
4. Detik krisis mendesak keperluan kepada kepimpinan yang kukuh jatidiri diterjemahkan melalui keikhlasan, ketelusan dan kejujuran menghadapi situasi yang menekan. Ia bukan kepuraan untuk menagih simpati tetapi perlaksanaan kepada satu penghayatan dan DSAI telah membuktikan kejujurannya terhadap apa yang diyakininya walaupun dipenjara dengan fitnah yang mengaibkan diri dan seluruh keluarganya.
5. Kedua, DSAI tidak pernah undur dari menyatakan dengan penuh komitmen tentang kesepaduan rakyat rentas berbagai kaum dan agama. Solidariti pada saat krisis sangat terutama memandangkan ia akan melahirkan benteng ketahanan nasional bagi menghadapi rintangan ekonomi dan perpaduan kaum yang menekan. Kerajaan yang berpura-pura bercakap tentang kesepaduan nasional tetapi terpendam karat jahiliyah perkauman tidak mungkin mengemudi suasana krisis hari ini kerana hilang kejujurannya kepada komitmen untuk melahirkan ketahanan nasional.
6. Ketiga, Kebangkitan radikalisme agama sangat ditentang oleh DSAI. Beliau terkenal dalam karier awalnya dalam ABIM menyeru kepada panduan agama yang sederhana dan menghormati prinsip hukum rentas kaum dan agama berteraskan keadilan dan kesaksamaan. DSAI diharapkan dapat membawa peranan agama dengan lebih berkesan dari sudut pemikirannya semasa krisis di mana kerangka MAQASID yang merupakan ruh syariah berupaya menjadi teras utama kepimpinannya untuk memgendalikan krisis negara hari ini.
7. Keempat, pengalaman menerajui kerajaan semasa krisis tak akan sama apatah lagi tekanan ekonomi yang menjejas kehidupan rakyat. Kerajaan elit tidak diperlukan, DSAI perlu membawa kerajaan rakyat yang menuntut pengorbanan kepada ahli politik lebih daripada menuntut rakyat berkorban. Ini bermakna saiz kabinet yang lebih kecil, ahli parlimen tidak memegang jawatan GLC, pemotongan elaun pak menteri yang tidak perlu serta ketelusan tata kelola kewangan negara. Jiwa ‘suara rakyat suara keramat’ boleh diterjemahkan oleh DSAI bagi menangani persepsi rakyat yang muak dengan sikap elitis golongan pemerintah khususnya dalam menangani krisis negara.
8. Akhirnya, komunikasi dengan rakyat perlu jujur dan telus. Tiada ‘double standard’ dalam penguatkuasaan, ketegasan kepada penceroboh atas apa jua kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang perlu diadili dengan saksama. Ia sebuah kerajaan yang mendapat sokongan semua pihak kerana teras jaminan keamanahan dipelihara. Kesemua ini adalah seruan-seruan yang pernah dibawa oleh Pakatan Rakyat dan kemudian Pakatan Harapan yang DSAI menjadi antara faktor penentu utamanya bersama rakan kepimpinan lain. DSAI perlu terjemahkan aspirasi ini dalam kepimpinannya di saat krisis ini.
9. Tidak terkecualu acara mewah dan pembaziran di kalangan menteri dan anggota kerajaan lain perlu dihentikan segera dalam masa krisis ini. DSAI yang telah melalui kesukaran sepanjang jalannya diyakini dapat menghayati jiwa dan denyut nadi rakyat marhaen dan perlu tegas kepada acara mewah dan membazirkan ini. Pegawai kerajaan yang terbiasa dengan formaliti majlis yang tidak sesuai pada saat krisis perlu diberi teguran keras.
10. Krisis hari ini adalah soal kesihatan awam yang boleh menjejaskan nyawa, adalah sangat terutama kepimpinan DSAI membudayakan S.O.P dengan menekankan pendidikan dan kesedaran selain kuatkuasa. Pada waktu yang sama ekonomi harus dibuka dengan hati-hati untuk menjana aktiviti melalui kaedah ‘low touch economy’. Kepantasan adaptasi kerajaan baru nanti kepada keperluan ekonomi semasa akan membuka ruang untuk peluang pekerjaan dalam skema normal baharu yang pastinya mencabar kepimpinan DSAI nanti.
Kejujuran, kesepaduan nasional, kerajaan berjiwa rakyat dan kepantasan adaptasi berekonomi dalam era kelaziman baru akan menjadi kayu pengukur kejayaan DSAI sebagai PM ke 9, sama-samalah kita doakan.
DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden Parti AMANAH
5 Okt 2020.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/10/urus-krisis-uji-kepimpinan-anwar.html