Untung Untung Boleh Jadi Pa Ni
Untung juga jadi macam saya – bila banyak menulis tentang PKR, saya sendiri dihubungi oleh pihak yang rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan Nurul Izzah (NI). Mereka minta saya beri ruang untuk menjelaskan supaya saya tak terlalu menyerang keluarga Anwar. Antara hujah yang disampaikan kepada saya adalah seperti berikut:
1. PKR Adalah Parti Anwar
Menurut mereka, PKR adalah parti yang diasaskan oleh Anwar dan Dr. Wan Azizah selepas pemecatan Anwar pada tahun 1998. Tanpa mereka, PKR tidak akan wujud. Maka, sebagai pengasas dan 'roh' kepada gerakan reformasi, Anwar diyakini mempunyai hak penuh untuk menentukan siapa pengganti beliau sebagai Presiden. Mereka percaya, hanya keluarga beliau mampu mengekalkan semangat dan sokongan terhadap PKR. Reformasi kini hanyalah slogan untuk mengekalkan semangat, bukan lagi satu gerakan terbuka.
2. Pemilihan Tak Boleh Ditangguh
Mereka turut menjelaskan kenapa pemilihan parti tidak boleh ditangguhkan selepas PRU. Faktor umur Anwar, risiko kesihatan, dan kemungkinan kalah PRU menjadi pertimbangan. Jika berlaku sesuatu ketika itu, Anwar tidak lagi mempunyai kuasa penuh untuk melantik pengganti – khususnya Nurul Izzah. Maka, pemilihan perlu dibuat sekarang sebelum PRU demi keselamatan kuasa politik keluarga beliau.
3. Rafizi Tidak Disenangi 'Team Presiden'
Rafizi Ramli tidak disenangi oleh kem Presiden, termasuk Dr. Wan Azizah dan Nurul Izzah sendiri. Dahulu, NI pernah bersama Rafizi menentang Azmin Ali. Namun, selepas PRU14, hubungan mereka renggang. Ramai Ketua Cabang dan pimpinan merungut bahawa Rafizi tidak melayan mereka dengan baik. Ini dianggap merosakkan keharmonian dalaman parti.
4. Saifuddin Tidak Mampu Lawan Rafizi
Saifuddin Nasution dilihat tidak cukup kuat untuk mengalahkan Rafizi secara adil. Jika beliau menang sekalipun, kemenangan itu dianggap hasil 'setting' dan bukan kekuatan sebenar. Saifuddin juga mempunyai rekod kalah dalam banyak PRU dan tidak dilihat sebagai tokoh yang boleh memperkukuh PKR. Maka, beliau bukan pilihan ideal untuk menjadi Timbalan Presiden.
5. Rafizi Tidak Sehaluan Dalam Isu Calon
Berlaku banyak ketegangan antara Rafizi dan Presiden dalam pemilihan calon PRU. Contoh yang disebut: di Sungai Buloh, Rafizi berkeras mahukan calon dari kem beliau, sedangkan Anwar telah berjanji kepada Ramanan. Di Ampang juga berlaku situasi yang sama. Jika Rafizi kekal sebagai Pengarah Pilihan Raya, perselisihan seperti ini dijangka berulang pada PRU akan datang.
6. Rafizi Desak Kerajaan Ikut Agendanya
Rafizi juga dilihat terlalu mendesak kerajaan mengikut agendanya. Contohnya isu kenaikan harga petrol – Anwar umum tidak akan naikkan harga petrol, walaupun ia dicadangkan kuat oleh Rafizi dan Kementerian Ekonomi. Banyak lagi cadangan Rafizi tidak disukai oleh ahli kabinet dan parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan. Maka, beliau dilihat sebagai liabiliti politik.
Namun, kerana Rafizi adalah Timbalan Presiden, beliau tidak boleh digugurkan begitu sahaja. Maka, pemilihan parti perlu disegerakan untuk menggantikan Rafizi dan juga Nik Nazmi, yang turut dianggap sebagai Menteri yang gagal berfungsi. Presiden tidak boleh menggugurkan mereka selagi mereka memegang jawatan dalam parti. Pemilihan ini dianggap satu cara 'membersihkan' pasukan kepimpinan.
Saya ulang: Ini bukan hujah saya. Ini hujah dari orang Anwar yang minta saya tulis dan jelaskan kepada umum di wall saya. Katanya, tulisan saya banyak disalin dan berlegar di media sosial, jadi mereka harap saya boleh bantu orang faham naratif dari pihak mereka.
Hamdan Taha
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/05/untung-untung-boleh-jadi-pa-ni.html