Untuk Pergi Lebih Jauh Kerja Kuat Perlu Digabungkan Dengan Keupayaan Berfikir
Adakah anda seorang yang kuat bekerja?
Paling tidak, anda tentu ada ramai kenalan yang sangat kuat bekerja.
Dalam hampir semua buku motivasi yang saya baca, kerja kuat diletakkan sebagai salah satu syarat untuk berjaya. Begitu juga dalam buku biografi para individu yang menempah kejayaan hebat dalam perniagaan atau kerjaya mereka, kerja kuat dikaitkan sebagai salah satu dari faktor yang membantu kejayaan mereka.
Ramai orang kerja kuatCuba lihat sekeliling, setiap hari, anda akan temui ramai orang yang sangat kuat bekerja.
Buruh kasarTak ada lagi kumpulan yang bekerja sekuat mereka ini. Angkat simen, bata, kayu dan lain-lain, naik turun bangunan di tengah panas matahari terik. Tebang pokok, buat jalan, korek sungai, panjat pokok, bungkus barang, angkat barang dan banyak lagi.
Taukeh kedai basikal kampungKalau di tempat saya, Ah Tep kerja kuat sampai meninggal. Kini anaknya Ah Ou yang menyambung usaha ayahnya juga telah tua. Dia kerja kuat baiki basikal sampai tua dan anaknya pula menyambung kerjanya. Saya yakin anaknya juga akan kerja kuat sampai tua.
Penjual kacang tepi jalanAda juga di kampung saya yang jual kacang dari muda sampai tua. Hari-hari beli, rebus dan jual kacang. Setiap hari tolak basikal roda tiganya yang dipenuhi kacang ke pekan dan mula menjaja sampai ke petang.
Drebar loriRamai drebar lori yang kita kenal di kampung dan bandar. Mereka bawa lori dari muda sampai tua tak pernah jemu siang dan malam. Tak ada tanda-tanda malas dari segala amalan mereka yang sangat konsisten itu. Begitu juga drebar bas dan juga drebar teksi yang berpagi-pagi keluar mencari makan tanpa jemu.
Kerja kampungRamai yang kuat ambil upah kerja-kerja rencam di kampung. Mereka biasanya sihat, kuat dan berotot sasa. Umur mereka panjang untuk sentiasa berkhidmat pada orang kaya kampung dari muda sampai tua. Kebiasannya, dia akan berkhidmat kepada 2 generasi. Dari zaman ayah yang kaya kemudian meninggal lalu diturunkan pula kepada anak yang kaya dari perwarisan. Dia masih tetap kuat bertenaga seperti biasa.
Banyak lagi contoh di sekeliling yang anda boleh lihat. Kalau nak disenaraikan satu persatu memang panjang. Tapi majoriti daripada mereka berkongsi perkara yang sama.
Mereka berada di takuk yang sama dari muda sampai tua. Mungkin memang itu yang mereka mahu dan selesa dengan cara hidup sedemikian rupa. Tak ada salahnya.
Tapi bagi yang ada cita-cita nak pergi lebih jauh, perlu ambil iktibar di sini bahawa kerja kuat sahaja tak cukup untuk berjaya. Kalau memang kerja kuat itu tangga kejayaan orang-orang yang saya sebut di atas tadi dah tentu jadi antara orang terkaya di tempat mereka tinggal.
Dari situ, anda boleh faham bahawa kerja kuat yang sering disyorkan oleh mereka yang pergi jauh dan berjaya ada maksud yang lebih mendalam.
Apa makna kerja kuatKerja kuat bukan semata-mata aktiviti fizikal seperti angkat barang atau lain-lain seumpamanya yang banyak pakai tenaga dan mengeluarkan peluh. Elemen mental juga perlu dimasukkan sekali bersama fizikal untuk digabungkan menjadi kerja kuat. Kuat kerja fizikal dan kuat kerja mental.
90% berfikir dan 10% lagi beraksi = Kerja Kuat
Dengan makna tersebut, dapat difahami kenapa keluarga Ah Tep tetap dengan hanya satu kedai basikal walaupun selama 3 generasi kerja kuat tanpa jemu.
Juga kenapa penjual kacang, hidup sekadar cukup makan dari muda sampai tua dan kenapa ramai buruh kasar hanya membina otot-otot tebal tanpa punya wang tebal dari muda sampai tua. Begitu juga yang lain-lain sepertinya. Mereka kuat bekerja siang dan malam sehinggakan tak sempat meluangkan masa untuk berfikir.
Mereka lebihkan aksi daripada berfikir. Jadi sudah tentu tak ada masa untuk melihat peluang lain. Dengan berfikir anda mampu nampak bagaimana kehidupan boleh menjadi lebih baik. Dengan berfikir juga anda mampu meletakkan matlamat yang lebih tinggi.
Oleh itu kepada semua usahawan yang kuat kerja sampai tak cukup tanah saban hari. Elok luangkan masa, henti sebentar dan ambil masa yang lebih untuk berfikir. Kerja kuat sekadar menggunakan tulang 4 kerat tak akan membawa anda ke mana-mana. Perlu digabungkan dengan otak yang berfikir baru boleh pergi lebih jauh.
Kerja kuat dan refleksiUntuk anda yang ada hasrat nak pergi jauh, bermula daripada sekarang, anda perlu faham bahawa kerja kuat perlu ada kombinasi fizikal dan mental. Perlu ada aktiviti berfikir yang digabungkan dengan aktiviti bertindak secara fizikal.
Untuk berfikir, anda mestilah punya soalan. Soalan akan timbul melalui aktiviti luar dari kerja fizikal seperti berikut.
Pergaulan dengan rakan-rakan yang berjaya. Bersembang kosong dengan mereka yang berjaya tak pernah rugi. Akan ada saja idea baru muncul dari otak orang-orang yang berjaya.
Baca buku-buku yang berkaitan dengan apa yang kita buat. Tak ada zaman yang lebih mudah untuk dapatkan maklumat macam zaman sekarang. Luangkan masa sentiasa beli, pinjam atau muat turun dan baca buku.
Melihat dunia dengan berjalan. Jauh berjalan luas pemandangan. Ambil masa sekali sekala untuk berjalan jauh. Ia membuatkan otak anda sedar bahawa dunia ini lebih luas dari kampung atau garaj tempat anda kerja.
Muhasabah diri setiap hari. Luangkan masa satu jam setiap hari bersendirian untuk berfikir. Hari esok mesti lebih baik dari hari ini. Bagaimana melakukannya, fikirkankanlah. Berjalan kaki di taman atau duduk atas tikar sembahyang atau iktikaf di masjid mampu memberikan ketenangan untuk melahirkan suasana yang sesuai untuk berfikir.
Luangkan masa dengan keluarga. Lebihkan masa sedikit bersama anak-anak dan isteri-isteri, juga ibu bapa. Duduk saja melihat anak-anak bermain menaikkan semangat untuk anda berusaha. Anak-anak pula tak akan lupa jasa anda meluangkan masa itu sampai mati. Melihat muka ibu bapa pun mampu menyuntik semangat untuk berjaya.
Berdoa. Jangan lupa pada Tuhan. Tak ada guna duit banyak, rumah besar, kereta mewah kalau Tuhan dilupakan. Tak ada guna di dunia senang 20 tahun di akhirat pula tersiksa selama-lamanya. Jangan putus asa dengan rahmat Tuhan. Tunaikan tanggung jawab dalam hidup berdasarkan siapa diri anda. Tinggalkan semua urusan yang jelas haram dan selitkan kebaikan sekadar mampu dengan istiqamah.
Moga berjaya ..
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.hidupringkas.com/2023/11/betulkah-untuk-berjaya-kena-kerja-kuat.html