Undi 18 Jangan Perkuda Suara Anak Muda Demi Kepentingan Peribadi
Oleh Zuhayati Yazid 
 		 			Didik mereka jadi pemimpin, fahami agenda pembangunan negara
		  			 			BANGI –  Pendedahan terhadap golongan muda kepada pembangunan negara diharap  bukan sekadar umpan politik semata-mata, sebaliknya bertujuan untuk  mendidik mereka selaku pelapis masa hadapan negara.
Pandangan itu disuarakan Presiden Parti  Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim yang  tidak mahu pelaksanaan Undi 18 sekadar untuk mengaburi mata masyarakat.
“Tindakan mengalukan golongan muda untuk  menyertai dalam pembangunan negara adalah sesuatu yang bagus, tapi kita  bimbang itu hanya untuk meramaikan penyertaan sahaja dan bukannya  sebagai pelapis negara.
“Seharusnya kita didik mereka ke jalan  yang betul, tunjuk mereka bagaimana menjadi pemimpin serta didik untuk  fahami agenda yang sebenar dalam membentuk pembangunan negara.
“Kita tidak mahu pemimpin hari ini  perkuda suara orang muda ini demi kepentingan peribadi pemimpin yang  lama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan ingin memberikan kuasa yang besar  kepada anak muda di negara ini, justeru itu kerajaan memberi taruhan  kepada Undi 18.
Beliau berkata pelaksanaan Undi 18 itu  membuktikan keyakinan kerajaan kepada anak muda dalam menyertai proses  pembangunan negara.
Mengulas lanjut, Ustaz Zamani berkata,  sudah tiba masanya orang muda yang berketerampilan didedahkan dengan  suasana politik sebenar supaya dapat memahaminya dengan lebih dekat.
“Ayuh kita mulakan dari sekarang supaya  mereka ini didedahkan dengan perjuangan yang telus dan ikhlas, dan  bukannya berjuang untuk kepentingan peribadi,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menggesa supaya  pemimpin yang memegang kawasan lebih daripada tiga penggal bersedia  memberi peluang kepada golongan muda sebagai pengganti.
“Tapi sayangnya tidak ramai yang sanggup  lepaskan jawatan dan beri peluang kepada anak muda yang memiliki idea  yang kreatif,” katanya lagi.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/undi-18-jangan-perkuda-suara-anak-muda.html