Unboxing Isteri Jabatan Mufti Nasihat Cukuplah Simpan Untuk Rekod Peribadi
Athirah Huda Zalhe 
 		 			Allah SWT perintah suami isteri lindung keaiban satu sama lain		  			 			BANGI – Jabatan Mufti Perak menasihatkan pasangan pengantin untuk menyimpan  detik-detik manis raja sehari sebagai rekod peribadi dan bukan dijadikan  tatapan umum.
Ini kerana,  Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 187 telah memerintah suami isteri  melindungi keaiban antara satu sama lain, bahkan  Rasulullah  ﷺ juga mengecam suami yang mendedahkan perlakuan dan rahsia sulit yang berlaku antara pasangan.
Oleh  demikian, jabatan itu berkata, para suami sebagai ketua keluarga  seharusnya perlu berhati-hati dengan sikap isteri mahupun anak-anak  supaya tingkah laku, akhlak serta budi pekerti mengikut syariat  ditetapkan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah ﷺ bagi meraih keluarga  mawaddah dan rahmah.
“Mutakhir  ini, kita disajikan dengan video-video yang tular di media sosial di  mana ia memaparkan pengantin lelaki sedang menanggalkan aksesori  perkahwinan yang dipakai oleh pengantin perempuan seperti mahkota  pengantin, sanggul lintang dan gandik ataupun disebut sebagai ‘unboxing  pengantin’.
“Aksi ini telah menjadi bualan dan mendapat respon daripada pelbagai pihak,” kata jabatan mufti dalam kenyataan, hari ini.
Secara am,  seorang isteri adalah hak mutlak bagi suaminya dan suaminya pula berhak  melakukan apa sahaja yang dikehendakinya selagi mana tidak bertentangan  dengan hukum syarak.
“Dalam isu ini, Islam sama sekali tidak melarang apa sahaja perbuatan yang dilakukan antara suami dan isteri.
“Menjadi kebiasaan kepada pengantin baru untuk merakam dan bergambar pada waktu-waktu dan detik-detik indah sebagai raja sehari. 
“Biarlah detik-detik manis tersebut disimpan sebagai rekod peribadi dan bukanlah dijadikan sebagai tatapan umum,” katanya.
Trend  ‘unboxing by husband’ tular di laman TikTok sejak kebelakangan ini,  kononnya sebagai upacara pengantin lelaki membuka atau menanggalkan  aksesori pada bahagian kepada pengantin perempuan.
Perbuatan  berkenaan mencetuskan rasa kurang senang dan kritikan dalam kalangan  warga media sosial terhadap perkongsian video trend itu – yang boleh  membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/unboxing-isteri-jabatan-mufti-nasihat.html