Umur 18 Tahun Kini Boleh Mengundi Di Malaysia
Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, kini telah diluluskan, menjadikan Malaysia menyertai majoriti negara di dunia yang memberikan hak mengundi kepada warganya yang berusia 18 tahun ke atas.
Dewan Rakyat pada tanggal 16 Julai, akhirnya meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Rang undang-undang itu mendapat sokongan 211 ahli Parlimen sekali gus meraih majoriti lebih dua pertiga daripada 222 bilangan Ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan tanpa sebarang pindaan.
Selepas kiraan undi belah bahagi dilakukan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof mengumumkan, seramai 211 ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala tiada yang tidak bersetuju atau tidak mengundi.
Selain itu, pindaan berkenaan juga membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaksanakan sebaik sahaja seseorang warganegara itu mencapai usia 18 tahun.
Turut dipinda, Rang Undang-Undang ini turut menurunkan umur layak untuk menjadi calon pilihan raya pada seawal usia 18 tahun.
Negara Lain
Di Asia Tenggara termasuk Myanmar, umur mengundi bagi kebanyakan negara ialah 18 tahun, manakala Indonesia meletakkan umur layak mengundi yang lebih rendah iaitu 17 tahun. Hanya Malaysia dan Singapura sebelum ini masih kekal dengan 21 tahun.
Usia itu ditentukan sejak penggubalan Perlembagaan Tanah Melayu oleh Suruhanjaya Reid berdasarkan umur mengundi di British ketika itu.
Namun, British sendiri telah meminda undang-undang mereka bagi menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun sejak 1969 lagi.
Umur mengundi 18 tahun ini bukanlah suatu yang asing apatah lagi aneh jika kita mengambil kira fakta bahawa pada usia ini, remaja tidak lagi dianggap sebagai kanak-kanak tetapi seorang dewasa yang dianggap cukup layak untuk membuat keputusan bagi dirinya.
Pada usia ini, mereka tidak memerlukan kebenaran untuk berkahwin, membuat perjanjian jual beli, malahan untuk membuat hutang puluhan ribu, tetapi mereka tidak boleh mengundi!
Berdasarkan statistik, hampir 80 peratus rakyat Malaysia hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai sijil tertinggi.
Ini bermaksud kebanyakan lepasan SPM ini akan terus memasuki pasaran kerja sebaik sahaja meninggalkan sekolah menengah.
Pada usia 18 tahun, mereka telah secara aktif menyumbang kepada ekonomi negara tetapi semenjak pilihan raya mula dilaksanakan di negara ini, mereka belum lagi berkesempatan mengundi.
Akan tetapi, hal ini bukanlah mudah apabila terdapat (sebelumnya) beberapa cabaran yang bersifat bukan undang-undang terhadap pelaksanaan hasrat ini.
Pertama, pastinya prejudis kita terhadap golongan muda sendiri.
Apabila hasrat ini dilontarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pengerusi SPR Azhar Harun sendiri, rata-ratanya menunjukkan reaksi skeptikal.
Ramai yang menghujahkan bahawa orang muda berusia 18 tahun belum lagi matang untuk menyertai politik.
Mereka tidak minat untuk terlibat dan hanya akan mengundi mengikut emosi serta mudah diperalatkan.
Kalau pun benar tanggapan ini, apa yang harus dilakukan adalah memberdaya kumpulan ini agar mereka mampu terlibat secara konstruktif dan kemudian membuat keputusan secara rasional.
Umur Bukan Tanda Matang
Kita berpendapat, mereka cukup matang untuk memilih, asal sahaja diberi kesempatan dan maklumat yang secukupnya.
Malah, soal kematangan ini terlalu abstrak sebenarnya untuk ditentukan.
Sejak bila kita meletakkan kematangan politik sebagai syarat untuk layak mengundi?
Jika kematangan politik menjadi syarat wajib, berapa ramai daripada kalangan kita yang dewasa ini tidak layak sebenarnya? Jujur saja.
Beri nafas baru
Perbincangan yang lebih 'matang' dan 'rasional' dalam hal ini bukanlah dengan meremehkan orang muda tetapi bagaimana untuk - parti politik - menanggapi golongan ini.
Mereka ialah demografi baru yang kita tidak pasti dengan jelas orientasi politik, minat dan kecenderungan mereka yang mungkin berbeza dengan kumpulan umur yang lain.
Apakah wujud kemungkinan kumpulan umur ini mampu membawakan nafas baharu kepada politik Malaysia?
Apakah mereka ialah jawapan kepada jalan keluar daripada politik komunal sempit untuk beranjak kepada politik yang lebih inklusif dan progresif?
Apakah mereka ini yang akan memaksa kita untuk mula serius bercakap tentang pemanasan global, pembangunan mampan serta teknologi hijau?
Apa yang perlu difikirkan parti politik ialah bagaimana untuk tampil menarik di mata kumpulan ini dan pada masa sama, bukan sahaja meraih undi mereka, tetapi menjemput tenaga muda ini untuk aktif meremajakan parti politik dan politik Malaysia sendiri.
Akan tetapi, harus diinsafi bahawa tidak banyak yang Pakatan Harapan - sebagai sebuah gabungan politik - mampu laksanakan dalam mendepani kumpulan ini.
PAS memiliki sistem pengkaderan orang muda yang sangat tersusun bukan sahaja di institut pengajian tinggi, malahan juga di sekolah.
Itu belum lagi mengambil kira Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai intervensi awal untuk mendekati komuniti.
Umno sendiri telah menurunkan umur keahliannya daripada 18 tahun kepada 16 tahun untuk melatih lebih ramai ahli muda.
Semua ini harus diraikan kerana lebih ramai orang muda yang menyertai politik, lebih baiklah politik Malaysia. Mudah-mudahannya begitu.
Namun, Pakatan Harapan harus melakukan refleksi - apakah kita masih lagi dalam andaian bahawa secara alaminya, orang muda memang menyokong mereka.
Di kalangan orang muda, PH sebagai parti pemerintah dilihat sebagai status quo, establishment. Oleh itu tidak ada sebab untuk berasa selesa.
Akan tetapi, prinsip adalah prinsip dan hak adalah hak. Seperti tindakan kerajaan Pakatan Harapan membuka akses media kepada pembangkang, langkah menurunkan umur mengundi ini juga merupakan pemulangan hak demokrasi kepada rakyat.
Ini menyebabkan Pakatan Harapan harus bekerja jauh lebih baik berbanding kerajaan sebelumnya. Tetapi ia juga bermakna PH akan menjadi kerajaan yang lebih baik.
Adakah kita bersedia?
BACA INI JUGA:
Bagaimana Sistem Pilihan Raya Di Malaysia Berlangsung?Cara Daftar Mengundi Dan Semakan Lokasi Pengundian Online
sumber: 1 | 2
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2019/07/umur-18-tahun-boleh-mengundi.html