Umrah 2019 Pengalaman Naik Kapalterbang Sewa Khas Ke Madinah
L ama sudah rasanya blog tempat saya bercerita ini sepi. Ini disebabkan masa banyak saya curahkan untuk kerja. Jadi nota-nota kembara saya banyak yang saya ketepikan
Namun dalam kesibukan kerja itu saya dihadiahkan oleh Allah untuk mengerjakan umrah lagi. Kali ini saya dapat pergi sekeluarga. Suami, anak-anak dan adik-beradik saya turut serta. Bagi saya ini adalah jemputan Allah yang sangat istimewa.
Sejak November lalu saya buat persediaan berangkat ke tanah suci. Walaupun ini bukan kali pertama saya ke sana, namun persediaan rapi tetap menjadi keutamaan bagi saya. Terutama sekali ia melibatkan ibadah yang memerlukan mental dan fizikal.
Oleh kerana usia yang semakin petang, saya perlukan stamina supaya boleh melakukan tawaf dengan saie. Untuk itu saya dan suami mengayuh basikal setiap hari. 12 km setiap kali mengayuh. Selain itu saya menyemak amal ibadat anak-anak. Walaupun mereka sudah sangat dewasa, saya pastikan yang umrah anak-anak saya itu nanti betul.
Kali ini, sekali lagi saya menggunakan khidmat Tabung Haji (TH) Travel. Lihat entri saya dua tahun lalu dengan TH Travel DI SINI.
Kali ini saya berpeluang menaiki kapalterbang yang disewa khas oleh Tabung Haji Travel. Penerbangannnya terus ke Madinah. Kapalterbang sewa khas ini memuatkan 500 orang jemaah umrah yang terdiri daripada orang Malaysia.
"Kadang-kadang kami bawa orang Indonesia. Hampir setiap hari kami terbang," kata pramugara MAS apabila saya meminta penjelasannya
Kapalterbang sewa khas ini disewakan dengan MAS. Nampaknya pramugari dan pramugara untuk penerbangan sewa khas ini adalah mereka yang sudah senior. Barangkali umur mereka 40an. Pramugarinya nampak manis dan sopan apabila semuanya memakai tudung.
Penumpang dalam kapalterbang sewa khas ini semuanya hendak mengerjakan umrah
Sangat berlainan rasanya apabila menaiki kapalterbang kali ini, penuh dengan ibadah dan ingatan pada Allah. Doa dibacakan apabila kapalterbang berlepas. Apabila masuk waktu solat, azan dilaungkan oleh muazzin. Diikuti dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Kunjungan. Cara begini mengingatkan saya kembali pada penerbangan haji saya pada tahun 2010. Baca entri tentang Haji yang saya lakukan DI SINI.
Makan tengahari
Menu pilihan kedua
Apakah yang menarik untuk diceritakan kepada pembaca blog saya ini? Pasti setiap perjalanan itu ada kelainannya walaupun destinasi itu sudah dikunjungi berkali-kali sebelum ini.
Saya dan keluarga ke tanah suci pada Musim Sejuk iaitu pada akhir Januari sehingga Februari 2019. Sudah tentu cuaca sejuk menjadi cabaran kami. Saudara-mara yang baru pulang dari sana juga menyatakan bahawa cuaca di sana sangat sejuk dan berangin. Maka, pakaian musim sejuk seperti jaket tebal, stokin tebal, sarong tangan dan kasut bertutup mesti disediakan. Kesejukan di Madinah pernah saya rasai sebelum ini iaitu pada ziarah saya pada tahun 2010. Anda boleh membaca pengalaman saya itu DI SINI.
Perjalanan dari KL ke Madinah
Walaupun sudah buat persediaan rapi, entah macam mana, saya tertinggalkan winter jacket saya di rumah. Aduhai!!! Jadi, saya bercadang untuk membelinya di Madinah nanti.
Tapi apabila kami mendarat di Madinah, kami dapati cuacanya tidak lagi terlalu sejuk. Syukur. Cuacanya sangat nyaman. Jadi tak perlu memakai pakaian musim sejuk.
Hotel Saja Al Madinah yang kami inapi. Katil yang ada 3 tetapi yang menginap berdua.
Bilik air Hotel Saja Al Madinah
Sebagaimana kebiasaannya kami ke masjid Nabawi, menziarahi Rasulullah S.A.W, ke Raudhah, ke perkuburan Baqi', ke Masjid Quba, ke pasar kurma dan membeli-belah.
Bezanya pada kali ini, orang terlalu ramai. Untuk ke Raudah memerlukan kesabaran kerana ruang untuk wanita adalah terhad. Menanti giliran untuk masuk ke Raudah juga lama, sekurang-kurangnya perlu menunggu sejam dua. Jemaah wanita diminta segera keluar kalau sudah solat dua rakaat di situ. Tapi syukur saya yang masuk ke Raudah bersama kakak saya dapat beribadat lama di situ tanpa sesiapa yang mengganggu atau disuruh keluar.
Selain itu, cengkerik hitam terlalu banyak. Ketika jemaah solat di kawasan luar masjid, cengkerik hitam itu terbang dan merayap-rayap berdekatan dengan mereka. Tetapi tidaklah sampai menggigit mereka.
Dalam Masjid Nabawi
Ziarah Bukit Uhud
Berlatarbelakangkan Bukit Uhud
Makan ais krim dan lepak sekeluarga di pinggir jalan menjadi satu keseronokan pula di sini
Setelah tiga hari berada di Madinah kami pun ke Mekah mengerjakan umrah. Tetapi pagi itu sebelum kami berangkat, hujan turun dengan lebatnya. Hujan turun agak lama, lebih kurang 4 jam. Kota Madinah dibanjiri hujan. Inilah pertama kali saya mengalami hujan lebat yang lama di tanah suci. Menurut peniaga-peniaga di Madinah, hujan begini sudah bertahun-tahun lamanya tidak berlaku.
Hujah lebat selama 4 jam di Madinah
Perjalanan dari Madinah ke Mekah juga menarik kerana tidak pernah saya melihat pokok-pokok hijau dan sungai mengalir dengan banyak di sana. Kali ini tanah suci ini kelihatan hijau.
Hijau dan sungai dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah
Hijau dan tanah basah di sepanjang jalan dari Madinah ke Mekah
Berhenti makan cucur ...bersambung
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://nota-kembara.blogspot.com/2019/05/umrah-2019-pengalaman-naik-kapalterbang.html