Umno Jadi Hero Jika Buang Sial Langkah Sheraton
Dr Mujahid Yusof Rawa
Perkataan ‘SIAL’ memang keras kerana ia membawa erti kecelakaan, nasib malang dan mengundang musibah. Selain itu ia turut digunakan sebagai cacian nista terhadap seseorang yang ‘mendoakan’ kehancuran dalam hidup seseorang yang dibencinya. Saya memilih perkataan ‘SIAL’ bukan berniat memaki hamun sesiapa jauh sekali berkasar bahasa tetapi saya cuba membuat satu ilustrasi kepada pembaca bagaimana watak-watak pembelot dalam langkah Sheraton tempoh hari telah mengundang malapetaka politik dan membawa celaka besar kepada rakyat dan negara. Bahana ‘sial’, ‘sumpahan’ atau ‘ketulahan’ ini perlu dibuang jauh-jauh secepat mungkin sebelum kita semua dimakan sumpah kerana berdiam diri dan rela dipimpin oleh para pembelot.Membuang sial adalah reaksi spontan kepada mangsa yang ‘kena’ apatah lagi kesan celaka itu menyakiti orang yang lebih ramai. Cara membuang sial atau mengangkat sumpahan ialah kita perlu PANGKAH dan PAKU punca yang menyebabkan segala musibah politik ini berlaku. Sejak musibah sheraton diundang, tanda-tanda pentadbiran negara dalam bahaya tidak dapat disembunyikan lagi. Penyakit kabinet yang obes(saiz xxxl) melahirkan menteri yang tidak kompeten manakala MP-MP dilamun habuan masing-masing dalam kedudukan GLC semasa majoriti lemah dan rapuh. Demi survival, kerajaan PN mengamalkan SOGOKAN dan hanya layak digelar sebagai Kerajaan Penyogok sekaligus menodai asas kebebasan bersuara di dalam Parlimen.Demi ‘pensejajaran politik’ kononnya, satu kesepakatan baru dibentuk untuk kukuhkan kedudukan tetapi hakikatnya mereka lupa bahawa pertemuan mereka hanyalah untuk mengukuhkan lagi bencana politik yang bakal mereka cipta! Para pembelot dari elitis politik bukan sahaja pekak tetapi tuli dan buta kepada perasaan rakyat, kesusahan rakyat dan pandemik yang telah melumpuhkan aktiviti rakyat. Memang kuat ‘sumpahan langkah sheraton’ seolah rakyat tidak wujud dalam perkiraan biul mereka, mereka dah kena sumpahan sehinggalah merebak ke seluruh persekutuan.Alhamdulillah tidak semua tunduk pada mainan ini, kesedaran bahaya langkah ini ditegaskan beberapa kali oleh DSAI dan kepimpinan PH supaya mereka harus kembalikan mandat, dan berhenti kerja gila ini sebab ia menjejas tumpuan kerajaan kepada mengendalikan pandemik dan menguruskan ekonomi. UMNO sebagai mangsa pembelot dalam hal ini sedar bahawa jika mereka terus bersama pembelot-pembelot, bahana ketulahan sumpah sheraton akan menghantui UMNO. Sebab itu kita dapati suara UMNO dah mula lantang mengkritik hubungan pelik antara mereka dan TSMY. Mereka sokong kerajaan PN tetapi enggan memetrai perjanjian. Pada awal langkah sheraton, niat mereka ialah mahukan parlimen dibubarkan awal untuk membuka jalan kepada PRU tetapi apabila opsyen itu tertutup mereka ambil sikap menyokong PN tetapi dalam keadaan penuh berhati-hati sambil bergelut memahami kesetiaan PAS dalam MN yang main kayu tiga dengan PN.Negara tidak akan ke mana jika TSMY terus memukau rakyat dengan mentera abah..abah..abah beliau. Kesan kerajaan penyogok yang diterajuinya menatijahkan pengurusan krisis pandemik yang lemah sehingga berlaku peningkatan kluster baru. Rotan ‘abah’ jadi bahan troll bila menterinya sendiri gagal diambil tindakan. Bersatu yang idamkan mengambil alih pengaruh UMNO mula bernafsu lebih dari termampu. Di saat ini, kepimpinan UMNO dah mula mengamuk! PN yang bergantung talian hayatnya dengan 39 MP UMNO mula berlagak sombong sehingga memaksa UMNO bertimbang untuk tarik balik sokongan kepada TSMY.Sementara itu, usaha pangkah dan paku malapetaka langkah sheraton tidak pernah berhenti. Kepimpinan Majlis Presiden PH menetapkan usaha ini hendaklah dipimpin oleh DSAI bagi menghindari kecelakaan besar politik negara gara-gara nafsu sang pembelot. DSAI telah melakukan segala kemungkinan terbaik dan berhemah untuk pulihkan negara melalui seruan majoriti yang lebih kukuh dan usaha membentuk kerajaan yang lebih stabil. DSAI menegaskan secara konsisten tiada sogokan demi sokongan, yang ada hanya landasan tanggungjawab, keamanahan dan integriti dipandu oleh prinsip hukum sebagai syarat sokongan kepada kerajaan baru.Langkah DSAI menggamit kesedaran dari kelompok yang menyokong pembelot. Kini mereka sedikit pulih dan sedar bahawa perlu ada exit dari sumpahan sheraton bagi menstabilkan keadaan dari ketidaktentuan yang berlaku. UMNO perlu sedar bahawa demi survival politiknya, ia perlu bangkit dalam keadaan bermaruah dan tidak diperbudakkan oleh parti hingusan seperti Bersatu.Tapak UMNO masih kukuh, mereka ada masa untuk reboot dan kembali berpencak di medan demokrasi untuk membetuli keadaan. Tidak masuk akal untuk kekal disumpah ‘sial sheraton’ sedangkan DSAI berusaha keras membuangnya. Negara memerlukan MP-MP untuk membentuk satu majoriti yang lebih kukuh dan kerajaan yang stabil dengan sokongan rentas kepartian.Hanya ego UMNO sahaja yang menghalang mereka keluar dari sumpahan kerajaan penyogok PN. Ego terbesar UMNO setakat ini ialah ‘tiada DAP’ walaupun UMNO tahu tulahan sheraton lebih memudaratkannya dan berpotensi merosakkan negara. Apalah ego itu jika dibandingkan survival UMNO yang semakin hari didesak oleh kepimpinan dan akarumbi untuk tinggalkan kerajaan PN. UMNO ada ego politiknya, antara lain ego BNnya dan ego MNnya dan ego ‘No DAP’. ‘Tiada DAP’ adalah super ego UMNO yang menentukan nilai dan kayu pengukur moral UMNO dan yang memberikan UMNO suntikan retorik politik Melayunya. Kerumitan ini adalah cabaran besar langkah DSAI untuk mengangkat ‘sumpahan sheraton’ dari batang tubuh UMNO yang kini berkecamuk.Pada pandangan saya, super ego UMNO perlu diletakkan pada landasan yang menguntungkan semua pihak. Ya..memang sukar untuk kita berkrompomi dengan super ego kita kerana kita akan dianggap tidak berperinsip tetapi janganlah pula menutup pintu rundingan kerana rundingan adalah cara terbaik untuk kita mencari ruang-ruang supaya prinsip kita diimbangi dengan keperluan lebih besar di luar parti kita. Pada waktu yang sama jangan kita merasakan yang DAP mudah menerima super ego UMNO, mereka pun ada ego politiknya, tetapi sekurangnya sikap awal mereka ialah menyokong langkah DSAI demi memenuhi keperluan lebih besar untuk rebooting keadaan politik nasional. Ego politik tanpa melihat kepentingan negara sudah tidak relevan, apatah lagi dalam suasana krisis pandemik hari ini. Ketahanan Nasional sebagai benteng kuat dari dikalahkan kemaraan pandemik mendesak kita bergenjak dari super ego parti masing-masing kepada super ego nasional yang dipandu nilai lebih keramat seperti Rukunegara, Lunas Perlembagaan serta kebijaksanaan institusi Raja kita sebagai ketua negara.Langkah DSAI adalah untuk pangkah sial tragedi Februari. Janganlah pula ada di kalangan elitis politik yang cuba sailang DSAI di tengah jalan untuk ambil kesempatan. Cukup-cukuplah sehingga membawa kita berberantakan dan rakyat menderita dan kita sudah semakin hampir keluar dari krisis politik. Cukuplah juga kita berbincang menuntut lebihan jawatan itu dan ini dengan syarat baru hanya untuk memenuhi ego kita. Rakyat melihat buruknya perangai kita berunding dengan para pembelot dan penyogok jawatan. Berhentilah semua itu, kembalilah kepada suara rakyat yang mendambakan pengurusan pandemik yang cekap dan membantu rakyat menjalani kehidupan.
Kunci memimpin pemulihan besar-besaran negara kini berada di genggaman DSAI dan 91 MP yang solid bersamanya. Para pembelot telah dikenali rakyat manakala mangsa-mangsa pembelot masih ada ruang untuk melakukan sejarah dengan bersama membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan majoriti yang kukuh. Saya merayu rakan-rakan MP rentas politik kepartian supaya kali ini marilah kita berganding bahu membina ketahanan negara di waktu krisis ini.
Doakan semoga sumpahan langkah sheraton diangkat dan tulahannya dimatikan, semoga fajar kembali menyinsing di bumi Malaysia! Amin YRA…
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/30199