Umno Dengan Bossku Punya Hal
Langkah diambil parti politik berhubung pemimpin mereka yang telah melakukan kesalahan tertentu lazimnya pada hemat saya berlandaskan tiga elemen ini.
i. Terus tunjuk kesetiaan.
ii. Ambil langkah menentang demi kebaikan parti, dan
iii. Melihat keadaan keseluruhan dengan mengambil kira masa kini dan masa depan.
Saya kira begitulah keadaannya dengan Umno dalam menghadapi isu Najib Razak, bekas presidennya yang sedang dipenjarakan kerana salah guna kuasa dan rasuah. Dan sedang menghadapi banyak lagi pertuduhan di mahkamah berhubung skandal 1MDB.
Artikel ini saya tulis kerana Umno kita tahu masih ‘bermati-matian’ mahu ‘menuntut keadilan’ bagi Najib. Sampai saat ini itulah yang dilaungkan Umno. Ertinya mereka mahu Najib dibebaskan. Sejak kebelakangan ini mereka lantang mahu Najib ditahan di rumah bukan di penjara. Ini adalah ke arah pembebasan Najib secara mutlak.
Lalu mereka menuntut dan mendesak. Kita berkali-kali telah membaca laporan akan desakan dan tuntutan pemimpin parti berkait Najib. Tidak perlu saya memperincikan. Semua sudah maklum.
Mengapa bertindak begini? Kerana bagi mereka Najib sudah banyak berjasa kepada pemimpin ahli dan parti. Lalu jasanya mestilah dikenang dan dihargai. Umno tidak mahu dilihat bagai kacang lupakan kulit. Tidak mahu dilihat mengabaikan pemimpin yang sedang dalam kesusahan.
Presiden sekarang Zahid Hamidi pula mesti bersungguh-sungguh atau dilihat bersungguh-sungguh melakukan apa yang terdaya untuk membebaskan Najib. Beliau tidak boleh dilihat sambil lewa apa lagi tidak berbuat apa-apa kerana boleh dituduh sudah ‘lemak’ duduk atas kerusi empuk presiden lantas tidak mahu melepaskannya jika Najib kembali. Tidak diragu Umno memang mahu Najib menerajui parti sekali lagi. Ini bagi saya memang jelas. Itu sebabnya Umno mahu Najib diberi pengampunan diraja secara total.
Zahid baru-baru ini dipetik media berkata dalam mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi Umno ‘tidak sekali pun kami lupa jadikan isu Bossku sebahagian daripada agenda’. Sekadar memberitahu apa yang semua sudah tahu – ‘Bossku’ ialah nama timangan buat Najib.
Dan kata Zahid lagi walaupun ada halangan dan kekangan ‘yakinlah Umno dan BN tidak akan sedetik pun tidak memperjuangkan dan melupakan nasib Bossku yang berada di belakang tabir besi sekarang’.
Perhatikan Zahid turut bercakap mengenai BN tetapi dalam konteks penulisan ini saya tidak akan menyentuh komponen BN selain Umno kerana mereka terutama MCA akan turuti apa Umno lakukan. Kata kata Zahid itu jelas memaparkan elemen satu yang saya sebut tadi yakni ciri kesetiaan kepada pemimpin.
Bagaimanapun Najib sudah didapati bersalah oleh mahkamah bagi kes SRC International dan beliau sudah diizin untuk melalui setiap proses pengadilan. Ertinya apa yang Najib telah lakukan dalam kes SRC adalah salah, sesuatu yang tidak bagus untuk parti apa lagi negara. Tetapi sehingga kini tidak ada pemimpin peringkat pusat mahupun negeri yang bercakap mengenai ini secara terbuka. Nyata kerana takut dituduh memijak orang yang sudah jatuh, satu pantang besar dalam masyarakat Melayu.
Maka tidak ada sehingga kini sesiapa dalam parti yang mengambil tindakan yang saya namakan elemen dua yang disebut di awal penulisan ini iaitu ‘melawan’ tindakan bekas presiden parti.
Pada masa lalu ada kalangan Umno yang menegur dan mengkritik keras pemimpin atasan yang dilihat telah melakukan kesalahan atau telah mengorak langkah sumbang (tetapi tidaklah seserius kes Najib) dan menjustifikasikan tindakan mereka dengan mengulangi kata-kata Brutus semasa terbabit dalam pembunuhan Caesar yakni ‘not that I love Caesar less but I love Rome more’.
Bukanlah saya menganjur atau mencadangkan Umno mengikut jejak langkah Brutus. Cuma menegaskan kata-kata Brutus tidak digunakan sekarang, tidak seperti orang Umno zaman lalu. Ertinya seluruh Umno masa kini amat setia terhadap Najib.
Beralih ke elemen tiga iaitu melihat keadaan keseluruhan atau ‘the big picture’. Bagi saya jika Umno meneliti ‘the big picture’ yang saya pasti mereka sudah tengok Umno tentu tahu majoriti rakyat bersetuju Najib sudah diberi pengadilan yang adil dan saksama. Beliau sudah diberi peluang membela diri dengan menggunakan khidmat barisan peguam hebat. Ini saya ulangi bersabit kes SRC.
Lantas majoriti rakyat bersetuju dengan keputusan mahkamah. Bukan itu sahaja. Majoriti rakyat, orang Melayu dan bukan Melayu tidak gemar jika Najib diberi pengampunan atau ditahan di rumah. Ini hakikatnya meskipun bagi Umno pembebasan dan kembalinya Najib ke pangkuan parti akan membawa semula sokongan Melayu kepada Umno.
Oleh itu, pada pandangan saya jika Umno meneruskan agenda Najib, mereka seakan menentang agenda majoriti rakyat dan ini boleh membawa padah kepada Umno dan juga kerajaan perpaduan apabila pilihan raya umum diadakan kelak.
Terpulang kepada Umno. Tepuk dada tanya selera. Imbas Kembali kata-kata Zahid pada majlis ikrar BN untuk meneruskan perjuangan membela Najib. Kata beliau ‘mustahil untuk kita melupakan beliau tetapi kita ada halangan, kita ada kekangan dan ini difahami oleh keluarga, ini difahami oleh beliau (Najib) sendiri’.
Mugkinkah Najib akan faham halangan dan kekangan itu termasuk kejayaan atau kegagalan Umno di kotak undi?
Walaupun saya tidak setuju akan tindakan Brutus, kata-katanya untuk menghalalkan tindakan menentang Caesar amat relevan – ‘Bukan aku kurang menyayangi Caesar tetapi aku lebih menyayangi Rom’.
Mungkinkah Najib boleh menerima dengan rela hati jika Umno berkata demikian? Atau bolehkah Najib membuat pengorbanan paling besar dengan mengizinkan Umno ‘melupakan’ beliau demi kemenangan parti pada pilihan raya? Wallahuaklam. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/12/umno-dengan-bossku-punya-hal.html