Ulasan Youtube Premium Nikmati Youtube Dan Youtube Music Tanpa Iklan
Bagi anda yang dah sebati dengan piracy dan YouTube Vanced, post ini bukan untuk anda.
Saya sudah lama mengidamkan langganan YouTube Premium, kerana selain Netflix, YouTube adalah antara aplikasi dan servis penstriman yang saya gunakan dengan begitu kerap sekali.
Atas sebab itu saya berazam dan tekad, sekiranya ia dilancarkan di Malaysia, saya akan nyahpasang Vanced dengan segera dan terus melanggannya.
YouTube Premium menawarkan penstriman tanpa iklan untuk semua video YouTube. Dalam masa yang sama, pengguna dapat menikmati YouTube Music dan kandungan YouTube Originals dengan langganan sebanyak RM17.90 (harga asal sebelum cukai digital 6% dikenakan nanti).
Jadi, apa pendapat saya mengenainya? Adakah berbaloi melanggan?
Aplikasi YouTube (Android) Masih Bodoh
Pertama sekali, mari kita sebutkan tentang perkara negatif terlebih dahulu. Aplikasinya masih lagi ‘kebodoh-bodohan’ apabila yang pertamanya, tidak memberikan pilihan kepada pengguna untuk memainkan video pada resolusi tetap. Keduanya, menurut artikel panduan dari Google sendiri, pengguna hanya perlu memilih sekali sahaja untuk resolusi yang diingini dan aplikasi YouTube akan ‘mengingati’ pilihan tersebut.
Tetapi bukan itu yang terjadi, kan?
Resolusinya selalu berubah kembali kepada 480p terutamanya pada waktu malam. Saya masih belum dapat merungkai misteri ini, akan mengapakah ia terjadi sedangkan resolusi 1080p sudah pun dipilih. Ini satu-satunya ciri yang saya rasa patut Google dan YouTube perbaiki kerana ia dapat merosakkan mood ketika menonton.
Anda boleh rujuk artikel panduan tersebut di sini: Change the quality of your video.
Menurut ‘YouTube Help’ itu lagi, antara faktor yang merubah resolusi ialah kelajuan internet, saiz skrin, dan kualiti asal video yang dimainkan. Walau bagaimanapun, jika kesemua keperluan di atas dipenuhi, dan resolusi masih lagi kembali ke 480p dan ‘menetap’ pula tanpa naik ke 1080p, apa lagi alasan Google/YouTube untuk tidak memasukkan fungsi ‘default resolution’ pada aplikasi, sama seperti yang ada pada YouTube Vanced?
*Kebiasaannya ini terjadi hanya pada waktu malam sahaja. Pada waktu siangnya, tiada masalah pula.
**Saya uji sekali lagi pada malam sebelum artikel ini diterbitkan, dan nampaknya ‘karakter’ ini semakin menghilang. Teori saya, video perlu dimainkan pada skrin penuh agar resolusi 1080p dapat ‘dinaikkan’ oleh aplikasi. Tetapi ini hanya sekadar teori saya sahaja. Kadangkala tak perlu main dengan skrin penuh pun ia akan naik juga kepada 1080p. Untuk pengetahuan, saya menggunakan aplikasi YouTube versi beta.
***Saya masih dengan pendapat saya, bahawa YouTube perlu memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih satu resolusi tetap yang digemari, tidak kiralah bagaimana keadaan atau kelajuan internet itu sekalipun.
Selain dari bebas iklan, apakah ciri lain yang ditawarkan oleh YouTube Premium?
Seperti yang dinyatakan di atas, anda akan dapat menggunakan YouTube Music (Premium) dan juga menikmati kandungan YouTube Originals.
Selain itu, YouTube Premium juga menawarkan;
1. Memainkan video pada latar (background playback). Anda boleh mainkan video tanpa perlu membuka aplikasi YouTube, sambil menggunakan aplikasi lain serentak.
2. Muat turun video bagi tontonan luar talian.
Berbaloi atau tidak langganan YouTube Premium ini?
Pada saya, jika anda bukan penonton YouTube yang tegar, maka adalah lebih baik anda hadap sahaja iklan yang ada (saya tidak akan sesekali mengesyorkan YouTube Vanced, kerana ia adalah satu bentuk piracy).
Saya sendiri pasti akan gunakan YouTube melebihi 3 jam setiap hari. Jadi tiada isu sama ada penggunaan saya ‘tegar’ atau tidak, kerana tempoh seperti itu sudah boleh membuatkan anda habis menonton beberapa buah filem.
Sebelum ini saya adalah pengguna setia Spotify. Dengan bayaran sebanyak RM14.90 sebulan, saya dapat mendengar lagu-lagu kegemaran dengan hanya strim tanpa perlu menyimpannya di dalam storan. Jadi apabila YouTube Premium dilancarkan di Malaysia, saya mengambil keputusan untuk melanggannya dan mengganti Spotify kepada YouTube Music Premium – hanya perlu tambah RM3 sahaja.
Apa komen saya mengenai YouTube Music?
Pada saya, YouTube Music masih perlukan masa untuk berkembang menjadi matang. Katalognya masih belum seluas dan sebesar Spotify. Ini terbukti apabila saya memindah senarai main dari Spotify ke YouTube Music, terdapat beberapa buah lagu yang tidak masuk ke dalam senarai.
Selain itu, aplikasi Android juga perlukan banyak penambahbaikan. Antara contohnya, saya gemar mendengar hanya satu lagu pada satu ketika, dan YouTube Music pula ‘gemar’ terus memainkan lagu-lagu lain secara automatik (autoplay). Ciri ini masih belum diberi pilihan untuk nyahaktif, dan ini agak menjengkelkan.
Dari segi kualiti audio pula, YouTube Music tidak menawarkan apa-apa kualiti melebihi 256kbps – AAC, yang menurut Google menyamai kualiti 320kbps mp3 (constant bitrate). Saya sebenarnya berharap YouTube Music memberikan pilihan yang lebih baik dari ini, meskipun ia bukan lossless.
Akhir Kata
YouTube Premium bukan untuk semua orang. Ada majoriti di luar sana yang lebih gemar menggunakan aplikasi ‘modded’ a.k.a lanun dan percuma, dan ada pula yang lebih suka kepada servis penstriman yang menawarkan variasi lebih menarik.
Saya pula berada dalam status ketagihan terhadap paparan antaramuka YouTube serta kandungan yang ada dalamnya. Kerana saya cenderung menonton YouTube, maka saya melulus justifikasi bayaran bulanannya agar dapat saya nikmati akaun premium.
Saya tiada apa komentar mengenai kandungan YouTube Originals, kerana setakat ini saya baru hanya menonton dokumentari kucing bertajuk ‘Kedi’. Apa yang saya boleh catatkan, tiada lagi servis lain yang mempunyai algoritma pencadangan/pengesyoran sebaik YouTube, dan ia akan menjadi semakin baik dan bahkan aneh, dari semasa ke semasa.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/ulasan-youtube-premium-nikmati-youtube-dan-youtube-music-tanpa-iklan/